Tuesday, March 21, 2023

PECAHKAN MONOPOLI TNG, WUJUDKAN BANYAK SAINGAN - BERITA HARIAN - 21/03/2023

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memecahkan monopoli Touch 'n Go (TnG) dengan mewujudkan banyak persaingan supaya pengguna mempunyai pilihan dalam memilih perkhidmatan yang ditawarkan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata tindakan monopoli tanpa saingan menyebabkan kualiti perkhidmatan ditawarkan semakin menurun.

"Sebenarnya patut disemak balik terutama kontrak yang diberi kepada TnG kerana saya sendiri banyak membuat aduan, palang tak bergerak, caj dikenakan berbeza dan mereka ibarat tidak perlu menjawab kepada sesiapa.

"Akhirnya menyebabkan mereka terlalu selesa kerana terlalu lama memonopoli dan kalau boleh kerajaan perlu menghentikan monopoli ini, biar lebih banyak perkhidmatan serupa ditawarkan kepada rakyat," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementeriannya untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.

Beliau berkata, buat masa ini, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi bayangan monopoli TnG mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Nadzim berkata, yang penting ialah sebarang perkhidmatan yang ditawarkan, tidak menyusahkan rakyat.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kontrak mana-mana syarikat yang diberi peluang untuk menawarkan perkhidmatan serupa kelak, perlu dimasukkan terma yang mana mereka boleh dikenakan denda dan hukuman jika wujud banyak aduan terhadap mereka.

"Jadi saya melihat cadangan kerajaan untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka untuk menghentikan monopoli TnG amat disokong kerana apa yang penting, setiap perkhidmatan itu, untuk menyenangkan rakyat selaku pengguna," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj, berkata sekiranya wujud saingan kepada perkhidmatan TnG, pengguna boleh membanding kualiti perkhidmatan serta kos yang ditawarkan.

Katanya, sebagai contoh, sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang ditawarkan pada harga RM35 mungkin boleh dikurangkan lagi sekiranya ada penyedia perkhidmatan lain menawarkan produk sama.

"Apabila ada persaingan dalam sistem, setiap syarikat yang masuk dalam pasaran akan cuba memberi nilai yang lebih baik dan berkualiti termasuk dari segi perkhidmatan. Jadi rakyat selaku pengguna mempunyai banyak pilihan.

"Jika ada monopoli, sudah tentu syarikat ini tidak ada inisiatif untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik atau menawarkan produk mereka pada harga yang lebih murah," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PECAHKAN MONOPOLI TNG, WUJUDKAN BANYAK SAINGAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080026/pecahkan-monopoli-tng-wujudkan-banyak-saingan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...