KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menangani masalah kekurangan bekalan makanan dengan meneliti semula polisi sedia ada susulan larangan eksport gandum oleh India baru-baru ini.
Menurut Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, kerajaan seharusnya merangka satu pelan persediaan awal bagi menghadapi isu kekurangan bekalan makanan yang dijangka dihadapi oleh Malaysia.
“Kita perlu bersedia, daripada hanya mendengar cerita-cerita sedap untuk menyedapkan hati dan sebab itu pentingnya persediaan awal ini.
“Sekiranya apa-apa terjadi kepada kita di masa akan datang apa yang kita boleh buat? Takkan serai dan halia pun kita nak import daripada negara jiran,” katanya kepada Malakat Tribune.
Nadzim atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, lebih membimbangkan apabila rata-rata penduduk di Malaysia tidak mempunyai simpanan bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh jangka masa panjang.
Katanya, situasi itu akan memberi kesan buruk dan membimbangkan sekiranya krisis makanan berlaku.
“Kalau kita lihat dalam peti sejuk rumah kita sekarang berapa lama stok bekalan makanan itu boleh bertahan?
“Tidak sampai pun dua minggu dan oleh itu kerajaan perlu tukar polisi yang sedia ada ini untuk menghadapi krisis makanan,” katanya.
Kelmarin, India telah melarang eksport gandum susulan gelombang haba yang telah menjejaskan hasil tanaman itu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Situasi itu telah menyebabkan pengusaha makanan berasaskan tepung dan gandum mula menaikkan harga makanan seperti roti.
Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi.
Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim berkata, belum ada laporan diterima yang mengatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.
“Bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara dan kekurangan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi,” katanya.
Artikel oleh: Malakat Tribune
KRISIS BEKALAN GANDUM: TUKAR SEGERA POLISI TANGANI ISU KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN - GESA PPIM
No comments:
Post a Comment