Friday, May 22, 2026

NGO MELAYU DAN ISLAM MALAYSIA ADAKAN PERHIMPUNAN RAKYAT, BANTAH UEC KE IPTA - BERITA HARIAN - 20/05/2026

 

KUALA LUMPUR: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam Malaysia akan mengadakan perhimpunan rakyat berskala besar sebagai tanda protes terhadap isu lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diberikan laluan masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, berkata gabungan NGO Melayu dan Islam Malaysia sebulat suara membantah keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengumumkan lulusan UEC dibenarkan memasuki IPTA.

"Ia dianggap sebagai pengkhianatan besar kepada dasar pendidikan kebangsaan selain pengkhianatan kepada asas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 17(1) dan Seksyen 18(1) Akta Pendidikan 1996.

"Kami menganggap perkara ini adalah tidak wajar apabila UEC disamakan dengan sekolah-sekolah tahfiz," katanya ketika sidang media di Gawala Food, Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri 23 individu terdiri gabungan NGO Melayu dan Islam, aktivis gabungan di seluruh negara antaranya UMMAH, Gabungan NGO Selangor, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Negarawati Tanahair dan lain-lain.

Mohd Zai berkata, gabungan NGO Melayu dan Islam Malaysia menyeru seluruh parti politik Melayu untuk bersama menyertai himpunan dan menyatakan pendirian tegas serta menyampaikan pandangan masing-masing terhadap isu terbabit.

"Kami juga menggesa tokoh akademik, pakar bahasa, persatuan bahasa serta pihak berkaitan untuk menyatakan pendirian dan hadir dalam himpunan berkenaan.

"Tarikh, waktu dan lokasi akan diperincikan dan diumumkan dalam sidang media akan datang. Untuk makluman, lokasi yang sedang dipertimbangkan termasuk Istana Negara, Dataran Merdeka dan Putrajaya.

"Perhimpunan ini akan berlangsung selepas waktu Zohor sehingga sekitar jam 6.30 petang atau selewat-lewatnya pada jam 6.45 petang," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

NGO MELAYU DAN ISLAM MALAYSIA ADAKAN PERHIMPUNAN RAKYAT, BANTAH UEC KE IPTA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1561409/ngo-melayu-dan-islam-malaysia-adakan-perhimpunan-rakyat-bantah-uec

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL