Friday, July 14, 2023

PPIM DEDAH INSTITUSI PERBANKAN JUAL KES HUTANG LAPUK KEPADA PIHAK KETIGA - DAGANGNEWS - 13/07/2023

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan mengenai syarikat pemungut hutang yang bertindak melampaui batas sehingga mengugut rakyat untuk mendapatkan kembali hutang. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat beberapa kes yang disiasat oleh PPIM mendapati syarikat pihak ketiga atau 'debt collector' ini tidak dipantau mana-mana agensi kerajaan. 

Beliau berkata, mereka sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbangkan usaha mangsa dalam menyelesaikan hutang berkenaan. 

Katanya, walaupun had kebankrapan dinaikkan, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu malah mengugut untuk melelong harta yang bukan milik mangsa. 

"Kami sudah semak dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kewangan, semua syarikat yang kami dedahkan nama kepada pihak BNM tidak dipantau oleh agensi mahupun kementerian," katanya dalam kenyataan media di sini. 

Lebih memburukkan keadaan, aktivis PPIM yang mengendalikan kes memaklumkan pihak BNM memberi maklum balas syarikat-syarikat ini mungkin akan dipantau pada tahun 2035. 

Dalam satu sidang media hari ini, PPIM bersama seorang mangsa mendedahkan dia diugut syarikat pemungut hutang walaupun sudah beberapa kali cuba berunding dengan syarikat pemiutang sejak dari awal. 

Mangsa berkenaan memaklumkan, selepas kehilangan pekerjaan, dia menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan lain namun tidak pernah berhenti untuk berusaha menjelaskan hutang tertunggak berjumlah RM15,000.

Artikel oleh: DagangNews

PPIM DEDAH INSTITUSI PERBANKAN JUAL KES HUTANG LAPUK KEPADA PIHAK KETIGA

https://www.dagangnews.com/article/ppim-dedah-institusi-perbankan-jual-kes-hutang-lapuk-kepada-pihak-ketiga-28270

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...