KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan untuk menamatkan
monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula tahun
hadapan, merupakan langkah wajar bagi menambah baik perkhidmatan yang
ditawarkan selain memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah untuk membuka perkhidmatan yang
ditawarkan Puspakom kepada pihak lain yang berkelayakan, juga mampu mewujudkan
persaingan yang sihat dalam kalangan penyedia perkhidmatan.
"Isu yang timbul melibatkan tahap perkhidmatan
yang ditawarkan Puspakom sebenarnya sudah lama, sehingga aduan yang diterima
daripada orang ramai tidak dipandang serius, memandangkan mereka merupakan
penyedia perkhidmatan tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor.
"Jadi dengan langkah ini, syarikat baharu yang
akan menyediakan perkhidmatan ini kelak dapat menangani kekurangan yang ada di
Puspakom, sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih
baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke
memaklumkan, Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan
pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
bermula 1 Sept 2024.
Anthony berkata, langkah itu berdasarkan keputusan
mesyuarat Kabinet pada 17 Mac lepas agar perkhidmatan pemeriksaan berkala
kenderaan motor, dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, keputusan untuk
menamatkan monopoli ini harus disertakan dengan penubuhan satu badan pemantau,
bagi mengawal selia perkhidmatan dan menangani sekiranya terdapat aduan
membabitkan kualiti dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh
syarikat-syarikat terlibat.
"Saya mohon kerajaan tubuhkan satu badan untuk
kesan semua kelemahan dalam perkhidmatan yang diberikan, termasuk sama ada dari
Puspakom mahupun syarikat-syarikat baharu dan kemudiannya melakukan siasatan
untuk membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, runner Puspakom Ahmad Fuad, 35,
berkata, keputusan yang dibuat kerajaan ini dilihat dapat membuka lebih banyak
peluang untuknya menerima ‘kerja’ daripada pelanggan dan tidak lagi hanya
terhad dengan Puspakom.
"Biasanya kalau saya bawa masuk kenderaan berat
untuk pemeriksaan di Puspakom akan ambil masa seharian lebih kurang dari 9 pagi
hingga 6 petang, tetapi bila ada syarikat lain yang tawarkan perkhidmatan sama,
sudah tentu dari segi masa juga dapat dijimatkan dan saya mungkin boleh ambil
dua atau tiga ‘kerja’ dalam sehari,” katanya.
Ahmad yang telah menawarkan perkhidmatannya sejak
2014 berharap, syarikat baharu yang akan menawarkan pemeriksaan berkala
kenderaan motor ini kelak, menggunakan peralatan yang canggih setara dengan apa
yang terdapat di Puspakom atau lebih berteknologi tinggi.
"Sebab kita tidak mahu adanya syarikat baharu
wujud, tetapi perkhidmatan yang diberikan lebih teruk atau tidak ada perubahan,
kerana apa yang kita harapkan adalah penambahbaikan dalam perkhidmatan,”
katanya. - Bernama
Artikel oleh: Sinar Harian
HAPUS MONOPOLI PUSPAKOM BUKA RUANG TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN
No comments:
Post a Comment