Thursday, March 16, 2023

DAKWA ANAK ABAI IBU BAPA - UTUSAN MALAYSIA - 16/03/2023

 

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan perlu ada peruntukan undang-undang yang boleh mendakwa anak-anak yang mengabaikan ibu bapa mereka.

Bagaimanapun definisi pengabaian anak terhadap ibu bapa yang bakal termaktub dalam akta berkenaan perlu objektif.

Ini bagi mengelakkan berlaku kes berat sebelah kepada anak yang mungkin tidak bermaksud mengabaikan ibu bapa apabila orang tua mereka dihantar ke rumah kebajikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, RUU Warga Emas perlu kerana sifat prihatin anak-anak kepada ibu bapa yang terdiri daripada warga tua ketika ini semakin berkurangan.

“Abai ibu bapa boleh didakwa kena ada dalam RUU dan dima­sukkan sekali dalam akta tersebut. Sebab kebelakangan ini ba­nyak anak-anak kurang rasa pri­hatin kepada ibu bapa ma­sing-masing.

“Tetapi dalam masa sama, kena juga ada kaedah untuk menguatkuasa undang-undang itu bagi memudahkan ibu bapa yang ‘terbiar’ mengadu jika timbul isu-isu yang tidak sepatutnya,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

USIA TUA

Menurut beliau, kerajaan perlu serius menangani isu pengabaian warga emas bagi memastikan individu yang meniti usia tua tidak ‘terbiar’ begitu sahaja.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, akta itu perlu dilaksanakan bagi membantu anak-anak lebih menghargai ibu bapa dan tidak menganiayai mereka.

Katanya, apa yang penting kasih sayang daripada anak-anak kerana warga tua mempunyai banyak kesan dari segi emosi.

“Kebanyakan kes kaunseling yang saya buat, anak-anak main pass ibu bapa bila mahu jaga mereka, lama-lama ibu sedih dan kecewa. Itu yang kadang-kadang menyebabkan mereka jadi gelandangan atau duduk rumah orang tua.

“Ibu bapa bela dari kecil sampai besar…hutang sana sini, tetapi anak-anak apabila berjaya lupa ibu bapa.

“Kena ingat, penuaan di Malaysia semakin lama apabila lelaki boleh mencecah usia 75 tahun dan perempuan usia 80 tahun, jadi akta itu mampu mendidik anak-anak menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Warga Emas Chan Kuala Lumpur, Cham Chan Phoi berkata, dengan akta itu dapat membantu warga tua yang tersisih supaya kebajikan mereka terjamin dan mendapat pembelaan sewajarnya.

WARGA EMAS

“Kalau buat undang-undang itu, memang kita setuju sangat sebab dapat membantu warga emas yang terabai.

“Contoh di rumah kebajikan kami, kita ada 27 warga tua, tetapi bukan semua disisih anak-anak. Ada yang dihantar dari hospital dan ada datang sendiri.

“Tidak semua anak-anak abaikan ibu bapa mereka kalau hantar ke pusat jagaan kerana ramai juga yang ada anak, mereka selalu datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Chan Phoi berkata, kebanyakan anak-anak yang menghantar ke pusat ja­gaan sebahagiannya bagi memastikan kebajikan ibu bapa mereka terjamin.

Katanya, ini kerana anak-anak memberi alasan tiada orang yang mahu menjaga ibu bapa di rumah sekiranya mereka suami isteri keluar bekerja.

“Anak-anak mahu cari makan jadi sebab itu kebanyakan mereka hantar ke pusat ja­gaan.

“Lagipun keadaan ekonomi sekarang ini memerlukan suami isteri bekerja untuk kelangsu­ngan hidup, jadi tak cukup kalau seorang saja yang bekerja. Cumanya mereka itu tak abai lah ibu bapa mereka,” jelasnya.

UNDANG-UNDANG

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang merangka RUU Warga Emas yang antara lain mengambil kira tindakan undang-undang terhadap anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa mereka.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, penggubalan akta itu bertujuan melindungi warga emas selain sebagai persediaan negara me­nuju status negara tua pada 2030.

Antara kandungan rang undang-undang tersebut ialah melindungi kebajikan dan hak asasi warga emas, memperkasa warga emas dan ahli keluarga serta komuniti, mewujudkan sistem sokongan yang kuat terhadap warga emas serta sistem sokongan kukuh buat penjaga.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan akan menggubal undang-undang mewajibkan potongan gaji anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

DAKWA ANAK ABAI IBU BAPA

https://www.utusan.com.my/berita/2023/03/dakwa-anak-abai-ibu-bapa/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL