PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan sistem stok penimbal dalam industri makanan ayam bagi memastikan jaminan bekalan berterusan selain persediaan menghadapi sebarang situasi luar jangka angkara sabotaj kartel dan pihak berkepentingan.
Seperti sektor beras negara, memperkenalkan model yang sama dalam industri ternakan ayam penting untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan tersebut dan kawalan harga.
Antaranya menubuhkan sebuah badan bebas atau syarikat-syarikat yang dilantik untuk menguruskan bekalan stok makanan ternakan secara telus tanpa dipengaruhi pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam industri termasuk campur tangan kartel dan orang tengah.
Semalam, kekurangan bekalan ayam di beberapa negeri dan harga pembekal yang tinggi mempengaruhi kebanyakan peniaga untuk menaikkan harga antara RM9.50 kepada RM11 sekilogram, melepasi harga siling yang dihadkan kerajaan sebanyak RM9.40 sekilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil penternak kecil yang enggan namanya disiarkan berkata, sebagai pemain industri, mewujudkan badan yang berfungsi seperti stok penimbal beras negara akan membantu menstabilkan bekalan dan harga sumber protein tersebut.
Katanya, cadangan itu wajar disegerakan memandangkan bekalan ayam sering mengalami situasi tidak menentu disebabkan angkara pihak-pihak yang berkepentingan sehingga mendorong peniaga runcit tidak mempunyai pilihan untuk menaikkan harga di pasaran.
“Bagi kami sebagai pemain industri, cadangan itu memang perlu sebab sekiranya keadaan semasa ini tidak dibendung dengan pemerintahan, memang akan menyebabkan pihak-pihak lain terus mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri.
“Negara-negara lain pun yang pegang sebenarnya bukan pemerintah, tetapi sistem beraja sebab mereka menganggap bekalan makanan untuk rakyat adalah satu benda yang perlu dihormati dan dijaga,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, ketika Deepavali bakal menjelang dan rakyat Malaysia sibuk dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kartel ayam dan telur pula sibuk mencatu bekalan ayam serta telur sehingga menimbulkan rungutan orang ramai mengenai kekurangan kedua-dua bahan mentah tersebut di pasaran.
Kejadian ini sama seperti mana dilaporkan akhbar pada Mei tahun lalu, sekumpulan kartel sekali lagi bermaharajalela untuk mengaut keuntungan, pemain-pemain industri juga menjangkakan menjelang Disember ini keadaan itu akan menjadi lebih teruk.
“Kami berjihad tetapi ada juga mengambil kesempatan, kami sedih sebenarnya. Kami menternak untuk bagi rakyat makan tetapi kita pula dikatakan sebagai ancaman pada negara,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dengan menubuhkan lembaga yang mengawal menyeluruh berkaitan industri ayam, ia akan memberi titik noktah kepada tindakan sabotaj yang dilakukan kartel ketika ini.
“Kita sudah sebut berulang kali, kami cadangkan penubuhan lembaga unggas untuk ayam, kalau nanas ada, tembakau ada tetapi kenapa ayam yang menjadi makanan utama untuk rakyat tiada?
“Kita asyik merujuk kepada kartel, jadi kita yang rugi. Memang sepatutnya ada sebuah badan mahupun lembaga yang menyempurnakan strategi kita untuk mengawal bekalan sumber makanan itu dan ia perlu bebas daripada campur tangan politik,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, perlu ada satu cara yang komprehensif untuk jangka masa panjang bukan hanya penyelesaian ‘dua minit’.
“Kenapa kita masih ada masalah berkaitan bekalan ayam dan bahan makanan lain, sampai hari ini agensi-agensi kerajaan tidak keluarkan satu kertas putih atas sebab sebenarnya kenapa negara masih ada masalah tersebut walaupun sudah tutup eksport.
“Kita perlu cari cara bagaimana kita boleh membantu golongan yang menjaga sekuriti makanan negara untuk meningkatkan penghasilan produktiviti. Libatkan semua pihak dari bawah ke atas untuk mencari jalan yang tulus,” jelasnya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
WUJUDKAN STOK PENIMBAL INDUSTRI MAKANAN AYAM
https://www.utusan.com.my/berita/2022/10/wujudkan-stok-penimbal-industri-makanan-ayam/
No comments:
Post a Comment