Showing posts with label MALAKAT TRIBUNE. Show all posts
Showing posts with label MALAKAT TRIBUNE. Show all posts

Wednesday, November 2, 2022

YAKIN HALAL FESTIVAL BERI RUANG USAHAWAN TEMPATAN PAMER PRODUK HUJUNG MINGGU INI DI MALAKAT MALL - MALAKAT TRIBUNE - 28/10/2022

 

CYBERJAYA – Kira-kira 70 usahawan tempatan bakal berkampung di Malakat Mall sempena program Yakin Halal Festival yang bakal diadakan hujung minggu ini, di sini. 

Menurut Ketua Pemasaran Creasent Digital Sdn Bhd, Noor Herdawaty Zakaria,  festival berkenaan dianjurkan untuk membantu usahawan mempromosikan produk mereka di pusat beli belah berkenaan. 

Katanya, program tersebut adalah satu inisiatif yang diambil oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Malakat Mall sekaligus memberi ruang kepada pengguna untuk lebih mendekati usahawan Melayu Islam khususnya. 

“Mengapa kita buat festival ini adalah untuk membantu usahawan mempromosikan produk mereka dan antara lainnya juga adalah untuk bantu Malakat Mall sendiri dari sudut promosi pusat beli belah ini. 

“Antara produk yang bakal dijual dan dipamerkan kebanyakkanya adalah produk berasaskan makanan, pakaian dan perkhidmatan “katanya kepada Malakat Tribune di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Malakat Grocer juga bakal mengambil bahagian dalam festival berkenaan dengan mengadakan jualan prihatin yang menawarkan promosi bagi produk-produk tertentu. 

Beras Malakat.

Yang akan hadir semasa festival tersebut termasuklah Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim. 

Selain itu, katanya, PPIM juga akan memberikan sumbangan kepada lebih 200 penghantar makanan yang tinggal di sekitar Lembah Klang bagi meringankan beban mereka semasa hari festival berkenaan. 

Tambah Herdawaty lagi, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang dua hari festival tersebut seperti aktiviti memanah, mewarna, pertunjukkan cempuling dan bermacam-macam lagi. 


Gambar hiasan (Pasukan pemain cempuling).

“Sepanjang dua hari program kita akan adakan pelbagai aktiviti seperti memanah, mewarna, pertunjukkan cempuling dan bermacam-macam lagi jadi orang ramai dijemput untuk hadir pada hari Sabtu dan Ahad ini,” ujarnya lagi.


Artikel oleh: Malakat Tribune

YAKIN HALAL FESTIVAL BERI RUANG USAHAWAN TEMPATAN PAMER PRODUK HUJUNG MINGGU INI DI MALAKAT MALL

https://www.malakattribunenews.com/2022/10/yakin-halal-festival-beri-ruang-usahawan-tempatan-pamer-produk-hujung-minggu-ini-di-malakat-mall/

Thursday, October 13, 2022

PPIM SAMBUT BAIK IDEA PENYATUAN PARTI MELAYU ISLAM, GUNA KELEBIHAN MASING-MASING BANGUNKAN NEGARA - MALAKAT TRIBUNE - 12/10/2022

 

KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyambut baik saranan Pas yang mahu menyatukan parti-parti Melayu Islam berjuang bersama-sama dalam arena politik negara.

Nadzim dalam satu kenyataan berkata, beliau amat bersetuju jika parti besar orang Melayu Islam bergabung dan kembali memerintah negara.

“Jika kita mahu berjaya, mahu kekal menjadi pentadbir di negara yang bertuah penuh barokah ini, kita sebagai umat Islam harus bersatu, tidak ada jalan lain.

“Sejarah membuktikan umat Islam negara ini tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam malah kebebasan beragama, berniaga dan hidup aman damai bersama di Malaysia antara perkara yang amat kita banggakan di rantau ini,”tegasnya.

Tambah Nadzim lagi, situasi politik negara kini tidak sedikitpun membantu masalah dihadapi rakyat seperti krisis ekonomi, kesukaran mendapat pekerjaan, ditekan oleh pemimpin zalim dan diselebungi rasa takut kehilangan negara sendiri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPIM sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dan menolak kerakusan mengejar kuasa dan tamak.

“PPIM akan menyatakan sokongan dari masa ke semasa kepada calon tertentu yang dilihat mampu membawa isu rakyat dan tidak mementingkan diri.

“Lihatlah negara kita kini, apa nasib rakyat jika pemimpin di atas sana terus bercakaran dan mencari kesalahan serta kelemahan sesama mereka.

“Apa salahnya mereka bergabung dan berganding bahu menggunakan kelebihan masing-masing demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya lagi.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM SAMBUT BAIK IDEA PENYATUAN PARTI MELAYU ISLAM, GUNA KELEBIHAN MASING-MASING BANGUNKAN NEGARA

https://www.malakattribunenews.com/2022/10/ppim-sambut-baik-idea-penyatuan-parti-melayu-islam-guna-kelebihan-masing-masing-bangunkan-negara/

Tuesday, July 19, 2022

JANGAN HINA ISLAM ATAU TERIMA PADAH - PPIM - MALAKAT TRIBUNE - 17/06/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak membuat sebarang provokasi melibatkan agama, bangsa dan negara.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pihaknya kesal dengan kejadian menghina agama Islam yang tular sejak kebelakangan ini.

“Tidak kira agama apa pun, jangan hina agama sendiri atau agama orang lain, hormat sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga turut menegaskan semua rakyat perlu hormat sesama sendiri atau akan terima padah jika bertindak sebaliknya.

“Cari keharmonian bukan kebencian. Kita sedang berdepan pelbagai krisis dan ancaman terhadap negara, jangan ditambah perbalahan sesama kita,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video melibatkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan menghina nabi dan agama Islam.

Susulan kejadian itu, lelaki tersebut telah ditahan polis dan telah dipukul oleh orang awam di kediamannya yang terletak di Puchong hari ini.


Artikel oleh: Malakat Tribune

JANGAN HINA ISLAM ATAU TERIMA PADAH - PPIM

https://www.malakattribunenews.com/2022/07/jangan-hina-islam-atau-terima-padah-ppim/

Thursday, July 7, 2022

PPIM SERU SEMUA KAUM DI MALAYSIA BERSATU BUANG SIFAT DENDAM, DENGKI - MALAKAT TRIBUNE - 07/07/2022

 

KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu mengatasi masalah perpecahan kaum di negara ini.

Menurut beliau, penyatuan kaum itu boleh dilakukan melalui industri perfileman seperti filem Mat Kilau yang telah membangkitkan semangat cinta kepada negara.

“Tidak kira apa kaum, bangsa atau agama di negara ini, seluruh rakyat Malaysia boleh memgambil iktibar daripada cerita yang diketengahkan di dalam filem Mat Kilau.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara menentang segala jenis cubaan yang mencetuskan perpecahan di kalangan kaum seluruh rakyat Malaysia.

“Buang sifat dendam dan dengki sesama sendiri kerana sifat itu hanya akan merugikan kita semua,” katanya di sini, malam tadi.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama Kingsz Motosikal Group sempena Program Tayangan Filem Mat Kilau di Sunway Putra Mall, malam tadi. Kredit foto: Farid Jananuddin.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama Kingsz Motosikal Group sempena Program Tayangan Filem Mat Kilau di Sunway Putra Mall, malam tadi. Kredit foto: Farid Jananuddin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tayangan Perdana filem Mat Kilau anjuran PPIM bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pengamal media yang diadakan di Sunway Putra Mall malam tadi.

Dalam pada itu, beliau juga memuji Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof dan menyifatkan perlu lebih ramai lagi anak muda untuk menghasilkan filem sedemikian.

“Kita perlu lebih ramai anak muda seperti Syamsul untuk sama-sama menaikkan industri perfileman yang menjadi antara aset dan platform menaikkan semangat patriotik, cintakan negara dan bangsa,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau juga menggalakkan kerajaan agar membantu pembikinan filem yang dapat membina semangat ke arah perpaduan dan patriostisme.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM SERU SEMUA KAUM DI MALAYSIA BERSATU BUANG SIFAT DENDAM, DENGKI

https://www.malakattribunenews.com/2022/07/ppim-seru-semua-kaum-di-malaysia-bersatu-buang-sifat-dendam-dengki/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ppim-seru-semua-kaum-di-malaysia-bersatu-buang-sifat-dendam-dengki

Tuesday, July 5, 2022

PPIM BERI PERINGATAN KUTIPAN DERMA VAN JENAZAH - MALAKAT TRIBUNE - 05/07/2022

 

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum membuat sumbangan kepada mana-mana pihak yang mengutip dana untuk pembelian kenderaan angkutan jenazah di negara ini.

Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu adalah bagi mengelak wang sumbangan yang disalurkan disalahgunakan untuk tujuan lain.

Beliau berkata, tanpa mengira kepada pihak mana derma itu disalurkan sama ada kepada penerima Islam atau bukan Islam, kesahihan mengenainya perlu diteliti.

Tambah beliau, sekiranya wujud perasaan ragu-ragu terhadap sesuatu kutipan, orang ramai perlu terlebih dahulu mendapatkan maklumat yang sahih mengenainya supaya tidak mudah diambil kesempatan.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kutipan derma oleh orang perseorangan bukan Islam untuk mendapatkan sebuah van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan penggunaan akaun milik peribadi pengutip sumbangan sebagai saluran derma yang sepatutnya tidak berlaku.

“Adakah individu berkenaan menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Nadzim atau lebih dikenali sebagai Tokki mengingatkan umat Islam untuk mengutamakan sumbangan kepada NGO-NGO Islam.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung disebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan cas tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dikalangan umat Islam,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM BERI PERINGATAN KUTIPAN DERMA VAN JENAZAH

https://www.malakattribunenews.com/2022/07/ppim-beri-peringatan-kutipan-derma-van-jenazah/

Friday, June 24, 2022

PPIM LANCAR APLIKASI YAKIN, PLATFORM ADUAN ISU KEPENGGUNAAN - MALAKAT TRIBUNE - 16/06/2022

 


MOSTI PUJI INISIATIF PPIM BANGUNKAN APLIKASI YAKIN - MALAKAT TRIBUNE - 16/06/2022

 

PETALING JAYA – Aplikasi Yakin yang dibangunkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diyakini akan memainkan peranan penting dalam usaha membantu kerajaan memperkasakan hak pengguna rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau amat gembira dengan pelancaran aplikasi itu yang merupakan satu inovasi baharu dalam memperjuangkan hak orang ramai.

“Tahniah kepada PPIM dan semua pihak yang terlibat dalam inisiatif pembangunan aplikasi yang mengintegrasikan pelbagai maklumat dalam satu pusat sehenti.

“Pelancarannya juga bertepatan dengan objekti penubuhan PPIM untuk membela mereka yang tertindas, lebih-lebih lagi dalam cabaran dunia digital dan teknologi yang semakin banyak penipuan atau scam.

“Saya yakin aplikasi ini akan mendapat perhatian pengguna ditambah pula dengan jumlah audien sedia ada PPIM yang berjumlah 1.5 juta,” katanya pada majlis Pelancaran Aplikasi Yakin di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi (MESTECC); Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi (MESTECC), Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Aplikasi Yakin yang menjadi platform rasmi PPIM menerima aduan penipuan dan juga sebagai medium penyebaran maklumat.

Adham berkata, selain menjadi platform untuk laporan kes-kes penipuan, aplikasi itu juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.

Beliau berkata, sebagai aplikasi yang bersifat ‘one stop centre’, Yakin dalam memacu pembangunan ekonomi umat Islam khususnya dalam industri halal, pertanian, teknologi kewangan, kosmetik, farmasi, perusahaan, pelancongan dan juga insuran.

Kemunculan aplikasi itu juga katanya bertepatan dengan laporan peningkatan pengguna telefon pintar oleh Jabatan Perangkaan Negara daripada 98.2 peratus pada tahun 2020 kepada 98.7 peratus pada tahun 2021.

“Saya harap PPIM akan dapat membantu kerajaan menyalurkan maklumat kepada orang ramai melalui penulisan artikel, penyebaran kandungan video, laporan dan penyebaran berita terkini.

“Semoga usaha murni ini akan memberi manfaat kepada organisasi dan syarikat lain,” katanya.

Selain itu katanya, aplikasi Yakin itu juga akan menjadi platform yang selamat dan terkawal untuk tujuan kutipan derma dan kebajikan dengan lebih mudah.

Aplikasi Yakin kini boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play.

Antara muka dan kandungan aplikasi Yakin yang dilancarkan oleh PPIM hari ini.

Artikel oleh: Malakat Tribune

MOSTI PUJI INISIATIF PPIM BANGUNKAN APLIKASI YAKIN

https://www.malakattribunenews.com/2022/06/mosti-puji-inisiatif-ppim-bangunkan-aplikasi-yakin/

Thursday, June 23, 2022

PPIM LANCAR APLIKASI YAKIN BELA HAK KEPENGGUNAAN - MALAKAT TRIBUNE - 16/06/2022

 

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan aplikasi Yakin yang membolehkan orang ramai membuat aduan berhubung pelbagau isu kepenggunaan dan juga sebagai platform gaya hidup muslim.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, aplikasi yang dibangunkan melalui kerjasama pihaknya dengan Crescent Digital Sdn Bhd itu adalah sebagai usaha untuk membela nasib pengguna di negara ini yang tertindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, antara isu kepenggunaan yang semakin tidak terkawal adalah kes penipuaan secara dalam talian (scam) dan mangsa penindasan syarikat pinjaman wang tidak berdaftar atau Ah Long.

“Dengan adanya aplikasi rasmi PPIM ini, ia bukan sahaja menjadi tempat membuat aduan, tetapi akan ditambah baik dari semasa ke semasa dengan sumber-sumber maklumat yang penting untuk orang Islam.

“Sesuai dengan peredaran teknologi yang semakin pesat, kita perlukan satu inovasi dalam pembelaan hak-hak pengguna supaya kita tidak terus menjadi mangsa sindiket, peniaga, syarikat pemaju bank dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Aplikasi Yakin yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi (MESTECC), Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa.

Nadzim yang lebih dikenali dengan gelaran Tokki berkata, pelancaran aplikasi Pintar juga diharap dapat memudahkan orang ramai untuk tampil melaporkan kes penipuan atau penindasan sekaligus membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

“Sejak 25 tahun penubuhan PPIM, kita telah menerima bermacam-macam aduan kes penipuan.

“Untuk kes Ah Long sahaja, tidak kurang daripada 50,000 kes dilaporkan dan dengan campur tangan PPIM, ada Ah Long yang akhirnya mengalah malah ada yang memulangkan semula wang kepada mangsa,” katanya.

Antara ciri-ciri lain yang dimuatkan pada aplikasi Yakin.
Antara ciri-ciri lain yang dimuatkan pada aplikasi Yakin.

Nadzim berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu turut dilengkapi dengan maklumat waktu solat, arah kiblat, doa harian dan pelbagai lagi.

“Kita harap Pintar akan menjadi aplikasi ‘wajib’ bagi umat Islam di negara ini. Buat masa ini ia masih di peringkat permulaan dan akan dikembangkan lagi melalui lebih banyak kerjasama dengan pemegang-pemegang taruh.

“PPIM juga mengalu-galukan penglibatan pihak awam dan swasta dalam mengembangkan lagi potensi aplikasi ini agar ia dapat memberi impak yang betul-betul berkesan,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM LANCAR APLIKASI YAKIN BELA HAK KEPENGGUNAAN

https://www.malakattribunenews.com/2022/06/ppim-lancar-aplikasi-yakin-bela-hak-kepenggunaan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ppim-lancar-aplikasi-yakin-bela-hak-kepenggunaan

Friday, June 10, 2022

PPIM BIMBANG KARTEL MAKANAN DALAM KEMENTERIAN - MALAKAT TRIBUNE - 07/06/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan kebimbangan dengan kewujudan kartel makanan di negara ini yang kini sudah mula meresap ke dalam kementerian tertentu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendakwa, menurut sumber yang boleh dipercayai, setiap polisi di kementerian telah dipengaruhi oleh kartel berkenaan.

“Kalau ada aktiviti import makanan mesti akan ada bisnes, sebagai contoh harga lembu, ada yang kata dalam satu kajian harga lembu import ini tidak mahal.

“Pergerakan ekonomi itu dipengaruhi oleh kartel-kartel besar ini supaya kita ikut sahaja apa yang dibuat dan dia terus buat duit macam biasa sahaja.

“Kami harap kerajaan kaji balik jangan ikut pengaruh yang dibawa oleh kartel ini yang membawa kuntungan yang luar biasa kepada mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa satu Kempen Rakyat Tanam Untuk Hidup diwujudkan sebagai langkah persediaan untuk menangani krisis kenaikan harga makanan.

“Rakyat boleh mula tanam sesuatu di rumah sebagai contoh jagung, ubi kayu, ubi keledek, ulam, serai, halia dan bermacam-macam lagi jenis tanaman.

“Kerajaan juga perlu ubah dasar yang hanya menanam pokok hiasan yang tidak memberikan sebarang hasil kepada tanaman yang boleh memberikan hasil,” katanya.

Sementara itu, Penasihat PPIM, Abdul Kareem Said berkata, satu taman komuniti di tanah kosong taman perumahan juga boleh diwujudkan untuk mengatasi isu itu.

“Seperti di United Kingdom mereka ada taman komuniti yang tanam sumber makanan seperti sayur dan buah.

“Melalui taman komuniti ini juga kita juga akan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk taman, pada masa yang sama dapat membantu kos sara hidup masyarakat,” ujarnya lagi.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM BIMBANG KARTEL MAKANAN DALAM KEMENTERIAN

https://www.malakattribunenews.com/2022/06/ppim-bimbang-kartel-makanan-dalam-kementerian/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ppim-bimbang-kartel-makanan-dalam-kementerian

Thursday, June 2, 2022

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH HENTIKAN EKSPORT AYAM - MALAKAT TRIBUNE - 23/05/2022

 


CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan dalam menangani krisis harga makanan di negara ini dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan kerajaan itu tepat dan amat diperlukan rakyat pada masa kini.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi langkah diambil bagi memastikan harga makanan di pasaran tempatan dapat dikawal.

“Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keperluan rakyat dan membuat keputusan yang wajar serta tidak tergesa-gesa seperti sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kabinet perlu segera bertindak sebelum keadaan menjadi lebih meruncing seperti sekarang.

“Kita lihat kerajaan kita agak terkebelakang dalam membuat keputusan, apabila keadaan
sudah amat meruncing barulah Kabinet akan bermesyuarat untuk berbincang sedangkan isu harga makanan asas yang tinggi bukanlah perkara yang baru.

“Mungkin generasi muda negara ini tidak mengingatinya namun apabila berlaku krisis ekonomi global, perkara pertama yang terjejas adalah harga bahan api, makanan dan sebagainya termasuk kadar pengangguran semakin meningkat.

“Dua tahun dunia dikurung akibat Covid-19 takkan tidak ada seorang pun pakar ekonomi negara ini yang dapat menjangka kesannya kepada ekonomi dunia seterusnya kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Toqqi turut menyelar pihak yang mencadangkan supaya mengurangkan pengambilan stok ayam.

Katanya, pihak berkenaan sepatutnya turun ke padang untuk melihat masalah rakyat dan tidak memberikan cadangan sedemikian.

“Jika tak makan ayam rakyat nak makan apa? Ulat? Serangga? Ubi kayu? Untuk
pengetahuan pihak yang mungkin terlalu sibuk mengisi poket sendiri, ayam adalah sumber protein yang paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan daging,” katanya.

“Jika dibandingkan harga ayam sekilo adalah RM8.90, harga ikan kembung sekilo boleh mencecah RM14 dan sekilo ikan kembung tidak mampu menampung keperluan satu keluarga.

“Nak suruh orang beli daging, sekilo paling murah pun RM15, habis tu rakyat nak makan apa, wahai yang berhormat yang bijaksana, apa lagi pilihan yang rakyat ada,” sindirnya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM SAMBUT BAIK LANGKAH HENTIKAN EKSPORT AYAM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/ppim-sambut-baik-langkah-hentikan-eksport-ayam/

Wednesday, June 1, 2022

PPIM GESA PENGGUNA, PERUNCIT JANGAN TUNDUK 'GAME' PEMBEKAL AYAM - MALAKAT TRIBUNE - 22/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa peruncit dan pengguna di negara ini supaya tidak panik dan tunduk kepada helah pengusaha ladang ayam untuk menaikkan harga bekalan makanan itu.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, dakwaan kekurangan bekalan ayam pada ketika ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab demi mengaut lebih keuntungan.

Bahkan tindakan beberapa pihak yang mendakwa ladang-ladang ayam tidak mempunyai bekalan ayam juga tidak masuk akal kerana mereka mempunyai kontrak pembekalan kepada pembekal dan pemborong.

“Mereka mengada-adakan alasan bodoh seperti ayam tidak cukup berat atau sebagainya.

“Apa guna mereka bela ayam jika tiada pembeli, mereka akan berusaha mendapatkan kontrak untuk membekalkan ayam kepada pembekal atau pemborong secara pukal sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan atau setahun.

“Pengguna harus bijak dalam menilai situasi semasa dan kembali mengawal keadaan pasaran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa peruncit yang terkesan dengan kesuntukan bekalan ayam di pasaran tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) atau membawa perkara itu ke mahkamah jika dirasakan perlu.

Sehubungan itu, PPIM mahu kerajaan mengambil tindakan yang serius dan tidak sesekali tunduk kepada tuntutan pihak yang tamak dan sering memperbodohkan pengguna untuk kepentingan diri.

Toqqi turut menasihatkan pengguna untuk menolak produk dari pengeluar yang tidak bertanggungjawab dengan bertanya kepada peruncit atau pemborong siapakah pembekal ayam mereka.

“Kalau dah ladang tak boleh membekalkan ayam, maka kita sebagai pengguna boleh pilih untuk membeli produk dari pihak lain yang lebih bertanggunjawab dan tidak memperbodohkan pengguna,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM GESA PENGGUNA, PERUNCIT JANGAN TUNDUK 'GAME' PEMBEKAL AYAM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/ppim-gesa-pengguna-peruncit-jangan-tunduk-game-pembekal-ayam/

KRISIS BEKALAN GANDUM: TUKAR SEGERA POLISI TANGANI ISU KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN - GESA PPIM - MALAKAT TRIBUNE - 18/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menangani masalah kekurangan bekalan makanan dengan meneliti semula polisi sedia ada susulan larangan eksport gandum oleh India baru-baru ini.

Menurut Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, kerajaan seharusnya merangka satu pelan persediaan awal bagi menghadapi isu kekurangan bekalan makanan yang dijangka dihadapi oleh Malaysia.

“Kita perlu bersedia, daripada hanya mendengar cerita-cerita sedap untuk menyedapkan hati dan sebab itu pentingnya persediaan awal ini.

“Sekiranya apa-apa terjadi kepada kita di masa akan datang apa yang kita boleh buat? Takkan serai dan halia pun kita nak import daripada negara jiran,” katanya kepada Malakat Tribune.

Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, lebih membimbangkan apabila rata-rata penduduk di Malaysia tidak mempunyai simpanan bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh jangka masa panjang.

Katanya, situasi itu akan memberi kesan buruk dan membimbangkan sekiranya krisis makanan berlaku.

“Kalau kita lihat dalam peti sejuk rumah kita sekarang berapa lama stok bekalan makanan itu boleh bertahan?

“Tidak sampai pun dua minggu dan oleh itu kerajaan perlu tukar polisi yang sedia ada ini untuk menghadapi krisis makanan,” katanya.

Kelmarin, India telah melarang eksport gandum susulan gelombang haba yang telah menjejaskan hasil tanaman itu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Situasi itu telah menyebabkan pengusaha makanan berasaskan tepung dan gandum mula menaikkan harga makanan seperti roti.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi.

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim berkata, belum ada laporan diterima yang me­ngatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.

“Bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara dan kekura­ngan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

KRISIS BEKALAN GANDUM: TUKAR SEGERA POLISI TANGANI ISU KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN - GESA PPIM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/larangan-import-gandum-tukar-segera-polisi-tangani-krisis-bekalan-makanan-gesa-ppim/

Tuesday, May 31, 2022

PERJANJIAN GPT: JANGAN SERAH NEGARA KEPADA "GLOBAL ELITE" - GESA PPIM - MALAKAT TRIBUNE - 19/05/2022

 

PUTRAJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan memorandum bantahan terhadap Perjanjian Pandemik Antarabangsa (GPT) yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menurut Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, kerajaan seharusnya mengkaji dan menjelaskan apakah kebaikan GPT kepada rakyat sekiranya kerajaan Malaysia mengiktiraf perjanjian itu.

“Kenapa kita nak serah diri kita kepada agenda orang lain? Kerajaan perlu memberitahu rakyat apa kebaikan GPT ini kalau kita ikut cakap dia seumpama kita sudah menyerah diri dan kedaulatan kita.

“Tiada sebab untuk kita berikan sekuriti kita kepada satu badan kerana itu seumpama kita menyerahkan negara kepada orang lain.

“Kalau dulu Jepun serang kita pertahankan negara kalau sekarang kita pula yang menyerahkan negara kepada “Global Elite” yang mempunyai pelbagai agenda yang kita tidak ketahui,” katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum itu hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat menyokong memorandum ini, beliau berkata sebanyak 1,000 NGO yang membantah perjanjian itu.

“Orang ramai juga perlu mengkaji semula akan International Health Regulation (IHR) ini agar dapat menentukan apakah pendirian mereka terhadap isu ini,” katanya.

Sebelum, WHO dalam satu kenyataan berkata, Perhimpunan Majlis Kesihatan Sedunia telah bersetuju untuk memulakan proses global bagi merangka dan merunding satu konvensyen atau perjanjian antarabangsa.

Perjanjian itu adalah di bawah Perlembagaan WHO dengan alasan untuk mengukuhkan langkah pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik Covid-19.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PERJANJIAN GPT: JANGAN SERAH NEGARA KEPADA "GLOBAL ELITE" - GESA PPIM

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/perjanjian-gpt-jangan-serah-negara-kepada-global-elite-gesa-ppim/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=perjanjian-gpt-jangan-serah-negara-kepada-global-elite-gesa-ppim

MELAYU SERONOK TENGOK BANGSA SENDIRI GAGAL - MALAKAT TRIBUNE - 17/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Penutupan Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka bukan petanda kempen Buy Muslim First (BMF) di negara ini telah gagal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan penamatan operasi pusat beli-belah itu pada Februari lalu sebagai ‘batu nisan’ kepada kempen itu adalah tindakan berniat jahat.

Sebaliknya beliau berkata, tohmahan yang dilempar terhadap usaha Kumpulan Malakat Eco memperluas platform dan eko-sistem ekonomi Islam itu harus dilihat sebagai kegagalan umat Islam bersatu hati.

“Masalah kita adalah semangat. Memang kita boleh tuding jari kepada pihak-pihak yang tidak berjaya. Tapi adakah kita seronok melihat kegagalan bangsa kita sedangkan dalam isu ini kita dalam ‘kapal’ yang sama.

“Kalau kita sama-sama menyokong dan kuat semangat untuk membina ekonomi Islam, mungkin tidak tutup.

“Tapi kita tidak sokong pun, menyebabkan kita tak mampu bersaing, sehingga dihina oleh bangsa lain, memang padan muka kita,” katanya kepada Malakat Tribune dalam pertemuan di pejabatnya hari ini.

Isu penutupan cawangan kedua pusat beli-belah Malakat Mall di Masjid Tanah menjadi topik hangat selepas segelintir pihak mengaitkan perkembangan itu sebagai bukti kegagalan kempen BMF.

Di negara ini, kempen tersebut digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PPIM, Pembela, Perkid dan beberapa lagi NGO Muslim lain.

Pengasas Malakat Mall Mohd. Fadzil Hashim (kanan) mengiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada majlis Pelancaran Malakat Mall di Cyberjaya, pada 2019.

Lebih menyedihkan katanya, tuduhan itu dilempar tanpa memahami isu dalaman dan perjuangan yang telah dilakukan oleh Malakat Mall sehingga kini.

“Dalam kes Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall) di Masjid Tanah, Malakat Mall bertapak di situ selepas dijemput untuk memajukan semula, berbincang dan bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

“Pendek kata bangunan yang telah kosong sejak lebih 4 tahun itu diserahkan kepada Malakat Mall untuk ‘dihidupkan’ semula.

“Kita juga kena faham bahawa Malakat Mall berjuang berseorangan tanpa ada bantuan daripada mana-mana agensi pun. Kalau tutup di Melaka tak bererti gagal,” katanya.

Nadzim atau lebih dikenali dengan Tokki berkata, penutupan Malakat Mall selepas lebih setahun beroperasi di siitu tidak seharusnya diperbesarkan kerana kumpulan perniagaan itu terus kekal di Cyberjaya.

Selain itu katanya, pembukaan pusat beli-belah tersebut untuk menyediakan peluang dan ruang perniagaan kepada usahawan tempatan dilakukan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kita kena faham Malakat Mall di situ dibuka semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masa itu banyak lagi syarikat yang gagal, tidak pula diperbesarkan.

“Misalnya, kita lihat sudah berpuluh tahun kerajaan dengan agensi-agensi bertungkus-lumus dalam pembangunan ekonomi dan sektor-sektor lain, berbilion-bilion sudah dibelanjakan…mana ada kejayaan yang boleh dibanggakan pun?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya memahami konsep perjuangan yang tidak seharusnya dinilai dengan kejayaan tetapi usaha yang berterusan.

“Soal perjuangan ini tidak boleh dilihat kepada kejayaan tapi usaha kita kerana kejayaan bukan urusan kita tapi dinilai Allah dengan usaha kita.

“Biarlah kita menjadi seperti burung pipit yang cuba memadamkan api dengan air di paruhnya. Kalau tidak berjaya pun, kita telah berusaha,” ujar beliau.

Tokki yang kecewa terhadap usaha sesetengah pihak mengkritik seolah-olah mahu ‘mematikan’ kempen BMF dalam nada sinis berkata, perkataan tolong-menolong sepatutnya ‘dibuang’ daripada kamus hidup orang Melayu.

“Tunggulah sehingga esok kita akan menerima nasib yang sama seperti Rohingya di Myanmar dan Melayu Champa yang sudah ada tamadun beribu tahun akhirnya merempat di bumi sendiri,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

MELAYU SERONOK TENGOK BANGSA SENDIRI GAGAL

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/melayu-seronok-tengok-bangsa-sendiri-gagal/

Friday, May 13, 2022

PUSAT SEMBELIH TIDAK IKUT SYARAK: PPIM TUNTUT PENJELASAN KEDUTAAN AUSTRALIA - MALAKAT TRIBUNE - 11/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan meminta penjelasan lanjut mengenai isu pusat penyembelihan di Australia yang diragui sijil halalnya daripada Kedutaan Australia susulan pendedahan mengenai cara sembelihan yang tidak mengikut syarak.

Menurut Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, pada masa sama pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai isu berkenaan.

“Apa yang terjadi dengan pusat penyembelihan di Australia itu adalah satu salah laku pihak yang berwajib dalam melakukan pemantauan dan penyembelihan haiwan berkenaan.

“Kalau kita tengok kambing di pusat penyembelihan itu melalui conveyor belt yang dipenuhi dengan darah dan ada kambing yang mati lemas dengan darah, bukannya disembelih,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.Terdahulu beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPIM di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati pengguna untuk berhati-hati ketika membeli makanan di samping menggalakan pengguna untuk memeriksa status halal produk berkenaan.

“Sudah tiba masanya pengguna untuk menentukan sama ada makanan itu halal atau tidak dengan menyemak semula proses penyediaan sesuatu makanan itu bukan setakat membeli sahaja

“Satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas juga perlu diwujudkan untuk keperluan makanan yang disajikan dan sekiranya isu ini berterusan maka dalam erti kata lain daging yang diimport adalah haram dan kesannya keberkatan itu akan hilang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan pemberi maklumat bagi kes ini, beliau berkata, dia ketika ini berada di Australia dan berada dalam selamat.

“Dia sudah menerima ugutan namun dengan pertolongan rangkaian kami di sana, insya-Allah dia akan mendapat perlindungan di sana,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PUSAT SEMBELIH TIDAK IKUT SYARAK: PPIM TUNTUT PENJELASAN KEDUTAAN AUSTRALIA

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/pusat-sembelih-tidak-ikut-syarak-ppim-tuntut-penjelasan-kedutaan-australia/

Thursday, April 28, 2022

PPIM NASIHAT ORANG RAMAI WASPADA DENGAN JERAT SCAMMER KETIKA MEMBELI DI HARI RAYA - MALAKAT TRIBUNE - 27/04/2022

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati daripada terkena jerat scammer ketika membeli belah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, orang ramai dinasihatkan memilih peniaga yang bertanggungjawab serta jujur.

“Banyak scam penjualan berleluasa masa kini, pengguna harus lebih bijak dan jangan terpedaya dengan penipuan mereka,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Toqqi terdahulu, membawa 50 orang anak yatim dan pelajar tahfiz ke Pusat Membeli Belah Mydin Mall di Subang Jaya hari ini.

Menurut Toqqi, program itu berjaya diadakan hasil kerjasama di antara PPIM dan rakan sinergi iaitu MYDIN, Zain’s International, ICON Production, sumbangan.com, Yayasan Malindo Worldwide, Royal Burger, Uniti Asia Group, Halgel dan orang ramai.

Dalam pada itu Toqqi turut mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang memberikan sumbangaan melalui platform atas talian iaitu sumbangan.com.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM NASIHAT ORANG RAMAI WASPADA DENGAN JERAT SCAMMER KETIKA MEMBELI DI HARI RAYA

https://www.malakattribunenews.com/2022/04/ppim-nasihat-orang-ramai-waspada-dengan-jerat-scammer-ketika-membeli-di-hari-raya/

Thursday, April 21, 2022

KES BELLA PERLU DISIASAT SECARA LEBIH MENDALAM - PPIM - MALAKAT TRIBUNE - 17/04/2022

 

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dalam kes penderaan remaja Down Syndrom yang dikenali sebagai Bella.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM berpendirian tegas dalam perkara itu dan tidak mahu ada pihak berselindung atau melepaskan tanggungjawab mereka.

“Remaja itu diletakkan di bawah jagaan Pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi rumah jagaan tanpa lesen. Di manakah peranan pihak berwajib dalam hal ini?

“Siapa yang membenarkan remaja itu diletakkan di bawah jagaan individu terbabit, siapa pegawai pelindung yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan remaja itu sepanjang tempoh dia berada disana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu menurut Nadzim, maklumat kes yang semakin tular di media sosial juga amat membimbangkan.

“Kecederaan yang dikatakan dialami oleh remaja tersebut amat menggerunkan dan pihak berkuasa seharusnya mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab mencederakan remaja itu, dan mengapa tidak ada pemantauan pihak berwajib ke atasnya,” katanya.

Nadzim berkata, selain tertuduh yang kini berdepan dengan dakwaan mengabaikan dan menganiaya remaja tersebut, pihak berkuasa seharusnya menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.

“Saya difahamkan individu yang diberikan hak penjagaan sementara ini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan. Bagaimana seorang yang berada ditahap itu boleh diberikan hak penjagaan terutama sekali remaja dan bayi kurang upaya,”tanyanya.

Lebih memeranjatkan lagi seramai tujuh kanak-kanak termasuk bayi pernah diserahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada individu tersebut sebelum kes penderaan ini terbongkar.

Nadzim berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa negara ini bertindak tegas dan adil dalam semua siasatan yang dijalankan jangan hanya mahu menyelesaikan kes dan menunding jari kepada satu atau dua kambing hitam semata-mata.

“Siapa yang mendera, siapa yang membiarkan, siapa yang meletakkan remaja itu disitu, semua mereka harus dipertanggungjawabkan dan bukan satu individu yang kini didakwa, semua mereka yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan anak ini harus dipertanggungjawabkan,” katanya.

Jelas Nadzim sudah terlalu banyak kejadian jenayah yang berlaku di negara ini dan siasatan hanya sekadar dilakukan untuk menutup kes dan tidak ada penyelesaian jangka panjang yang diberikan.

“Jika kita sumbat seorang pelaku ini dalam penjara, apa jaminan pihak berkuasa bahawa individu lain tidak akan melakukan perkara sama keatas mangsa lain dan apa jaminan JKM perkara ini tidak akan berlaku lagi,” tegasnya.

Nadzim berkata, PPIM mahu mewujudkan dan melaksanakan satu protokol tetap yang lebih berkesan dan bertindak dengan lebih tegas dalam semua kes jenayah.

Pihak berkuasa berkaitan juga perlu mengambil iktibar di dalam kes penderaan Bella ini supaya memastikan tidak ada lagi penjawat awam yang gagal dan lalai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan mangsa lain teraniaya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

KES BELLA PERLU DISIASAT SECARA LEBIH MENDALAM - PPIM

https://www.malakattribunenews.com/2022/04/kes-bella-perlu-disiasat-secara-lebih-mendalam-ppim/

Tuesday, April 5, 2022

PPIM GESA PEMERIKASAAN MENTAL TERHADAP GURU SEKOLAH DILAKUKAN - MALAKAT TRIBUNE - 05/04/2022

 

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua jabatan agama negeri yang mengendalikan sekolah agama menjalankan pemeriksaan mental terhadap guru dan kakitangan sekolah bagi mengelakkan berulangnya kes seorang guru agama yang merotan pelajarnya sehingga mendatangkan kecederaan, baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan seorang guru agama di Cheras yang merotan pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima walaupun keluarga mangsa telah menerima permohonan maaf.

“Tidak adil anak-anak menjadi mangsa kerana guru tidak mampu mengawal emosi akibat masalah peribadi atau di tempat kerja, anak yang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya di peringkat sekolah.

“Apa yang hendak diajar oleh guru jika mereka bertindak ganas dan melulu terhadap pelajar terutama di peringkat sekolah rendah, maka tidak hairanlah pelajar kita semakin kurang ajar, tidak beradab dan ganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai tindakan seorang guru sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Cheras didakwa merotan seorang murid hanya kerana meminta rakan di hadapannya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.

Di samping itu, beliau juga menasihati semua ibu bapa yang menerima aduan daripada anak-anak mereka untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan dibuat dan membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada aktivis PPIM serta peguam kami berkenaan kes mereka dan cara penyelesaian yang terbaik,” katanya.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM GESA PEMERIKASAAN MENTAL TERHADAP GURU SEKOLAH DILAKUKAN

https://www.malakattribunenews.com/2022/04/ppim-gesa-pemeriksaan-mental-terhadap-guru-sekolah-dilakukan/

Friday, March 11, 2022

JANGAN HALANG JEMAAH TIDAK DIVAKSIN SOLAT DI MASJID DAN SURAU, AJK BOLEH SEDIAKAN RUANG SOLAT LAIN JIKA TAKUT - KATA TOQQI - MALAKAT TRIBUNE - 09/03/2022

 

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya syarat keperluan vaksin Covid-19 atau suntikan tambahan vaksin tidak dijadikan syarat kebenaran memasuki masjid dan surau ketika negara menuju ke fasa peralihan endemik.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ketiadaan arahan jelas berhubung perkara itu selepas kerajaan mengumumkan tiada lagi penjarakan satu meter ketika solat berjemaah di masjid dan surau

“PPIM mengalu-alukan langkah kerajaan menghapuskan penjarakan social bagi jemaah di masjid dan surau seluruh negara.

“Pengumuman Perdana Menteri itu mengembalikan sedikit suasana ceria di masjid dan surau terutama menjelang Ramadan pada April akan datang.

“Walau bagaimanapun, tidak ada kenyataan atau arahan yang jelas berkenaan syarat keperluan vaksin Covid-19 atau suntikan tambahan vaksin sebagai syarat kebenaran memasuki masjid dan surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim yang juga dikenali sebagai Toqqi berkata, PPIM juga mencadangkan pihak masjid dan surau serta Jabatan Agama Negeri-Negeri mengambil kira kelonggaran itu sebelum menetapkan syarat yang tidak masuk akal.

“Permudahkanlah urusan umat Islam mahu menunaikan solat, jika takut sangat dengan virus Covid-19 itu, mungkin AJK masjid dan surau boleh sediakan laluan dan ruang solat yang berasingan untuk mereka yang tidak lengkap vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Toqqi berkata, selain kelonggaran penjarakan fizikal, PPIM turut menggesa kerajaan melonggarkan syarat wajib menggunakan aplikasi MySejahtera di tempat terbuka awam kecuali yang menjadi tumpuan orang ramai.

Sementara itu, beliau juga menegur sikap segelintir pemilik premis yang masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) lama dengan alasan ia adalah arahan pihak pengurusan.

“Menurut pengadu, pekerja IKEA tidak pedulikan waktu solat pelanggan dan tidak mengendahkan rayuan pelanggan yang mahu menunaikan solat yang kurang 15 minit sahaja walaupun mereka sudah beratur lebih satu jam.

“Kepada pengguna beragama Islam, eloklah kita mengelakkan pergi ke premis seperti ini. Banyak lagi perniagaan yang menawarkan produk sepertimana IKEA di sekitar Lembah Klang dan seluruh negara.

“Mereka tak hargai pelanggan beragama Islam, eloklah kita hentikan berurusan dengan mereka,” katanya yang mengulas dakwaan seorang pelanggan IKEA di Cheras mendakwa dihalang masuk ke surau oleh pekerja gudang perabot dan hiasan rumah itu baru-baru ini.


Artikel oleh: Malakat Tribune

JANGAN HALANG JEMAAH TIDAK DIVAKSIN SOLAT DI MASJID DAN SURAU, AJK BOLEH SEDIAKAN RUANG SOLAT LAIN JIKA TAKUT - KATA TOQQI

https://www.malakattribunenews.com/2022/03/jangan-halang-jemaah-tidak-divaksin-solat-di-masjid-dan-surau-ajk-boleh-sediakan-ruang-solat-lain-jika-takut-kata-toqqi/

Thursday, February 3, 2022

PPDM SEDIA SOKONG PARTI POLITIK YANG SOKONG PERJUANGANNYA - MALAKAT TRIBUNE - 02/02/2022

 

CYBERJAYA – Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) hari ini menyatakan pihaknya bersedia menyokong mana-mana parti politik yang sanggup bersamanya memperjuangkan nasib para pemain industri tersebut.

Ketua Aktivis PPDM, Kamaruddin Hussain berkata, perjuangan mereka memerlukan perubahan pada dasar kerajaan yang tidak akan dapat dilakukan oleh persatuan ataupun pertubuhan.

Kamaruddin menyerahkan memorandum kepada Ketua Penerangan Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil.

“Apa yang kami perjuangkan sebenarnya mahu mengubah dasar (kerajaan), supaya bukan sahaja menguntungkan syarikat tetapi juga kami sebagai pemain industri.

“(Tetapi) Usaha kami selama ini menerusi persatuan dan pertubuhan tidak membuahkan hasil, kerana tiada siapa yang dengar suara kami,” kata Kamaruddin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Memorandum PPDM kepada Perdana Menteri dan Parti-Parti Politik Negara di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malayasia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ataupun Toqqi, dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor.

Kata Kamaruddin, dasar kerajaan yang sedia hanya menguntungkan pihak syarikat, namun menidakkan hak pemain industri lain seperti golongan pemandu.

“Kami inginkan perubahan, terutamanya pada dasar (kerajaan), kerana akta yang dibuat tidak melihat kepada kami (pemain industri).

“Atas kesedaran itu, kami ambil pendekatan menyerahkan memorandum pada semua wakil parti politik, bagi melihat parti mana yang sedia memperjuangkan tuntutan kami,” tambahnya.

Beliau menambah, mana-mana parti politik yang mahukan sokongan PPDM perlu serius dalam membantu memperjuangkan hak mereka sebagai pemain industri.

“Jika parti (politik) mahukan sokongan kami, kami tuntut jawatan Menteri Pengangkutan diberikan kepada (anggota) pemain industri.

“Saya tahu tuntutan ini amat besar, tapi jika parti tersebut benar-benar serius mahukan sokongan (politik PPDM), permintaan ini perlu diambil kira,” katanya lagi.


Artikel oleh: Malakat Tribune

PPDM SEDIA SOKONG PARTI POLITIK YANG SOKONG PERJUANGANNYA

https://www.malakattribunenews.com/2022/02/ppdm-sedia-sokong-parti-politik-yang-sokong-perjuangannya/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL