Showing posts with label DAGANGNEWS. Show all posts
Showing posts with label DAGANGNEWS. Show all posts

Wednesday, January 3, 2024

PPIM BERI SOKONGAN TIDAK BERBELAH BAGI CADANGAN GUNA DINAR EMAS - DAGANGNEWS - 02/01/2024

 

KUALA LUMPUR 2 Jan - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap insiatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi penggunaan dinar emas.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, penggunaan nilai standard dinar emas adalah lebih adil dan lebih stabil berbanding dengan dolar AS.

Malah katanya, usaha ini pasti akan memberikan kesan yang positif kepada ekosistem kepenggunaan di negara ini, khususnya kawalan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.

Sehubungan itu, kata Nadzim, PPIM menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mencadangkan penggunaan dinar emas sebagai nilai standard asas rizab negara.

"Walaupun ia adalah sesuatu amalan yang praktikal dan adil, namun sejak 1971 ia dihapuskan dan wujudlah apa yang dikenali sebagai mata wang Fiat yang tidak berasaskan apa-apa komoditi tetapi setakat disokong oleh negara pengeluar mata wang tersebut," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan

Tambah Nadzim, penggunaan dinar emas bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS juga lebih awal telah disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, katanya, ia amat sulit diamalkan kerana perdagangan antarabangsa dunia telah terlalu bergantung kepada nilai dolar AS.

Nadzim dalam kenyataan itu juga percaya jika semua negara Islam yang kaya dengan sumber bumi yang berharga seperti minyak dan lain-lain galian serta komoditi memberi tekanan melalui kaedah sekatan bekalan, lambat laun ekonomi gergasi dunia akan terpaksa tunduk kepada amalan yang lebih adil ini.- DagangNews.com

Artikel oleh: DagangNews

PPIM BERI SOKONGAN TIDAK BERBELAH BAGI CADANGAN GUNA DINAR EMAS

https://www.dagangnews.com/article/ppim-beri-sokongan-tidak-berbelah-bagi-cadangan-guna-dinar-emas-33644

Friday, July 14, 2023

PPIM DEDAH INSTITUSI PERBANKAN JUAL KES HUTANG LAPUK KEPADA PIHAK KETIGA - DAGANGNEWS - 13/07/2023

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan mengenai syarikat pemungut hutang yang bertindak melampaui batas sehingga mengugut rakyat untuk mendapatkan kembali hutang. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat beberapa kes yang disiasat oleh PPIM mendapati syarikat pihak ketiga atau 'debt collector' ini tidak dipantau mana-mana agensi kerajaan. 

Beliau berkata, mereka sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbangkan usaha mangsa dalam menyelesaikan hutang berkenaan. 

Katanya, walaupun had kebankrapan dinaikkan, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu malah mengugut untuk melelong harta yang bukan milik mangsa. 

"Kami sudah semak dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kewangan, semua syarikat yang kami dedahkan nama kepada pihak BNM tidak dipantau oleh agensi mahupun kementerian," katanya dalam kenyataan media di sini. 

Lebih memburukkan keadaan, aktivis PPIM yang mengendalikan kes memaklumkan pihak BNM memberi maklum balas syarikat-syarikat ini mungkin akan dipantau pada tahun 2035. 

Dalam satu sidang media hari ini, PPIM bersama seorang mangsa mendedahkan dia diugut syarikat pemungut hutang walaupun sudah beberapa kali cuba berunding dengan syarikat pemiutang sejak dari awal. 

Mangsa berkenaan memaklumkan, selepas kehilangan pekerjaan, dia menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan lain namun tidak pernah berhenti untuk berusaha menjelaskan hutang tertunggak berjumlah RM15,000.

Artikel oleh: DagangNews

PPIM DEDAH INSTITUSI PERBANKAN JUAL KES HUTANG LAPUK KEPADA PIHAK KETIGA

https://www.dagangnews.com/article/ppim-dedah-institusi-perbankan-jual-kes-hutang-lapuk-kepada-pihak-ketiga-28270

Friday, June 23, 2023

PPIM GESA KERAJAAN SEGERA LAKSANA PROGRAM SUBSIDI PETROL BERSASAR UNTUK ELAK KETIRISAN - DAGANGNEWS - 23/06/2023

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan segera melaksanakan program subsidi petrol bersasar bagi memastikan tiada hasil negara yang 'dirompak' secara terbuka. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, setiap hari pengguna melaporkan kes kenderaan negara jiran mengisi petrol bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan negara. 

Katanya, lebih mengejutkan kes terbaru yang melibatkan seorang penghantar barang dan makanan digantung tugas kerana merakam dan menularkan perbuatan biadab warga asing yang cuba mengisi minyak petrol bersubsidi ke dalam tong. 

"Bukan sahaja tidak ada tindakan langsung dari Kerajaan Malaysia terhadap pelaku, malah warganegara yang setia mempertahankan hak negara dipersalahkan dan digantung kerja sehingga menjejas pendapatannya, di mana maruah kita sebagai sebuah negara? 

"Adakah pihak berwajib kita sudah tidak ada rasa sayang dan cintakan negara lagi? Bersusah payah barisan hadapan negara menjaga keamanan negara, warga asing boleh suka-suka merompak harta kita," katanya dalam kenyataan media di sini. 

Sebelum ini tular di media sosial, video yang memaparkan seorang lelaki penghantar makanan dan barangan menegur dua lelaki dipercayai warga asing mengisi petrol bersubsidi R0N95 ke dalam tong. 

Namun, tindakan lelaki itu telah mencetus pertengkaran mulut antara mereka dan di dalam video tersebut salah seorang daripada lelaki itu mengeluarkan besi dipercayai untuk mengugut pengadu. 

Datuk Nadzim Johan


Pihak polis bagaimanapun berkata kejadian itu satu salah faham kerana warga asing tersebut mengisi minyak untuk kenderaan jenis go-kart. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat AriffIn berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box pada jam 8.37 malam, 16 Jun 2023. 

Nadzim mempersoalkan sama ada itu dibenarkan dan bagaimana untuk memastikan warga asing tidak menyeludup petrol bersubsidi itu keluar negara. - DagangNews.com

Artikel oleh: DagangNews

PPIM GESA KERAJAAN SEGERA LAKSANA PROGRAM SUBSIDI PETROL BERSASAR UNTUK ELAK KETIRISAN

Wednesday, March 1, 2023

PPIM GESA KERAJAAN BEKERJASAMA DENGAN NGO TANGANI ISU KEBANKRAPAN - DAGANGNEWS - 28/02/2023

 

KUALA LUMPUR 28 Feb - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu rakyat berdepan isu kebankrapan bagi mendapat maklumat dan data yang tepat. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan tidak boleh bergantung 100% kepada Jabatan Insolvensi menangani isu tersebut kerana tidak semua rakyat berurusan dengan jabatan itu. 

Pihaknya berpendapat, perjalanan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju masih jauh jika kerajaan gagal menangani masalah kebankrapan khususnya rakyat yang mahu mencari penyelesaian, tetapi tiada kerjasama daripada pihak pemiutang. 

Ujarnya, antara isu yang masih membelenggu rakyat adalah mereka yang tersenarai sebagai bankrap atau muflis melebihi RM50,000 atas pelbagai faktor. 

"Antara faktor utama ialah mereka menjadi mangsa penipuan atau fraud. 

"Ada aduan kami terima tandatangan mangsa digunakan membuat pinjaman bernilai jutaan ringgit sedangkan mangsa pada ketika itu hanya seorang kerani dengan gaji bulanan tidak sampai RM2,000. 

PPIM dalam proses membantu mangsa itu mendapat pembelaan di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, PPIM menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan untuk melepaskan individu yang diisytihar muflis melibatkan hutang di bawah RM50,000 ke bawah.

Datuk Nadzim Johan (dua, kiri) ketika mengadakan sidang akhbar berhubung isu muflis pada 28 Februari 2023.


Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini. 

Sementara itu, Nadzim turut mempersoalkan tentang nilai borang bukti hutang keseluruhan RM50,000 ke bawah sahaja yang dibebaskan daripada kebankrapan. 

"Adakah mereka yang ditadbir insolvensi dan membayar ansuran bulanan kepada Jabatan Insolvensi sahaja yang boleh dibebaskan? 

"Bagaimana pula dengan mereka yang bankrap dengan nilai hutang tidak sampai RM50,000 tetapi tidak pernah ditadbir oleh Jabatan Insolvensi?," soalnya. 

Katanya, masih banyak isu berkaitan insolvensi dan muflis perlu diperjelaskan termasuk langkah yang diambil pengguna jika berdepan masalah kewangan melibatkan kebankrapan. - DagangNews.com


Artikel oleh: DagangNews

PPIM GESA KERAJAAN BEKERJASAMA DENGAN NGO TANGANI ISU KEBANKRAPAN

https://www.dagangnews.com/content/ppim-gesa-kerajaan-bekerjasama-dengan-ngo-tangani-isu-kebankrapan-24387

Friday, February 10, 2023

PPIM SOKONG GESAAN UNTUK KERAJAAN TANGGUH PELAKSANAAN SEMAKAN SURCAJ TARIF ELEKTRIK - DAGANGNEWS - 03/02/2023

 

KUALA LUMPUR 3 Feb - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan semakan surcaj tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV) yang berkuat kuasa 1 Januari 2023. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. 

"Rakan NGO PPIM, Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) mencadangkan kerajaan menangguhkan semakan surcaj itu kerana memikirkan nasib pengguna khususnya golongan berpendapatan sederhana atau M40," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Walaupun semakan itu dikatakan khusus untuk pengguna industri, Nadzim berpendapat, tanggungan kenaikan kos oleh peniaga memberi kesan kepada pengguna akhir kerana peniaga akan menaikkan harga. 

PPIM memetik kenyataan Presiden Huazong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang berkata, Huazong telah menerima banyak aduan daripada pengeluar tempatan yang mengadu semakan tarif surcaj itu menyebabkan kadar bayaran naik terlalu drastik dan tidak tertanggung oleh mereka. 

Tian Chuan memberi contoh seorang pengilang di Selangor mengadu susulan semakan semula tarif kuasa psfs 20 sen/kWj, bil elektrik untuk 308,586 kWj pada bulan lepas adalah RM61,717 berbanding sebelum ini sebanyak 3.7 sen/kWj pada jumlah RM 11,417.68 untuk penggunaan yang sama.

"Dalam erti kata lain, dia kini terpaksa membayar tambahan sebanyak RM 50,299.52 atau bersamaan lima kali ganda," katanya. 

Tambah Tian Chuan lagi banyak pengilang tempatan mengeluh bahawa kenaikan drastik dalam tarif tenaga sudah pasti akan memberi impak yang mendalam kepada setiap industri, tanpa mengira saiz. 

Huazong berharap kerajaan akan lebih prihatin terhadap nasib mereka dan menangguhkan sementara pelaksanaan semakan semula tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV). 

Pertubuhan itu juga menggesa kerajaan untuk melibatkan diri dengan wakil pengeluar dan perniagaan tempatan untuk memahami dengan lebih baik nasib mereka berhubung tarif kuasa yang disemak semula dan mencari penyelesaian untuk semua pihak yang berkenaan. 


Artikel oleh: DagangNews

PPIM SOKONG GESAAN UNTUK KERAJAAN TANGGUH PELAKSANAAN SEMAKAN SURCAJ TARIF ELEKTRIK

https://www.dagangnews.com/content/ppim-sokong-gesaan-untuk-kerajaan-tangguh-pelaksanaan-semakan-surcaj-tarif-elektrik-23620

Tuesday, November 1, 2022

PENGUNDI DIINGATKAN SUPAYA MEMILIH WAKIL RAKYAT, BUKAN WAKIL PARTI - PPIM - DAGANGNEWS - 26/10/2022

 

KUALA LUMPUR 26 Okt - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberi ingatan kepada masyarakat agar memberi perhatian mengenai ciri-ciri calon yang akan bertanding di dalam PRU-1 5 ini.

Ketua Akfivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM menerima banyak pertanyaan daripada rakyat yang bertanyakan siapakah pemimpin yang patut mereka pilih.

"Mengikut sejarah kita, menteri-menteri/ahli parlimen kita yang lalu tidak membantu, tidak berintegrifi, sombong dan menyusahkan rakyat.

"Kami membuka pintu kepada calon-calon yang mahukan sokongan kami, wajib mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik, jujur, bekerjasama, mempunyai hati dan kebijaksanaan untuk membantu rakyat serta mengharmonikan negara, sanggup ke depan dan berkorban untuk rakyat", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nadzim berkata, kuasa rakyat dan NGO akan bersama-sama menjadi pendesak kepada calon-calon yang tidak menepati cita rasa rakyat.

Justeru, sebelum PRU-1 5 ini, PPIM akan mewujudkan satu gerakan sukarelawan rakyat yang mengikut perlembagaan dan kemanusiaan, di mana semua NGO boleh menyuarakan hasrat dan kemarahan mereka kepada calon-calon yang tidak melakukan yang terbaik dan menipu.

Nadzim juga meminta rakyat supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna bijaksana.


Artikel oleh: DagangNews

PENGUNDI DIINGATKAN SUPAYA MEMILIH WAKIL RAKYAT, BUKAN WAKIL PARTI - PPIM

https://www.dagangnews.com/content/pengundi-diingatkan-supaya-memilih-wakil-rakyat-bukan-wakil-parti-ppim-20676

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL