Wednesday, March 1, 2023

PPIM GESA KERAJAAN BEKERJASAMA DENGAN NGO TANGANI ISU KEBANKRAPAN - DAGANGNEWS - 28/02/2023

 

KUALA LUMPUR 28 Feb - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu rakyat berdepan isu kebankrapan bagi mendapat maklumat dan data yang tepat. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan tidak boleh bergantung 100% kepada Jabatan Insolvensi menangani isu tersebut kerana tidak semua rakyat berurusan dengan jabatan itu. 

Pihaknya berpendapat, perjalanan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju masih jauh jika kerajaan gagal menangani masalah kebankrapan khususnya rakyat yang mahu mencari penyelesaian, tetapi tiada kerjasama daripada pihak pemiutang. 

Ujarnya, antara isu yang masih membelenggu rakyat adalah mereka yang tersenarai sebagai bankrap atau muflis melebihi RM50,000 atas pelbagai faktor. 

"Antara faktor utama ialah mereka menjadi mangsa penipuan atau fraud. 

"Ada aduan kami terima tandatangan mangsa digunakan membuat pinjaman bernilai jutaan ringgit sedangkan mangsa pada ketika itu hanya seorang kerani dengan gaji bulanan tidak sampai RM2,000. 

PPIM dalam proses membantu mangsa itu mendapat pembelaan di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, PPIM menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan untuk melepaskan individu yang diisytihar muflis melibatkan hutang di bawah RM50,000 ke bawah.

Datuk Nadzim Johan (dua, kiri) ketika mengadakan sidang akhbar berhubung isu muflis pada 28 Februari 2023.


Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini. 

Sementara itu, Nadzim turut mempersoalkan tentang nilai borang bukti hutang keseluruhan RM50,000 ke bawah sahaja yang dibebaskan daripada kebankrapan. 

"Adakah mereka yang ditadbir insolvensi dan membayar ansuran bulanan kepada Jabatan Insolvensi sahaja yang boleh dibebaskan? 

"Bagaimana pula dengan mereka yang bankrap dengan nilai hutang tidak sampai RM50,000 tetapi tidak pernah ditadbir oleh Jabatan Insolvensi?," soalnya. 

Katanya, masih banyak isu berkaitan insolvensi dan muflis perlu diperjelaskan termasuk langkah yang diambil pengguna jika berdepan masalah kewangan melibatkan kebankrapan. - DagangNews.com


Artikel oleh: DagangNews

PPIM GESA KERAJAAN BEKERJASAMA DENGAN NGO TANGANI ISU KEBANKRAPAN

https://www.dagangnews.com/content/ppim-gesa-kerajaan-bekerjasama-dengan-ngo-tangani-isu-kebankrapan-24387

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL