Showing posts with label MUSIM PERAYAAN. Show all posts
Showing posts with label MUSIM PERAYAAN. Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN' - MALAYSIAKINI - 14/02/2025

 

Persatuan pengguna berang dengan alasan-alasan diberikan berkaitan jangkaan kenaikan harga santan menjelang Ramadan awal bulan depan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayangkan jangkaan-jangkaan itu sengaja dibuat bagi menyediakan minda orang ramai ketika kenaikan benar-benar berlaku.

“Berita-berita (kenaikan harga) ini seolah-olah memberikan isyarat awal pasti akan berlaku kenaikan.

“Jadi, orang ramai atau pun pengguna akan terima dan redalah sebab penghujungnya sebagai pengguna ialah kita, sama ada pengguna Melayu, India atau Cina, seolah-olah tidak ada pilihan,” kata setiausaha agungnya Maamor Osman.

Maamor Osman

Dia juga mendakwa alasan peningkatan permintaan dan kekurangan penawaran itu cuma rekaan. 

Media sebelum ini melaporkan harga santan di beberapa negeri dijangka terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan berikutan bekalan kelapa masih berkurangan.

Situasi itu juga dilaporkan berlaku sejak awal Disember lalu yang menyebabkan harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sekilogram meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Kenaikan harga itu antaranya dilaporkan berlaku di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Semakan harga semasa melalui aplikasi PriceCather Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagaimanapun mendapati harga di Lembah Klang lebih rendah sehingga RM5 sekilogram.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Maamor berkata isu kekurangan bekalan bukan perkara baru dan ia sepatutnya diuruskan lebih awal oleh pihak bertanggungjawab.

“Mereka sepatutnya dah tahu tarikh setiap perayaan di negara ini.

“Jadi, tak ada alasan barangan keperluan terbabit berkurangan,” katanya.

Maamor berkata tiada sebab bekalan berkurangan kerana Malaysia dan negara pengimport serantau seperti Indonesia tidak dilanda sebarang bencana alam.

Dia juga menyatakan kebimbangan dengan alasan kekurangan bekalan dalam pasaran.

Katanya, perkara itu hanya akan menggalakkan aktiviti menyorok barang.

“Tunggu harga naik (baru) mereka lambakkan dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesahkan harga santan segar menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan ini. 

Setiausaha agungnya Saravanan Thambirajah berkata pada November 2024, harga santan segar dijual antara RM14 hingga RM20 sekilogram. 

Pada Januari tahun ini pula, katanya, harga kelapa mencapai RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 pada September tahun sebelumnya, yang turut mempengaruhi harga santan.

Saravanan Thambirajah

Menurutnya kenaikan harga itu juga disebabkan beberapa faktor, termasuk kekurangan bekalan kelapa tempatan akibat faktor cuaca dan pengeluaran yang tidak mencukupi. 

“Kebergantungan kepada import dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut menjejaskan harga, terutama apabila kos pengimportan meningkat. 

“Selain itu, permintaan tinggi menjelang Ramadhan juga menyebabkan lonjakan harga di pasaran,” katanya.

Import segera, kata Fomca

Fomca justeru menggesa kerajaan segera mengimport kelapa bagi menangani kekurangan bekalan dan menstabilkan harga di pasaran. 

Langkah ini, katanya, penting untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang terlalu tinggi, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil. 

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipercepatkan, termasuk memberi insentif kepada petani untuk menanam lebih banyak kelapa dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Fomca juga menyarankan agar kawalan harga diperketat bagi mengelakkan spekulasi yang tidak munasabah. 

“Pihak kerajaan perlu memastikan rantaian bekalan lebih efisien dengan mengurangkan peranan orang tengah yang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tidak terkawal. 

“Di samping itu, pengguna boleh mencari alternatif lain dalam masakan yang tidak memerlukan santan atau menggunakan produk pengganti yang lebih murah, sekiranya kenaikan harga ini berterusan. 

Artikel oleh: MalaysiaKini

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN'

Friday, March 17, 2023

'SETIAP KALI MUSIM PERAYAAN, MESTI NAIK HARGA' - NGO - HARIAN METRO - 16/03/2023

 

Kuala Lumpur: Faktor kekurangan mendadak bakalan di pasaran menyebabkan harga beberapa sayur-sayuran yang dijual di pasar raya tempatan naik sehingga 100 peratus.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata, tinjauan pihaknya mendapati trend kenaikan harga barang mentah terutama sayur-sayuran bermula sejak perayaan Tahun Baharu Cina lepas.

"Maklum balas yang kami terima, sawi kecil bulan lepas dijual pada harga 2.99 per kilogram (kg) manakala sekarang sudah dijual dengan harga RM6.99kg. Peningkatan lebih 100 peratus.

"Tomato pula dijual pada harga RM9.90 kg dan harga tidak turun sehingga sekarang.

Bulan lepas pengguna masih menikmati harga murah sekitar RM4.99 sekilo untuk tomato, kenaikan hampir 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Afiq berkata, hasil tinjauan Biro Ekonomi PPMM mendapati, kekurangan bekalan berlaku susulan permintaan tinggi melebihi pengeluaran dan harga yang diterima peruncit dari pembekal agak tinggi.

"Disamping itu, kos pengeluaran juga meningkat apabila baja kimia, racun serangga perosak dan benih turut mengalami kenaikan harga.

"Maklumat lain juga mendapati faktor cuaca terlalu panas juga menyebabkan hasil sayur dan buah tempatan menurun memaksa pembekal mengimport bekalan dari luar," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga makanan berkenaan berlaku setiap kali menjelang musim perayaan.

Katanya, kerajaan harus menjadikan isu berkenaan sebagai agenda nasional kerana kenaikan kos bahan mentah itu memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Nadzim menasihatkan orang ramai perlu bijak berbelanja dan jika ada peluang boleh mengusahakan kebun sayur sendiri secara kecil-kecilan untuk kegunaan keluarga di rumah.

"Kerajaan perlu cari jalan selesaikan isu ini. Harga kadang-kadang naik pada kadar tak masuk akal, lagi-lagi bila menjelang musim perayaan.

"Bagi saya, jalan terbaik tangani isu ini adalah dengan membantu petani meningkatkan produktiviti dan pada masa orang ramai perlu main peranan dengan cara kurangkan pembaziran," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

'SETIAP KALI MUSIM PERAYAAN, MESTI NAIK HARGA' - NGO

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/946395/setiap-kali-musim-perayaan-mesti-naik-harga-ngo

Monday, January 31, 2022

HARGA BARANG NAIK SETIAP KALI PERAYAAN - UTUSAN MALAYSIA - 29/01/2022

 

PETALING JAYA: Harga barang naik setiap kali musim perayaan. Itulah senario yang berlaku da­lam negara di mana peniaga di­dakwa mahu me­ngaut keuntungan semaksimum mungkin ketika permintaan barangan me­ningkat.

Ini membawa kepada persoalan siapa menjadi ‘tangan ghaib’ mengawal bekalan barangan mentah seperti telur, sayur, ayam dan minyak. Ia sekali gus mencerminkan kegagalan pihak berkuasa mencantas monopoli bekalan barang yang mendapat permintaan tinggi pada setiap kali musim perayaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persa­tuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dasar kerajaan yang tidak mampu berbuat apa-apa dengan kenaikan harga barang seolah-olah berat sebelah se­hingga ‘menganiaya’ rakyat yang terpaksa menerima kenaikan harga menjelang setiap kali raya.

Menurut beliau, isu barang mahal bukan tahun ini sahaja berlaku tetapi setiap tahun le­bih-lebih lagi melibatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

NADZIM JOHAN

Kata Nadzim, tidak pernah berlaku harga barang menjadi murah apabila menjelang musim perayaan.

“Harga barang naik dengan alasan tiada stok dan perkara tersebut terbukti secara bermusim. Catuan bekalan adalah satu cara untuk menaikkan harga. Musim perayaan, harga mesti naik. Pengguna akan terus mengalami nasib ini kerana tiada dasar baharu yang lebih adil diwujudkan oleh kerajaan.

“Polisi kerajaan tidak bijak malah penguatkuasaannya juga lemah. Sementara itu, kita ada pula kartel yang mengambil kesempatan atas loophole yang berlaku,” kata beliau ketika dihubungi.

Nadzim berkata, sehingga hari ini tiada pihak penguat kuasa yang bersungguh untuk menghapuskan ‘tangan ghaib’ yang menjadi punca bekalan barangan mentah terhad dan mahal.

“Kesan terbaru kini menjelang Tahun Baharu Cina 1 Februari ini, macam-macam harga barang naik. Yang terkesan semua bukan sahaja untuk kaum Tionghua,” kata beliau.

Hal itu, menurut beliau, diburukkan lagi apabila pihak berkaitan pula seperti tidak pernah bergerak untuk memastikan sekuriti makanan kepada rakyat mencukupi berbanding memilih untuk terus mengimport barangan mentah.

Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati sejak seminggu lalu, rakyat kembali mengeluh dan mengadu apabila sukar membeli minyak paket bersubsidi dan telur.

Bukan itu sahaja, harga sayur-sayuran termasuk cili besar dan cili kecil terus melonjak.

Harga kentang jika sebelum ini boleh dibeli dengan RM2 sekilogram kini terpaksa dibayar de­ngan RM4.50 untuk sekilogram.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga bersetuju dengan masalah peniaga yang dilihat sengaja mencekik darah menjelang musim perayaan.

Menurutnya, peniaga seolah-olah mengamalkan dasar seperti perlu membuat untung sebanyak yang boleh apabila tiba musim raya kerana selepas itu keuntungan yang diperoleh hasil perniagaan tidak seba­nyak pada musim raya.

“Isu harga mahal musim raya perkara biasa. Bukan sahaja barang mentah tetapi kini sudah ditiru oleh peniaga-peniaga kedai makanan di restoran mahupun peniaga tepi jalan,” kata beliau.

Kata Jacob, pada musim raya individu yang membeli makanan di restoran atau kedai makan biasa perlu bersedia membayar harga berganda bagi setiap makanan yang dibeli.

“Peniaga restoran beli alasan mereka beli barang mentah mahal sedangkan pihak kerajaan telah memantau. Selain itu, mereka juga memberitahu perniagaan mereka dibuka pada hari raya yang ketika semua orang bercuti tetapi mereka terus memilih untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

HARGA BARANG NAIK SETIAP KALI PERAYAAN

https://www.utusan.com.my/terkini/2022/01/harga-barang-naik-setiap-kali-perayaan/

Monday, April 26, 2021

5610) MGNEWS: TAK MASUK AKAL! HARGA NAIK SETIAP KALI PERAYAAN - NADZIM JOHAN - MALAYSIA GAZETTE TV - 24/04/2021

 


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan bercakap pada Majlis Pelancaran E-Dagang MyBeli di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur.

#malaysiagazette#mgtv


Artikel oleh: Malaysia Gazette TV

MGNEWS: TAK MASUK AKAL! HARGA NAIK SETIAP KALI PERAYAAN - NADZIM JOHAN

https://www.youtube.com/watch?v=64NcdA_GMCw

Wednesday, April 14, 2021

5542) PPIM MAHU KPDNHEP TERUS PANTAU HARGA BARANG KEPERLUAN - WACANA.MY - 13/04/2021

 


KUALA LUMPUR, 13 April — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan melalui  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna terus memantau dan memastikan harga barangan keperluan terkawal menjelang Ramadan dan Perayaan Aidilfitri akan datang.

Ketua Aktivis PPIM Dato’ Nadzim Johan memberitahu Wacana.my setakat dua minggu akhir ini pihaknya masih membuat tinjauan di kedai runcit dan kedai tumpuan pengguna bagi melihat sendiri harga barangan asas.

“Kami dapati harga barangan asas masih terkawal, namun kami pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan atas pelbagai alasan seperti COVID-19, musim perayaan dan sebagainya,” katanya.

Antara barangan di dalam pemantauan PPIM adalah bawang merah, halia, cili kering, bunga kantan, daun kunyit, serai, sayuran segar, ayam dan daging.

“Kami berharap KPDNHEP akan terus memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan musim perayaan kali ini memandangkan rakyat masih terkesan dengan ekonomi ketika Covid19,” katanya.


Artikel oleh: Wacana

PPIM MAHU KPDNHEP TERUS PANTAU HARGA BARANG KEPERLUAN


Thursday, April 1, 2021

5525) 'SIMPAN RESIT SEBAGAI BUKTI JIKA BERLAKU PERTIKAIAN HARGA, KUALITI' - HARIAN METRO - 31/03/2021



Kuala Lumpur: Dakwaan mengatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya menjaga golongan peniaga di negara ini adalah tidak tepat.

Ini kerana, kementerian itu perlu memastikan semua pihak di dalam rantaian kepenggunaan disantuni sebaik mungkin demi kebaikan bersama.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia terbukti apabila golongan peniaga diambil tindakan di atas kesalahan yang dilakukan.

"Banyak saman kita keluarkan. Kalau kita jaga peniaga saja, tentu kita tak saman. Jadi kalau ada tuduhan begitu, saya rasa ia tidak tepat,"katanya pada program secara langsung di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Turut serta sebagai panelis gandingan, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Azman Adam.

Ditanya mengenai kenaikan harga mendadak pada musim perayaan, Rosol berkata, perkara itu diberi perhatian kementeriannya dengan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang diumumkan dua minggu sebelum sambutan.

Katanya, ia salah satu inisiatif KPDNHEP untuk mengawal harga dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

Turut disentuh di dalam program berkenaan ialah mengenai tindakan diambil kementerian bagi setiap aduan yang dibuat pengguna di negara ini.

"Setiap isu yang dilaporkan kepada KPDNHEP akan diambil tindakan dengan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari.

"Pendekatan itu diambil bagi memastikan isu membabitkan pengguna dapat diselesaikan," katanya.

Justeru, Rosol berkata, pengguna dinasihatkan menyimpan bukti pembelian sebagai dokumen sekiranya berlaku pertikaian mengenai kenaikan harga atau kualiti barang.

"Simpan bukti pembelian kerana penguat kuasa kita boleh periksa dan ambil tindakan.

"Saya nasihatkan pengguna simpan bukti pembelian kerana ia akan memudahkan utusan pada masa depan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'SIMPAN RESIT SEBAGAI BUKTI JIKA BERLAKU PERTIKAIAN HARGA, KUALITI'

 

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL