Friday, June 10, 2022

RAKYAT MULALAH TANAM SENDIRI UNTUK HIDUP - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 07/06/2022

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu mula bertani di sekitar kawasan rumah untuk bekalan sendiri dan diminta tidak menunggu sehingga bekalan makanan terputus.

Saranan tersebut dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bimbang dengan situasi bekalan makanan yang dihadapi rakyat ketika ini hingga menyebabkan harga menjadi mahal.

Menerusi slogan ‘Rakyat tanam untuk hidup’ Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat perlu membuat persiapan menyediakan bekalan makanan sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan demi melindungi keluarga masing-masing.

Menurutnya, ancaman bekalan makanan yang dihadapi negara ketika ini sepatutnya membawa perubahan kepada rakyat untuk memulakan budaya baharu iaitu bertani di kawasan perumahan dan tanah terbiar.

“Hari ini kita menyeru agar kita buat perubahan, tak kisahlah apa yang jadi dengan kerajaan ke, dengan pilihan raya ke, rakyat tentu nak kena makan. Kita perlu ada persediaan untuk berbuat sesuatu untuk menjaga keluarga kita.

“Kalau ada tanah di rumah kita tanamlah di rumah. Antara tanaman yang mudah adalah jagung. Kalau jagung tak elok orang makan, kita bagi ayam makan. Kita harap boleh bawa kesedaran ini supaya kita bertanam,” katanya.

Nadzim berkata, adalah tidak logik untuk rakyat terus bergantung kepada pengimportan makanan seperti serai dan halia dari luar sedangkan negara mempunyai banyak tanah yang subur untuk bertani.

Menurutnya, tanah terbiar di kawasan perumahan, kawasan sekolah, tanah masjid dan rumah ibadah, tanah lapang milik Tenaga Nasional Berhad dan institusi keagamaan dan majlis perbandaraan boleh digunakan untuk bertani.

“Ceritanya kita hendak ada hasil yang boleh digunakan untuk menampung keperluan kita supaya tidak kelaparan.

“Hasilnya mungkin tidak sekarang tetapi dua tiga bulan, dua tiga tahun daripada kita tanam lalang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu Penasihat PPIM, Abdul Kareem Said berkata, rakyat perlu digalakkan untuk bertani dalam menghadapi situasi yang sangat mencabar ketika ini.

Menurutnya, selama ini rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan dan mereka seharusnya memulakan satu gerakan demi kepentingan sendiri.

“Kita tidak tahu bekalan makanan yang kita ada untuk berapa bulan. Yang kita tahu tidak begitu banyaklah.

“Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di peringkat antarabangsa nampaknya sangat merisaukan. Baik kita bersedia.

“Apa yang kita cadangkan supaya rakyat memulakan gerakan sendiri demi rakyat. Kita sentiasa mengharapkan agar kerajaan sentiasa selesaikan masalah, biarlah kita memulakan sikap menolong diri sendiri,” katanya.

PPIM berharap kempen yang akan digerakkan oleh rakyat itu akan mendapat sambutan daripada masyarakat. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

RAKYAT MULALAH TANAM SENDIRI UNTUK HIDUP - PPIM

https://malaysiagazette.com/2022/06/07/rakyat-mulalah-tanam-sendiri-untuk-hidup-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL