Showing posts with label malaysiakini. Show all posts
Showing posts with label malaysiakini. Show all posts

Saturday, May 23, 2026

SAMPAI SAKIT JANTUNG PAK CIK SUHAIMI KENA 'SCAM' - MALAYSIAKINI - 20/05/2026

 

Kerana terpengaruh dua tahun tak perlu membayar bil telefon–yang nilaikan dikatakan mencecah RM6,000–seorang warga emas akhirnya terjebak menjadi mangsa penipuan.

Bukan saja hilang puluhan ribu ringgit, ia juga malah mengganggu kesihatannya.

“Asalnya saya tak ada sakit jantung, tapi disebabkan kes ini, (saya) dah mula ada sakit jantung,” kata Suhaimi Shuib, 68, dengan sayu.

Dalam kejadian pada Disember tahun lalu, Suhaimi kerugian RM21,000 setelah ditipu oleh sebuah kedai telefon yang mencuri kad bank dan kad kreditnya serta mendaftarkan 10 nombor telefon senyap-senyap atas namanya.

Pemeriksaan mendapati terdapat tujuh transaksi pengeluaran tunai kad kredit berjumlah RM10,000 dan lapan kali pengeluaran melalui kad debit mencecah RM11,000 dibuat tanpa kebenaran.

Suhaimi mengesyaki kedai menyalahgunakan salinan kad pengenalan yang diberikannya bagi tujuan pendaftaran dua nombor telefon.

Kedai itu juga menggunakan taktik licik dengan tablet percuma sebagai umpan, kononnya sebagai hadiah cabutan bertuah, untuk mengaburi matanya.

Susulan insiden itu, Suhaimi mengakui berdepan tekanan emosi sehingga mengalami gangguan tidur dan masalah kesihatan.

“(Saya) sukar tidur malam, susah hati fikir pasal kes ini," katanya.

Bebannya bertambah apabila terpaksa melunaskan bayaran tuntutan kepada pihak bank meskipun kesemua transaksi pengeluaran wang itu dilakukan di luar pengetahuannya.

Tiga laporan polis dibuat di ibu pejabat daerah (IPD) Ampang dan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Suhaimi berkongsi kisah sedihnya itu dalam sidang media bersama seorang lagi mangsa penipuan serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur semalam.

Kerugian hampir RM3 bilion

Sementara itu, PPIM mendedahkan jumlah kerugian akibat penipuan menunjukkan pertambahan saban tahun, dari RM1.28 bilion pada 2023 kepada RM1.57 (2024) dan RM2.77 bilion (2025).

Justeru, kata pengerusinya Nadzim Johan, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika menyerahkan dokumen peribadi, melakukan transaksi atas talian dan berurusan dengan individu tidak dikenali.

Dia juga menggesa kerajaan memperkukuh pencegahan awal, bukan menumpukan tindakan selepas jenayah berlaku kerana kesannya besar kepada mangsa.

Dalam kes Suhaimi, Nadzim mengingatkan bahawa penipuan berlaku membebankan kewangannya, lebih-lebih lagi sebagai pesakit serius.

“Harga rawatan sakit jantung ini berapa ringgit? RM10? RM100? 

“Ini baru seorang saja mangsa," kata Nadzim.

Menurutnya, antara aduan utama yang diterima PPIM melibatkan kebocoran data peribadi, penyamaran identiti, penggunaan akaun pihak ketiga dan pendaftaran kad sim tanpa kebenaran pengguna. 

Pada tahun 2025 saja, PPIM menerima lebih 4,000 aduan. 

PPIM turut mencadangkan kerjasama lebih rapat antara syarikat telekomunikasi, institusi perbankan dan pihak berkuasa selain penggunaan teknologi sekatan masa nyata bagi membendung aktiviti penipuan sebelum mangsa mengalami kerugian.

Jam RM70,000 lesap, ‘floating’ hilang

Sementara itu, seorang usahawan muda juga turut tampil berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan yang menyebabkannya rugi lebih RM70,000.

Muhammad Mirzan Johor, 28, yang menjalankan perniagaan barangan mewah terpakai seperti jam tangan dan beg tangan berkata, kejadian berlaku pada Februari tahun lalu apabila seorang individu menyatakan minat membeli seutas jam tangan mewah.

Mirzan Johor

Pada hari urusan jual beli berlangsung, ‘pembeli’ bagaimanapun menggunakan khidmat penghantar barang–yang didakwa sebagai kakitangannya–untuk mengambil jam tangan itu.

“Ketika transaksi dibuat, wang RM74,000 memang kelihatan masuk ke akaun bank saya.
“Memang tertera di dalam kenyataan bank itu,” katanya

Bagaimanapun, keesokan harinya dia mendapati wang itu hanya “floating” dan tidak lagi dipaparkan.

Pembeli kemudian tidak dapat lagi dihubungi, kata Mirzan.

Sementara itu, PPIM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terus dengan bank sekiranya menerima transaksi mencurigakan atau pembayaran yang masih berstatus “floating”.

“Ini antara benda yang paling bodoh yang kita gagal tangani. 

“Perkara ini akan (boleh) terjadi pada semua,” kata Nadzim.

Artikel oleh: MalaysiaKini

SAMPAI SAKIT JANTUNG PAK CIK SUHAIMI KENA 'SCAM'

https://www.malaysiakini.com/news/775683

Tuesday, February 18, 2025

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN' - MALAYSIAKINI - 14/02/2025

 

Persatuan pengguna berang dengan alasan-alasan diberikan berkaitan jangkaan kenaikan harga santan menjelang Ramadan awal bulan depan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayangkan jangkaan-jangkaan itu sengaja dibuat bagi menyediakan minda orang ramai ketika kenaikan benar-benar berlaku.

“Berita-berita (kenaikan harga) ini seolah-olah memberikan isyarat awal pasti akan berlaku kenaikan.

“Jadi, orang ramai atau pun pengguna akan terima dan redalah sebab penghujungnya sebagai pengguna ialah kita, sama ada pengguna Melayu, India atau Cina, seolah-olah tidak ada pilihan,” kata setiausaha agungnya Maamor Osman.

Maamor Osman

Dia juga mendakwa alasan peningkatan permintaan dan kekurangan penawaran itu cuma rekaan. 

Media sebelum ini melaporkan harga santan di beberapa negeri dijangka terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan berikutan bekalan kelapa masih berkurangan.

Situasi itu juga dilaporkan berlaku sejak awal Disember lalu yang menyebabkan harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sekilogram meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Kenaikan harga itu antaranya dilaporkan berlaku di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Semakan harga semasa melalui aplikasi PriceCather Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagaimanapun mendapati harga di Lembah Klang lebih rendah sehingga RM5 sekilogram.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Maamor berkata isu kekurangan bekalan bukan perkara baru dan ia sepatutnya diuruskan lebih awal oleh pihak bertanggungjawab.

“Mereka sepatutnya dah tahu tarikh setiap perayaan di negara ini.

“Jadi, tak ada alasan barangan keperluan terbabit berkurangan,” katanya.

Maamor berkata tiada sebab bekalan berkurangan kerana Malaysia dan negara pengimport serantau seperti Indonesia tidak dilanda sebarang bencana alam.

Dia juga menyatakan kebimbangan dengan alasan kekurangan bekalan dalam pasaran.

Katanya, perkara itu hanya akan menggalakkan aktiviti menyorok barang.

“Tunggu harga naik (baru) mereka lambakkan dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesahkan harga santan segar menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan ini. 

Setiausaha agungnya Saravanan Thambirajah berkata pada November 2024, harga santan segar dijual antara RM14 hingga RM20 sekilogram. 

Pada Januari tahun ini pula, katanya, harga kelapa mencapai RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 pada September tahun sebelumnya, yang turut mempengaruhi harga santan.

Saravanan Thambirajah

Menurutnya kenaikan harga itu juga disebabkan beberapa faktor, termasuk kekurangan bekalan kelapa tempatan akibat faktor cuaca dan pengeluaran yang tidak mencukupi. 

“Kebergantungan kepada import dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut menjejaskan harga, terutama apabila kos pengimportan meningkat. 

“Selain itu, permintaan tinggi menjelang Ramadhan juga menyebabkan lonjakan harga di pasaran,” katanya.

Import segera, kata Fomca

Fomca justeru menggesa kerajaan segera mengimport kelapa bagi menangani kekurangan bekalan dan menstabilkan harga di pasaran. 

Langkah ini, katanya, penting untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang terlalu tinggi, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil. 

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipercepatkan, termasuk memberi insentif kepada petani untuk menanam lebih banyak kelapa dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Fomca juga menyarankan agar kawalan harga diperketat bagi mengelakkan spekulasi yang tidak munasabah. 

“Pihak kerajaan perlu memastikan rantaian bekalan lebih efisien dengan mengurangkan peranan orang tengah yang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tidak terkawal. 

“Di samping itu, pengguna boleh mencari alternatif lain dalam masakan yang tidak memerlukan santan atau menggunakan produk pengganti yang lebih murah, sekiranya kenaikan harga ini berterusan. 

Artikel oleh: MalaysiaKini

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN'

Thursday, August 22, 2024

HARGA AIR MINERAL SUDAH 50% LEBIH MAHAL DARI PETROL - PPIM - MALAYSIAKINI - 22/08/2024


Harga sebotol air mineral 600ml kini 54 peratus lebih mahal daripada harga minyak petrol RON95.

Perkara itu diketengahkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setelah membuat perbandingan harga baru-baru ini.

Menurut kajian itu, kata mereka, sebotol air mineral 600ml berharga RM1.90, manakala RON95 pada kuantiti yang sama berharga RM1.23 saja.

Ini menjadikan air mineral 54 peratus  atau RM0.67 lebih mahal berbanding RON95. 

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata kos menghasilkan 500ml air mineral dikatakan kurang daripada 30sen, tetapi harga runcitnya boleh melonjak sehingga RM3 dalam beberapa kes. 

"Kami percaya adalah penting bagi pengguna untuk memahami mekanisme penetapan  harga di sebalik barangan harian seperti air mineral.  

"Perbezaan antara kos pengeluaran dan harga jualan air mineral menimbulkan kebimbangan  tentang ketelusan pasaran dan amalan penetapan harga yang adil," katanya. 

Nadzim Johan

Ini bukan kali pertama rungutan ini kedengaran.

Nazim malah pernah membangkitkan isu sama sembilan tahun lalu.

PPIM ketika itu bersama 20 NGO menggerakkan kempen boikot tiga bulan terhadap penjualan air mineral 500ml yang melebihi harga RM1.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

HARGA AIR MINERAL SUDAH 50% LEBIH MAHAL DARI PETROL - PPIM

https://www.malaysiakini.com/news/716579

Saturday, August 26, 2023

HADIS 40 DI SEKOLAH: BUKAN ISLAM JANGAN CAMPUR, KATA PPIM - MALAYSIAKINI - 24/08/2023

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

"Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu," katanya.

Terdahulu MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Sementara itu, Nadzim menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

"Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!" tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying sebelum in berkata berkata Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Lim Swee Kuan, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, sebelum in berkata berkata Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu melancarkan modul itu memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Artikel Bernama pada masa itu tidak menyatakan pada masa itu sama ada modul itu untuk pelajar Islam sahaja.

Artikel oleh: MalaysiaKini

HADIS 40 DI SEKOLAH: BUKAN ISLAM JANGAN CAMPUR, KATA PPIM

https://www.malaysiakini.com/news/676838

Thursday, October 6, 2022

BUKAN SOAL 5SEN, TAPI PRINSIP - PPIM - MALAYSIAKINI - 05/10/2022

 

Masalah tiada wang kecil  tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang pelanggan mempertikai tindakan sebuah kedai kopi yang tidak dapat memulangkan baki pembeliannya sebanyak 5sen.

Namun isu ini bukanlah masalah baru, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bukan nilai 5sen yang menjadi pertikaiannya, tetapi soal prinsip dan integriti penjual.

Ketua aktivisnya Nadzim Johan berkata integriti seharusnya dijadikan teras oleh penjual.

“Kita nak meniaga ini nak benda yang betul, yang mengikut prinsip. 

Nadzim Johan

“Menipu tak boleh. 

“Jadi benda seperti melibatkan penipuan ini tak boleh diamalkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini tular perkongsian seorang pengguna berkaitan Zus Coffee yang tidak dapat memulangkan baki 5sen padanya. 

Katanya, dia diberikan baki 20sen - kurang 5sen - ketika membayar RM12 untuk air kopi bernilai RM11.75, atas alasan tiada duit kecil.

Pengguna itu sebaliknya berhujah, kedai sepatutnya memulangkan 30sen, kerana mereka yang gagal menyediakan bakinya.

“Kenapa pulak aku kena absorb (serap), hilang 5sen sebab kau yang tak ada baki?” kata pengguna itu.

Luahan itu dikongsi meluas dan mencetuskan perbincangan awam berkaitan kegagalan syarikat yang gagal memulangkan cukup baki jualan akibat tiada duit kecil.

Zus Coffee memohon maaf dan  berjanji akan mengambil langkah-langkah memperbaiki perkhidmatan mereka.

Mereka juga memperkenalkan baucar percuma 75sen sebagai tanda penghargaan buat pelanggan.

Sementara itu, Nadzim berkata walaupun 5sen itu nampak sedikit tetapi jumlah sebenarnya banyak jika melibatkan pelanggan yang ramai.

Lebih-lebih, katanya, apabila melibatkan kedai yang mempunyai banyak cawangan, sehingga mencecah angka ribuan.

“Kalau 2,000 kedai kali 10 orang (pengguna jadi mangsa), banyak juga,” katanya lagi.

Sementara itu, Nadzim menyarankan pengguna melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa jika situasi sama melanda mereka.

“Maknanya kalau benda itu tak betul, kena sebut tak betul dan perlu diambil tindakan supaya boleh mengajar masyarakat,” jelasnya.

Artikel oleh: MalaysiaKini

BUKAN SOAL 5SEN, TAPI PRINSIP - PPIM

https://www.malaysiakini.com/news/638219

Saturday, May 21, 2022

MUFTI: TANGGUH IMPORT DARI RUMAH SEMBELIHAN DIRAGUI DI AUSTRALIA - MALAYSIAKINI - 13/05/2022

 

Pengimportan daging dari rumah sembelihan haiwan di Australia yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal, wajar ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut. 

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata dalam tempoh siasatan itu juga, umat Islam disaran supaya menghentikan pembelian daging yang disumberkan dari rumah sembelihan itu sehingga mengetahui kesahihan dakwaan berkenaan.

“Dalam Islam, hadis menyebut kalau kita berasa ragu tidak boleh kita makan. Apatah lagi kalau sekiranya pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi menentukan status halal makanan itu.

“Di situ sudah ada keraguan, ditambah pula ada saksi yang mengatakan benda itu (prosedur penyembelihan) memang dilakukan secara tidak betul, jadi memang patutlah digantung pengimportan dagingnya dahulu,” katanya kepada Bernama.

Mohd Yusof Ahmad

Beliau mengulas pendedahan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mengenai perlanggaran SOP penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia yang mendapat kelulusan daripada Badan Induk Halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

 Syarikat itu yang turut mengeksport daging ke Malaysia bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan siasatan masih dijalankan oleh Jakim bersama pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE).

Mohd Yusof berkata selain menangguhkan pengimportan, perlu juga ada kaedah untuk memastikan agar daging yang telah berada di pasaran, tidak dijual oleh pekedai kepada umat Islam. 

Menyuarakan perkara sama, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman meminta pekedai agar bersikap bertanggungjawab dengan menarik balik penjualan bahan mentah itu sekiranya memperoleh sumber daging dari syarikat terlibat. 

“Kalau sudah masuk Malaysia dan ada nama atau label syarikat tersebut tertera dalam bungkusan daging, mungkin umat Islam juga boleh mengelak daripada membeli atau menjualnya.

“Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga mungkin wajar dibekukan pengimportan daging dari rumah sembelihan itu sementara menunggu pihak Jakim menyiapkan siasatan. Selepas lengkap siasatan dan didapati tiada asas dakwaan, barulah kita buka semula pengimportan,” katanya.

Pada 10 Mei lepas Jakim dalam kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia.

Siasatan dilakukan Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan DAWE selain perbincangan dengan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia diadakan pada 28 April lepas, bagi memastikan hasil siasatan tersebut dapat diserahkan kepada kerajaan Malaysia secepat mungkin.

- Bernama

Artikel oleh: MalaysiaKini

MUFTI: TANGGUH IMPORT DARI RUMAH SEMBELIHAN DIRAGUI DI AUSTRALIA

https://www.malaysiakini.com/news/621134

Tuesday, August 18, 2015

DARI MEJA EDITOR: SAMPAI BILA KERAJAAN MAHU BIARKAN @malaysiakini BEBAS MENFITNAH?

OLEH: ADMIN  (18 OGOS 2015)


Datuk Nadzim Johan yang juga merupakan Ketua Aktivis PPIM menggesa pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengambil tindakan tegas terhadap portal berita atas talian Malaysiakini kerana menerbitkan (menyampaikan) berita berunsur fitnah dan hasutan.

Merujuk artikel keratan akhbar laman Blog Rasmi PPIM semalam (17 Ogos 2015),

UNTUK BACA ARTIKEL TERSEBUT, SILA KLIK SINI

'Bertindak keatas Malaysiakini' - Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Ogos 2015
PANDANGAN PENULIS (ADMIN)



Berdasarkan penelitian, kebanyakkan berita di Malaysiakini bersifat ekstrim malah sering melaporkan berita yang bersifat separuh benar serta telah dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Tindakan Malaysiakini menunjukkan portal tersebut adalah agen propaganda bagi mencetuskan keresahan dan huru-hara di kalangan rakyat di Malaysia.

Oleh itu, netizen perlu berhati-hati dan bertindak matang sebelum mempercayai setiap berita yang dilaporkan terutama melalui Malaysiakini.

Pembaca perlu mendapatkan kesahihan maklumat (fakta) sebelum berkongsi bersama rakan melalui di media sosial.

Berikut antara rujukan mengenai berita yang bersifat separuh benar dilaporkan Malaysiakini sebelum ini :

KONTROVERSI PLAT KHAS PATRIOT 1


Untuk makluman, pihak PPIM sendiri pernah menjadi 'mangsa fitnah' Malaysiakini sebelum ini, iaitu sewaktu kontroversi hangat  PLAT KHAS PATRIOT 1 hasil inisiatif Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dengan kerjasama PPIM. Kerjasama ini merupakan usaha untuk mengumpul dana untuk disalurkan ke Tabung YPNM supaya dapat merealisasikan objektif penubuhan yayasan tersebut, iaitu membangkitkan semula aura patriotisme yang ternyata semakin pudar dalam kalangan rakyat Malaysia era ini.

RUJUK PAUTAN DIBAWAH UNTUK MAKLUMAT LANJUT:

Manakala, berikut pula adalah serba sedikit 'kenakalan' yang dilakukan Malaysiakini untuk rujukan umum:

'PARODY VIDEO' BERKENAAN ISU DANDAN RAMBUT RM12,000
CERITA SEBENAR - KLIK SINI

ARTIKEL PENUH: http://yuseriyusoff.blogspot.com/2014/03/manipulasi-setiap-aktiviti-rosmah.html

TERKINI -  Pengakuan editor Malaysiakini kerana telah berbohong dan menfitnah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz dalam artikel yang dilaporkan. 

Baca dibawah:

ARTIKEL PENUH: http://www.pisau.net/hot-pengakuan-maaf-editor-malaysiakini-mengaku-berbohong-dan-fitnah-sprm-dan-tan-sri-zeti/
*UNTUK BACA PENDEDAHAN LAIN, KLIK SINI

Hairan, kenapa perlu laporkan maklumat yang tidak sahih kepada pembaca? Apa salah mereka semua hingga tergamak untuk menipu dan membiarkan mereka 'menelan' fitnah begitu sahaja?

"TEPUK DADA, TANYA IMAN"

PIHAK BERWAJIB TIDAK BOLEH PANDANG REMEH PERKARA INI, BERPOTENSI MENGGUGAT KESTABILAN NEGARA

Gambar hiasan
Pihak berwajib perlu menangani perkara ini dan jangan sesekali memandang remeh, sekaligus membiarkan perkara ini berlarutan. Jika dilihat di media sosial, fitnah dan 'sentimen kebencian' seolah-olah telah menjadi 'trend' dan kepuasan bagi sesetengah individu.

AWAS! Setiap individu perlu ingat bahawa 'trend' ini adalah punca perpecahan sesama kaum (termasuk semua etnik) dan sesama agama yang sedang berlaku tanpa sedar di negara kita sekarang. Implikasinya, sentimen kebencian di kalangan rakyat berada di tahap tidak terkawal. Sedangkan lidah lagi tergigit, masakan kita yang tidak mengenali antara satu sama lain.

KONKLUSI

Admin mencadangkan supaya portal Malaysiakini digantung penyiarannya seperti yang dilakukan terhadap laman The Edge baru-baru ini, atau kenakan tindakan lain yang 'wajar tetapi luar biasa' agar dapat ianya dapat menjadi 'peringatan' kepada semua pihak yang mengendalikan portal online, blog, dan lain-lain medium penyampaian digital.

Sedikit sebamyak, ia juga dapat 'membantu' masyarakat terutamanya yang beragama Islam DIHINDARI  DARI FITNAH!


- Admin

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL