Tuesday, March 28, 2023

HAPUS MONOPOLI PUSPAKOM, BUKA RUANG TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN - BERITA RTM - 25/03/2023

 

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Keputusan kerajaan untuk menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun hadapan merupakan langkah wajar bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan selain memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata langkah untuk membuka perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom kepada pihak lain yang berkelayakan juga mampu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.

(Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan / FOTO BERNAMA)

“Isu yang timbul melibatkan tahap perkhidmatan yang ditawarkan Puspakom sebenarnya sudah lama, sehingga aduan yang diterima daripada orang ramai tidak dipandang serius, memandangkan mereka merupakan penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.

“Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept 2024.

Loke berkata langkah itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Dalam pada itu, Nadzim berkata keputusan untuk menamatkan monopoli ini harus disertakan dengan penubuhan satu badan pemantau bagi mengawal selia perkhidmatan dan menangani sekiranya terdapat aduan membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat terlibat.

“Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.-BERNAMA

Artikel oleh: Berita RTM

HAPUS MONOPOLI PUSPAKOM, BUKA RUANG TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN

https://berita.rtm.gov.my/~berita/index.php/semasa/60172-hapus-monopoli-puspakom-buka-ruang-tambah-baik-perkhidmatan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...