Kuala Lumpur: Syarikat pinjaman wang tanpa lesen
atau along bukan saja semakin rakus mengaut keuntungan dengan memeras ugut
mangsa, malah turut didakwa menghina agama Islam.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad
Zharif Johor berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang peminjam yang mendakwa
diugut dan diganggu along dari Johor Bahru.
"Minggu lalu, pihak kami menerima aduan daripada seorang peminjam
yang tidak mampu membayar balik pinjaman along kerana kadar bunga melampau yang
dikenakan.
"Disebabkan tidak mampu membayar balik hutang itu, peminjam
mendakwa along bertindak mengugutnya, selain membuat salinan MyKad (peminjam)
dengan menulis kata-kata yang menghina agama Islam, sebelum menyebarkannya di
kawasan kediaman peminjam," katanya kepada BH, semalam.
Muhammad Zharif berkata, susulan kejadian itu pihaknya cuba menghubungi
along berkenaan, bagaimanapun sindiket itu bertindak agresif dan bergaduh
dengan aktivis PPIM.
"Along ini berada di Johor dan kita tidak dapat mengenal pasti
siapa sebenarnya mereka kerana nombor telefon tidak didaftarkan di negara ini,
sekali gus menjadikan siasatan siapa dalang di sebalik penghinaan (agama Islam)
itu lebih sukar.
"Pihak kita masih mencari jalan penyelesaian dan berharap kerajaan
serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk memantau pendaftaran
talian telefon mudah alih dengan lebih ketat, di samping memberi kesedaran
kepada rakyat mengenai bahayanya jika mereka memberikan maklumat peribadi bagi
digunakan untuk mendaftar talian telefon mudah alih," katanya.
Katanya, persatuan itu juga bimbang kes seperti keldai akaun, di mana
pemilik tidak menyedari akaun bank milik mereka digunakan pihak tidak
bertanggungjawab untuk menipu dan kerja jenayah sehingga terpaksa meringkuk
dalam penjara.
"Jika tidak dikawal dengan ketat dan diambil perhatian oleh KKD,
kejadian seperti keldai akaun ini akan merebak kepada keldai akaun telefon
pula.
"Ia sangat membimbangkan kerana ugutan boleh dibuat oleh sesiapa di
mana-mana tanpa pendaftaran sah dan sukar untuk dikesan," katanya.
'ALONG' HINA ISLAM, UGUT PEMINJAM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/950167/along-hina-islam-ugut-peminjam
No comments:
Post a Comment