Tuesday, March 14, 2023

BERI PINJAMAN BOLEH JEJAS KWSP - UTUSAN MALAYSIA - 14/03/2023

 

PETALING JAYA: Cadangan supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri bertindak seperti institusi perbankan dengan memberi pinjaman te­rus tanpa pihak ketiga dikhua­tiri akan menjejaskan fokus dan matlamat orga­nisasi itu. 

Selain tiada sistem dan pe­ngalaman sebagai bank, KWSP juga mungkin akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk pelanggaran undang-undang.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, sekiranya dilaksanakan, dibimbangi boleh menjejaskan pelaburan agensi itu kerana KWSP terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk memberi pinjaman. 

SISTEM

“Kedua, KWSP bukan bank, jadi mereka tidak ada sistem atau pengalaman untuk menilai risiko pinjaman. 

“Mungkin ada risiko bayaran balik menyebabkan KWSP kerugian dari segi pelaburan serta pencarum hilang wang,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kerajaan sebelum ini bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar, hanya pencarum KWSP tertentu sahaja akan diberi pertimbangan menggunakan caruman mereka sebagai cagaran. 

Justeru, Razman menambah, kerajaan diminta untuk mewujudkan satu platform bagi membolehkan orang ramai tahu ke mana mereka perlu pergi untuk mendapatkan bantuan terhadap masalah yang dihadapi. 

Katanya, ini kerana apa sahaja idea dan alternatif berasaskan pembiayaan mesti menggunakan saluran sepatutnya sama ada menggunakan geran atau dana daripada agensi yang bertanggungjawab. 

FUNGSI

“Jadi, tidak boleh kalau tiba-tiba tukar fungsi sesebuah agensi itu hanya untuk memenuhi keperluan semasa iaitu menggunakan geran atau dana daripada agensi berkenaan.

“Banyak agensi yang boleh bantu, cuma perlu pergiatkan supaya orang ramai tahu,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan menjadikan baki simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman ha­nya menguntungkan institusi perbankan. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mempunyai badan atau jawatankuasa tertentu bagi menjadi pemudah cara terhadap masalah yang dialami rakyat supaya mereka terus tidak terkesan. 

“Contoh, mungkin jawatankuasa itu boleh berhubung dengan bank supaya jangan caj kadar faedah atau potong kadarnya. Itu adalah lebih baik,’’ katanya. 


Artikel oleh: Utusan Malaysia

BERI PINJAMAN BOLEH JEJAS KWSP

https://www.utusan.com.my/berita/2023/03/beri-pinjaman-boleh-jejas-kwsp/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL