KUALA LUMPUR: Privasi dan ketenteraman hidup peminjam yang mempunyai hutang lapuk kini mula terjejas dan berisiko berikutan maklumat mengenai akaun mereka telah didedah dan diberikan oleh Institusi Perbankan kepada pihak ketiga yang bertindak sebagai pemungut hutang.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) atas maklumat dan aduan yang diterima oleh beberapa peminjam yang mempunyai hutang lapuk.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata ada syarikat pemungut hutang atau ‘debt collector’ ini bertindak melampaui batas sehingga mengugut untuk melelong barang peminjam.
Terdapat juga beberapa kes yang disiasat oleh PPIM mendapati syarikat pihak ketiga ini tidak dipantau oleh mana-mana agensi kerajaan.
“Akibat tidak dipantau syarikat pemungut hutang mula melampaui batas sehingga mengugut peminjam untuk melunaskan hutang termasuk menceroboh kediaman peminjam,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di pejabat PPIM di ibu negara.
Sementara itu seorang mangsa yang enggan dikenali mendedahkan, dia pernah diugut syarikat pemungut hutang walaupun sudah beberapa kali cuba berunding dengan mereka sejak dari awal.
“Pinjaman yang dibuat bermula dari tahun 2017 tetapi saya berhenti membayar pada tahun 2018 kerana sudah tidak bekerja.
“Sebelum ini, saya tidak pernah berhenti membayar malah tetap cuba untuk terus melunaskan pinjaman,” ujarnya
Seorang lagi mangsa pula mendakwa, pemungut hutang terbabit juga mengugut untuk melelong barangan dalam rumah milik bapanya hanya kerana dia yang mendiami rumah berkenaan.
“Pihak ketiga datang ke rumah untuk memberi amaran malah menampal notis berwarna merah jambu yang bermaksud untuk menyita kediaman, ketika perkara ini berlaku saya tidak mendapat panggilan telefon daripada pihak bank.
“Saya cuba pergi ke bank untuk mendapatkan penjelasan tetapi diberitahu akaun sudah lama dibekukan dan perlu berurusan dengan pihak ketiga” katanya.
Tambahnya lagi, pihak ketiga juga telah pecah masuk kediamannya dan mereka juga hanya membiarkan rumah itu terbuka selepas beredar.
Seorang peguam , Rizal Abdullah menyatakan pihak bank bertanggungjawab untuk tidak menjual hutang peminjam kepada mana-mana pihak dan pihak bank seharusnya berurusan dengan peminjam terlebih dahulu,
Susulan isu terbabit, PPIM menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam memastikan syarikat yang membeli fail hutang lapuk daripada institusi perbankan dapat dikawal selia segera dan dipantau mengikut peruntukan undang-undang.
Artikel oleh: Buletin TV3
PEMUNGUT HUTANG LAPUK TERDESAK HINGGA CEROBOH RUMAH PEMINJAM - PPIM
https://www.buletintv3.my/jenayah/pemungut-hutang-lapuk-terdesak-hingga-ceroboh-rumah-peminjam-ppim/
No comments:
Post a Comment