KUALA LUMPUR, 27 Mac 2023 – Syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau along bukan sahaja rakus mengutip duit dan mengaut keuntungan, malah didakwa mula menghina agama Islam.
Menerusi sebuah video, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Nadzim Johan membongkarkan sebuah mesej menunjukkan seorang peminjam diganggu oleh along yang turut menghina agama Islam selepas peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman.
Ujar beliau, “Mereka ini mempunyai karakter yang cukup merisaukan. 99% tak tahu cakap Melayu, dia cakap huru-hara. 99% hina Islam, mereka ini datang daripada mana? Bahasa Melayu pun tak boleh! Hina Islam pula!”
“Mana dia jabatan-jabatan patut mengambil tindakan penghinaan Islam ini? Tak ada apapun! Mana dia KDN? Bukan setakat hina Islam, hina Melayu, hina semuanya. Selepas itu duit diambil juga, banyak pula tu!” tegas Ketua Aktivis PPIM yang juga dikenali sebagai Toqqi.
Sementara itu, Setiausaha PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata pihaknya cuba menghubungi along berkenaan, namun individu tersebut bertindak agresif dan bergaduh dengan aktivis PPIM.
Jelas Muhammad Zharif, “Along ini berada di Johor dan kita tidak dapat mengenal pasti siapa sebenarnya mereka kerana nombor telefon tidak didaftarkan di negara ini, sekali gus menjadikan siasatan siapa dalang di sebalik penghinaan (agama Islam) itu lebih sukar.”
Pihaknya juga sedang mencari jalan penyelesaian dan berharap agar Kerajaan serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memantau pendaftaran telefon mudah alih dengan lebih ketat.
Selain itu, Kerajaan juga diseru memberi kesedaran kepada rakyat mengenai bahayanya memberikan maklumat peribadi untuk digunakan bagi mendaftar talian telefon mudah alih.
Mengulas lanjut, Toqqi menegaskan, “Saya buat aduan ini kepada pihak polis untuk kaji apa dia punya profile, apa dia punya background, tidak boleh bercakap tanpa batasan suka-suka hati saja.”
Beliau juga bimbang dengan sikap ketidakacuhan rakyat Malaysia apabila anak bangsa dan agama dihina sebegini.
Tegasnya, “Kita tidak ada keprihatinan. Ini dahsyat ni! Anak kita dihina, bangsa kita dihina, agama kita dihina pun kita ambil mudah. Jadi perkara ini dikaji sebaik mungkin. Jangan diserah kepada NGO-NGO kecil macam kami ni. Buatlah sesuatu Tuan.”
Artikel oleh: Samudera.my
BUKAN TAKAT KUTIP DUIT, ALONG MULA HINA ISLAM!
https://www.samudera.my/bukan-takat-kutip-duit-along-mula-hina-islam-ppim/
No comments:
Post a Comment