Wednesday, June 22, 2022

APLIKASI YAKIN BANTU PENGGUNA DAPATKAN KHIDMAT PPIM - HARIAN METRO - 16/06/2022

 

Petaling Jaya: Aplikasi Yakin yang dibangunkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bakal menjadi 'pusat sehenti' untuk masyarakat mengenal pasti perkhidmatan mengelirukan dan penipuan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aplikasi itu yang dibangunkan bersama Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) juga akan membantu pengguna agar lebih berwaspada dalam menjalankan sebarang urusan.

"Pengguna boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM seperti aduan hal ehwal pengguna, sumbangan derma dan pelbagai maklumat terkini daripada PPIM dengan mudah menggunakan telefon pintar mereka," katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi itu di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital Nina Alyssa.

Dr Adham berkata, beliau percaya Yakin berpotensi untuk menjadi aplikasi gaya hidup Muslim tempatan yang utama dan komprehensif di Malaysia, selain menyokong peniaga menerusi penjualan barangan.

Harapannya, pada masa hadapan PPIM dapat menjadikan aplikasi Yakin sebagai platform e-dagang yang menjual barang harga patut untuk manfaat pengguna.

Sementara itu, Nadzim berkata, selain perkhidmatan aduan dan bantuan mangsa along atau ceti haram, Yakin juga menjadi saluran pengguna Islam mendapatkan maklumat waktu solat dan yang berkaitan.

"Bukan itu sahaja, aplikasi ini dibangunkan untuk membantu perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien.

"Perlu juga ditegaskan bahawa kempen derma yang terdapat dalam aplikasi Yakin telah disemak dan disahkan dahulu pihak kami.

"Kami yakin aplikasi ini dapat memberi kemudahan dan manfaat kepada semua rakyat di Malaysia," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

APLIKASI YAKIN BANTU PENGGUNA DAPATKAN KHIDMAT PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/852502/aplikasi-yakin-bantu-pengguna-dapatkan-khidmat-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL