Thursday, March 23, 2023

'PESTA' PEMBAZIRAN SETIAP RAMADAN, AIDILFITRI - UTUSAN MALAYSIA - 23/03/2023

SAMBUTAN Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini terlalu rapat dengan sesi pembukaan sekolah menyebabkan ibu bapa terpaksa berhadapan keperluan dan tuntutan perbelanjaan yang tinggi.

Baru sahaja selesai membeli barangan kelengkapan sekolah serta pembayaran yuran, kini kena memikirkan pula perbelanjaan menyambut puasa dan hari raya.

Bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), ini adalah detik yang sangat sukar dan sememangnya kelompok ini sedang bergelut bagi menguruskan masalah kewangan yang sedang dihadapi.

Umpama ditelan mati emak, diluah mati bapa, mereka tersepit untuk memenuhi semua tuntutan perbelanjaan tersebut secara sekali gus. Situasi dijangka diburukkan lagi dengan laporan harga barangan bakal naik mendadak pada musim perayaan kali ini berikutan bekalan barangan basah terutama sayur, ayam dan telur dijangka berkurangan sehingga 30 peratus.

Masalah banjir serta peningkatan permintaan dikatakan faktor utama yang menyumbang kepada kekurangan bekalan serta kenaikan harga barangan. Peniaga ayam menjangkakan harga ayam naik antara 20 hingga 30 sen sekilogram selain harga sayur terus meningkat hingga RM4 sekilogram.

Senario kenaikan harga barangan seperti ini pada akhirnya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup dan kadar aliran tunai pengguna. Ini menyebabkan masyarakat berada dalam dilema dan murung memikirkan sumber pendapatan terhad yang membataskan segala perbelanjaan.

Ironinya, mahu tidak mahu kenaikan harga barangan sudah terlalu sinonim dengan musim perayaan. Setiap kali menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, pengguna terpaksa berhadapan pesta kenaikan harga barangan seperti ini.

Jujurnya, sebagai pengguna, kita terjerat kerana tidak mempunyai banyak pilihan. Misalnya, ayam adalah antara makanan asas pada musim perayaan, jadi pengguna tetap akan membelinya sebagai hidangan sekeluarga.

Dalam hal ini, sebagai pengguna sudah tentu agak sukar untuk kita mengubah situasi di luar kawalan. Hanya mengharapkan tindakan pemantauan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.

Namun, kita boleh mengambil peluang ini untuk mendidik diri dan anggota keluarga agar berbelanja secara berhemat supaya tidak terus menjadi mangsa kenaikan harga barangan. Kita tidak perlu beli dengan kuantiti yang banyak sehingga menyumbang kepada kekurangan stok dan kenaikan harga.

BUFET RAMADAN

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mendedahkan hampir 17,000 tan metrik makanan yang dibazirkan oleh rakyat Malaysia setiap hari adalah antara punca berlaku kenaikan harga barangan di pasaran.

Satu lagi fenomena ialah pembaziran makanan yang berlaku sepanjang Ramadan melalui bufet ditawarkan oleh hotel dan kedai makan. Permintaan tinggi terhadap bufet Ramadan menyebabkan para pengusaha hotel memborong bahan mentah secara besar-besaran dalam kuantiti yang banyak dan ini sudah semestinya memberi kesan terhadap stok barangan tersebut yang akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga.

Kita tidak menghalang orang ramai menikmati bufet Ramadan tetapi pengusaha hotel dan kedai makan diharap lebih bertanggungjawab dan berhemat dalam perbelanjaan bahan mentah.

Jangan beli terlalu banyak sehingga menjejaskan stok di pasaran sekali gus menjadi punca kenaikan harga barangan. Jangan lupa tindakan kita menyediakan bufet dengan kuantiti yang banyak juga menyumbang kepada pembaziran makanan dalam skala besar pada setiap Ramadan.

Selain itu, pembaziran melalui penyediaan atau pembelian juadah berbuka puasa tanpa kawalan juga perlu diperbetulkan. Secara lazimnya kita akan membeli atau masak mengikut nafsu yang pada akhirnya dibuang begitu sahaja.

Jadi, sikap seperti ini perlu dihentikan segera. Kalau tiada pilihan dan terpaksa beli atau makan di luar, biarlah dilakukan dalam mod kawalan dan perbelanjaan berhemat. Bagi yang rajin memasak, tiada keperluan untuk masak dalam kuantiti terlalu banyak sehingga akhirnya dibuang begitu saja.

Perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri juga wajar diteliti secara serius. Misalnya, tiada keperluan untuk menukar semua peralatan di rumah sebaliknya fokus kepada yang wajib dan perlu sahaja. Buat senarai keperluan dan berbelanja secara berhemat mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Sewajarnya, masyarakat menginsafi situasi ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang semakin tidak menentu dan mencengkam kehidupan kita. Peningkatan kos sara hidup secara mendadak, ketidakstabilan nilai mata wang negara serta situasi ekonomi negara dan global tidak menentu sedikit sebanyak sudah mula mengganggu kehidupan selesa yang dinikmati oleh rakyat sebelum ini.

Maka, kita seharusnya berubah dan mengubah gaya hidup mengikut tuntutan semasa dan peredaran zaman. Mana mungkin kita terus menikmati gaya hidup mewah dalam situasi seperti ini.

Ringkasnya, jangan jadikan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebagai pesta pembaziran dengan perbelanjaan yang boros, sebaliknya didik diri menjadi lebih berhemat. Jangan juga sampai ke tahap kita terpaksa meminjam demi memuaskan nafsu pembaziran tersebut. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

'PESTA' PEMBAZIRAN SETIAP RAMADAN, AIDILFITRI

https://www.utusan.com.my/rencana/2023/03/pesta-pembaziran-setiap-kali-ramadan-aidilfitri/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL