KANGAR - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan agar
kerajaan memansuhkan penggunaan label beras import dan beras tempatan bagi
mengatasi isu tukar label kampit beras putih.
Presiden Persatuan Pengilang Beras SPB Melayu Kedah-Perlis, Marzukhi Othman berkata, label beras Super Spesial Tempatan (SST) dan Super Spesial Import (SSI) pada kampit beras putih membuka ruang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memperolehi keuntungan berlipat kali ganda.
"Saya
cadangkan agar kita tidak perlu lagi letak label beras SST atau SSI pada kampit
beras dan hanya letak label beras putih bagi mengelak berlakunya manipulasi
orang tengah.
"Ini kerana harga beras tempatan ditetapkan
pada harga RM2.60 sekilogram (kg), manakala harga beras import bergantung
kepada harga pasaran,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata, pemansuhan label yang membezakan beras import dan beras
tempatan juga akan memberi keadilan kepada petani, pengilang dan pengguna serta
dapat mengharmonikan kembali industri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru
ini memberi amaran tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menukar bh bungkusan atau label beras tempatan serta
menjualnya di pasaran pada harga beras import untuk meraih keuntungan berlipat
kali ganda, kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Perihal
Dagangan 2011.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan senada dengan cadangan pemansuhan label beras import dan
tempatan pada kampit beras putih bagi mengelak berlakunya penyelewengan yang
hanya merugikan pengguna.
Katanya, pengguna juga perlu diberi pendedahan agar dapat membuat
pilihan yang tepat ketika membeli barang dan tidak mudah tertipu.
Sementara itu Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam ketika
dihubungi berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 31 pemborong
dan 385 premis di seluruh negara menerusi Op Jamin bagi menguat kuasa dan
memantau bekalan beras di seluruh negara.
"Setakat ini KPDN menerima 14 aduan daripada orang ramai
berhubungkan kekurangan beras SST di pasaran,” katanya. – Bernama
Artikel oleh: Sinar Harian
NGO SARAN MANSUH PENGGUNAAN LABEL BERAS IMPORT, TEMPATAN
No comments:
Post a Comment