Thursday, March 2, 2023

PROVOKASI TERHADAP ISLAM, PPIM TUNTUT TINDAKAN TEGAS TERHADAP MENTEGA TERBANG - BERITA HARIAN - 02/03/2023

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa lain mengambil tindakan tegas terhadap penerbit, pelakon dan individu yang terbabit dalam pembikinan filem pendek Mentega Terbang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata filem terbabit yang tular di media sosial baru-baru ini jelas mencabar dan membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di negara ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) perlu bertindak dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mengambil tindakan kerana filem itu adalah satu provokasi terhadap umat Islam di negara ini.

"Hentikan amalan berselindung di sebalik 'tiada kuasa', maruah agama Islam semakin diinjak-injak di negara ini, perbuatan ini sangat melampau," katanya melalui kenyataan hari ini.

Nadzim berkata, video itu secara terang mengajak agama lain memperkecilkan Islam sekali gus mencetuskan kemarahan sehingga menyebabkan keresahan dan mungkin pergaduhan antara kaum.

"Kesan penyebaran video itu juga amat besar kerana ia jelas sekali memesongkan akidah, mengelirukan umat Islam terutama anak muda.

"Adakah pihak penerbit dan pengarah sudah terlalu ketandusan idea menerbitkan filem sehingga mencabar umat Islam di negara ini?"Justeru, semua pihak termasuk, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu mengambil tindakan agar semua yang terbabit ditangkap dan diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Nadzim menyeru Menteri Hal Ehwal Undang Undang, Datuk Seri Azalina Othman mempertimbangkan hukuman lebih berat dan tegas terhadap mereka yang menghina agama lain khususnya Islam.

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah memanggil mereka yang terbabit dengan penerbitan filem dalam talian berjudul Mentega Terbang yang didakwa bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam yang memegang Mazhab Syafie.


Artikel oleh: Berita Harian

PROVOKASI TERHADAP ISLAM, PPIM TUNTUT TINDAKAN TEGAS TERHADAP MENTEGA TERBANG

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1071176/provokasi-terhadap-islam-ppim-tuntut-tindakan-tegas-terhadap-mentega

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL