Saturday, October 8, 2022

BELANJAWAN 2023: PERSATUAN PERSOAL MANA BANTUAN UNTUK RAKYAT TANGANI KOS HIDUP - FREE MALAYSIA TODAY - 07/10/2022

 

PETALING JAYA: Beberapa persatuan pengguna kecewa apabila hampir tiada pengkhususan dalam Bajet 2023 untuk rakyat yang berdepan kos sara hidup semakin meningkat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, mempersoalkan bagaimana belanjawan itu boleh membantu rakyat B40 dan M40 mendepani kemelesetan ekonomi yang diramal berlaku tahun depan.

“Harga barang sedang meningkat. Nilai ringgit merosot. Pendapatan rakyat B40 dan M40 mengecut. Bunga (faedah) atas pinjaman semakin naik. Bagaimana bajet boleh meringankan sara hidup mereka? Rakyat harus bersedia.

“Kemelesetan ekonomi diramalkan tahun depan akan menjejaskan lagi sara hidup rakyat. Kerajaan perlu ambil tindakan segera untuk memperbaiki kelemahan dalam struktur dan polisi ekonomi kita,” katanya kepada FMT.

Petang tadi, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion untuk Bajet 2023.

Jumlah itu meningkat RM40.2 bilion berbanding RM332.1 bilion diperuntukkan bagi 2022.

Kira-kira RM272.3 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM95 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, bertegas bajet kali ini seharusnya “menyuntik semangat untuk rakyat”.

Katanya, rakyat masih dalam proses pemulihan daripada covid-19 dan kerajaan seharusnya menunjukkan keprihatinan menerusi Bajet 2023- jumlah paling besar dalam sejarah.

“Bajet seharusnya diberi keutamaan untuk rakyat ada semangat balik. Ini macam rakyat pun sudah tak ada semangat. Tak ada benda-benda yang menarik (khusus untuk mereka).

“Mungkin aspek ini boleh dikaji balik, mungkin boleh (buat) tambahan untuk diberi kepada orang ramai membentuk hati dan keterujaan semula (untuk bina hidup). Pada saya (perincian bajet) ini tak berapa cukup,” katanya.

Sebuah lagi persatuan pengguna menggesa kerajaan memberi jaminan bahawa peruntukan dana yang besar benar-benar sampai kepada golongan sasar.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Marimuthu Nadason, berkata kerajaan masih perlu memberikan subsidi yang mencukupi untuk membantu rakyat di kala kos sara hidup semakin meningkat.

“Subsidi untuk sementara ini harus diberikan sebab hampir dua tahun kita tak ada produktiviti, 2020 dan 2021 tak ada produktiviti (disebabkan Covid-19).

“Banyak orang susah. Jadi untuk B40 dan M40 ini, kerajaan harus tolong mereka lebih sedikit. Tapi (secara keseluruhan) apa (Bajet 2023) yang berikan ini terlalu kurang (untuk tangani kos sara hidup),” katanya.


Artikel oleh: Free Malaysia Today

BELANJAWAN 2023: PERSATUAN PERSOAL MANA BANTUAN UNTUK RAKYAT TANGANI KOS HIDUP

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/07/belanjawan-2023-persatuan-persoal-mana-bantuan-untuk-rakyat-tangani-kos-hidup/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL