KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyambut baik saranan Pas yang mahu menyatukan parti-parti Melayu Islam berjuang bersama-sama dalam arena politik negara.
Nadzim dalam satu kenyataan berkata, beliau amat bersetuju jika parti besar orang Melayu Islam bergabung dan kembali memerintah negara.
“Jika kita mahu berjaya, mahu kekal menjadi pentadbir di negara yang bertuah penuh barokah ini, kita sebagai umat Islam harus bersatu, tidak ada jalan lain.
“Sejarah membuktikan umat Islam negara ini tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam malah kebebasan beragama, berniaga dan hidup aman damai bersama di Malaysia antara perkara yang amat kita banggakan di rantau ini,”tegasnya.
Tambah Nadzim lagi, situasi politik negara kini tidak sedikitpun membantu masalah dihadapi rakyat seperti krisis ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan, ditekan oleh pemimpin zalim dan diselebungi rasa takut kehilangan negara sendiri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PPIM sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dan menolak kerakusan mengejar kuasa dan tamak.
“PPIM akan menyatakan sokongan dari masa ke semasa kepada calon tertentu yang dilihat mampu membawa isu rakyat dan tidak mementingkan diri.
“Lihatlah negara kita kini, apa nasib rakyat jika pemimpin di atas sana terus bercakaran dan mencari kesalahan serta kelemahan sesama mereka.
“Apa salahnya mereka bergabung dan berganding bahu menggunakan kelebihan masing-masing demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPIM SAMBUT BAIK IDEA PENYATUAN PARTI MELAYU ISLAM, GUNA KELEBIHAN MASING-MASING BANGUNKAN NEGARA
No comments:
Post a Comment