Saturday, July 15, 2023

PEMIUTANG UGUT LELONG RUMAH BUKAN MILIK ORANG BERHUTANG - PPIM - BEBAS NEWS - 13/07/2023

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan mengenai syarikat pemungut hutang yang melampaui batas sehingga mengugut orang yang berhutang untuk mendapatkan kembali hutang mereka. 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, terdapat beberapa kes yang disiasat oleh PPIM mendapati syarikat pihak ketiga atau ‘debt collector’ ini tidak dipantau mana- mana agensi kerajaan. 

“Mereka sewenang-wenangnya bertindak mengugut mangsa tanpa mempertimbang usaha mangsa dalam menyelesaikan hutang berkenaan,” katanya atau lebih dikenali sebagai Toqqi dalam kenyataan media hari ini. 

Walaupun had kebankrapan telah dinaikkan kata Nadzim, pihak pemungut hutang tidak mempedulikan undang-undang itu malah mengugut untuk melelong harta yang walaupun bukan milik mangsa. 

“Kami sudah semak dengan Bank Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, semua syarikat (pemungut hutang) yang kami dedahkan nama kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM), tidak dipantau mereka atau agensi mahupun kementerian,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, aktivis PPIM yang mengendalikan kes memaklumkan pihak BNM memberi maklum balas syarikat-syarikat ini mungkin dipantau pada 2035. 

PPIM dalam satu sidang media hari ini memberitahu, seorang mangsa mendedahkan dia diugut oleh syarikat pemungut hutang walaupun sudah beberapa kali cuba berunding dengan syarikat pemiutang sejak awal. 

Mangsa berkata, dia yang kehilangan pekerjaan menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan lain namun tidak pernah berhenti untuk cuba menjelaskan hutangnya yang tertunggak sehingga RM15,000. 

Mangsa yang menetap di rumah keluarga milik bapanya berkata, syarikat pengutip hutang mengugut untuk melelong rumah yang didiami keluarga itu walaupun geran rumah itu tidak mempunyai nama mangsa dan dimiliki bapanya. 

PPIM kata Nadzim menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dan segera memastikan syarikat yang membeli fail hutang lapuk daripada institusi perbankan dikawal selia segera dan dipantau mengikut peruntukan undang-undang. 

“Seluruh negara sedang sakit, sakit fizikal dan mental akibat tekanan kewangan. Mengapa syarikat begini dibiarkan menekan rakyat dan mengugut mereka tanpa belas kesihan, siapa pemimpin negara yang akan tampil bantu rakyat kita,” katanya.


Artikel oleh: Bebas News

PEMIUTANG UGUT LELONG RUMAH BUKAN MILIK ORANG BERHUTANG - PPIM

https://bebasnews.my/2023/07/13/pemiutang-ugut-lelong-rumah-bukan-milik-orang-berhutang-ppim/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...