PETALING JAYA: Hampir 17,000 tan metrik makanan yang dibazirkan rakyat Malaysia setiap hari adalah antara punca berlaku kenaikan harga barangan di pasaran sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat sendiri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, jika rakyat Malaysia mampu mendidik diri dan keluarga untuk tidak melakukan pembaziran, ia mampu menjimatkan perbelanjaan mereka.Katanya, tanpa pembaziran bermakna lebih kurang perbelanjaan yang diperlukan untuk membeli makanan.
MENIPU
Beliau berkata, pembaziran juga bermakna pengguna membenarkan peniaga menipu mereka dengan menaikkan harga barangan terutama di musim perayaan.
“Masyarakat harus dididik untuk membawa perubahan dengan mengelakkan pembaziran dan perkara ini harus dilakukan secara bersungguh-sungguh.
“Hampir 17,000 tan metrik makanan dibazir setiap hari, namun mereka turut merungut bekalan makanan tidak mencukupi serta harga makanan naik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, bekalan barangan basah terutama sayur, ayam dan telur dijangka berkurangan sehingga 30 peratus menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus mempengaruhi harga di pasaran.
Situasi yang berlaku setiap kali Ramadan dan Aidilfitri itu pastinya akan menjejaskan pengguna apatah lagi sesi persekolahan bermula beberapa hari menjelang Ramadan.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, sepanjang Ramadan, banyak hotel serta kedai makanan menawarkan makanan secara bufet yang menambahkan pembaziran kerana baki makanan biasanya akan dibuang begitu sahaja.
“Mengapa baki makanan tersebut tidak diberikan kepada orang susah atau dijadikan baja kompos untuk elakkan pembaziran di samping mengawal kos barangan.
“Bagaimanapun, pengguna dinasihati untuk kurangkan makan di luar terutamanya makanan bufet untuk elakkan pembaziran, sebaliknya tanam sayur-sayuran dan amalan memasak di rumah.
“Pengguna harus sedar kita yang menggalakkan peniaga serta kartel menaikkan harga barangan serta makanan, sekiranya permintaan meningkat, sudah pasti harga akan turut meningkat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung Dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pihak berkuasa perlu menetapkan harga yang munasabah bagi tapak bazar Ramadan supaya peniaga tidak terbeban dan boleh menawarkan harga jualan yang lebih rendah.
“Peniaga dan pengguna masih dalam proses pemulihan ekonomi, oleh itu, semua pihak harus membantu satu sama lain bagi memastikan harga makanan berkemampuan untuk semua golongan rakyat,” ujarnya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PEMBAZIRAN PUNCA HARGA BARANG, MAKANAN NAIK
https://www.utusan.com.my/berita/2023/03/pembaziran-punca-harga-barang-makanan-naik/
No comments:
Post a Comment