Thursday, March 2, 2023

FILEM PENDEK MENTEGA TERBANG TERUS DIKECAM - BEBAS NEWS - 02/03/2023

 

SEPANG — Filem pendek Mentega Terbang terus mendapat kecaman dan desakan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berikutan ia didakwa bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini turut menggesa kerajaan dan pihak berkuasa lain mengambil tindakan tegas terhadap penerbit, pelakon dan individu yang terbabit dalam pembikinan filem itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata filem terbabit yang tular di media sosial baru-baru ini jelas mencabar dan membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di negara ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) perlu bertindak dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mengambil tindakan kerana filem itu adalah satu provokasi terhadap umat Islam di negara ini.

“Hentikan amalan berselindung di sebalik ‘tiada kuasa’, maruah agama Islam semakin diinjak-injak di negara ini, perbuatan ini sangat melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim berkata, video itu secara terang mengajak agama lain memperkecilkan Islam sekali gus mencetuskan kemarahan sehingga menyebabkan keresahan dan mungkin pergaduhan antara kaum.

“Kesan penyebaran video itu juga amat besar kerana ia jelas sekali memesongkan akidah, mengelirukan umat Islam terutama anak muda. 

“Adakah pihak penerbit dan pengarah sudah terlalu ketandusan idea menerbitkan filem sehingga mencabar umat Islam di negara ini?,” katanya. 

Pada masa yang sama, Nadzim menyeru Menteri Hal Ehwal Undang Undang, Datuk Seri Azalina Othman mempertimbangkan hukuman lebih berat dan tegas terhadap mereka yang menghina agama lain khususnya Islam. 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jakim sedang meneliti kandungan filem berkenaan secara menyeluruh dan mengemukakan laporan terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut berpandukan undang-undang sedia ada. 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diarah memanggil mereka yang terbabit dengan penerbitan filem itu. 

Menurut Mohd Na’im, pihaknya memahami sensitiviti masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan apa juga kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian Islam lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup. 

Sebelum ini juga Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi terhadap produksi filem Mentega Terbang. 

Ketua Penerangan Putra, Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif menyifatkan filem itu cukup berbahaya kepada anak-anak muda khususnya yang belum memahami ajaran Islam sepenuhnya. 

“Filem tersebut jelas satu provokasi terhadap Islam agama Persekutuan yang meletakkan Islam sama dengan agama-agama lain,” katanya 

Beliau juga mahu pihak berkuasa termasuk Jakim dan Jawi bertindak dan selanjutnya Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan filem itu selepas mendapat nasihat dari Jakim atau Majlis Agama Islam. 

“Ini kerana filem itu cukup berbahaya kepada anak-anak muda khususnya yang belum memahami ajaran Islam sepenuhnya,” katanya. 

Mentega Terbang mengisahkan pencarian seorang remaja terhadap apakah yang akan berlaku selepas seseorang itu meninggal dunia. 

Berdasarkan treler, terdapat adegan remaja itu membaca Bible. Terdapat juga gambaran dan dialog berkaitan rumah ibadat pelbagai agama. — BebasNews 


Artikel oleh: BebasNews 

FILEM PENDEK MENTEGA TERBANG TERUS DIKECAM

https://bebasnews.my/2023/03/02/filem-pendek-mentega-terbang-terus-dikecam/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL