Masalah tiada wang kecil tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang pelanggan mempertikai tindakan sebuah kedai kopi yang tidak dapat memulangkan baki pembeliannya sebanyak 5sen.
Namun isu ini bukanlah masalah baru, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama.
Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bukan nilai 5sen yang menjadi pertikaiannya, tetapi soal prinsip dan integriti penjual.
Ketua aktivisnya Nadzim Johan berkata integriti seharusnya dijadikan teras oleh penjual.
“Kita nak meniaga ini nak benda yang betul, yang mengikut prinsip.
“Menipu tak boleh.
“Jadi benda seperti melibatkan penipuan ini tak boleh diamalkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang pengguna berkaitan Zus Coffee yang tidak dapat memulangkan baki 5sen padanya.
Katanya, dia diberikan baki 20sen - kurang 5sen - ketika membayar RM12 untuk air kopi bernilai RM11.75, atas alasan tiada duit kecil.
Pengguna itu sebaliknya berhujah, kedai sepatutnya memulangkan 30sen, kerana mereka yang gagal menyediakan bakinya.
“Kenapa pulak aku kena absorb (serap), hilang 5sen sebab kau yang tak ada baki?” kata pengguna itu.
Luahan itu dikongsi meluas dan mencetuskan perbincangan awam berkaitan kegagalan syarikat yang gagal memulangkan cukup baki jualan akibat tiada duit kecil.
Zus Coffee memohon maaf dan berjanji akan mengambil langkah-langkah memperbaiki perkhidmatan mereka.
Mereka juga memperkenalkan baucar percuma 75sen sebagai tanda penghargaan buat pelanggan.
Sementara itu, Nadzim berkata walaupun 5sen itu nampak sedikit tetapi jumlah sebenarnya banyak jika melibatkan pelanggan yang ramai.
Lebih-lebih, katanya, apabila melibatkan kedai yang mempunyai banyak cawangan, sehingga mencecah angka ribuan.
“Kalau 2,000 kedai kali 10 orang (pengguna jadi mangsa), banyak juga,” katanya lagi.
Sementara itu, Nadzim menyarankan pengguna melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa jika situasi sama melanda mereka.
“Maknanya kalau benda itu tak betul, kena sebut tak betul dan perlu diambil tindakan supaya boleh mengajar masyarakat,” jelasnya.
Artikel oleh: MalaysiaKini
BUKAN SOAL 5SEN, TAPI PRINSIP - PPIM
No comments:
Post a Comment