KUALA LUMPUR - Sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) sememangnya memberikan manfaat tersendiri, namun ia tidak sesuai dilaksanakan buat masa sekarang kerana pelbagai masalah yang melingkari kehidupan rakyat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman berkata, GST adalah sistem percukaian yang sangat komprehensif dan berupaya membantu kerajaan menambah sumber pendapatan negara, lebih-lebih lagi ketika senario ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan juga harus prihatin terhadap nasib rakyat yang turut terkesan dengan peningkatan harga barangan sejak akhir-akhir ini.
“Kemerosotan ekonomi yang melanda ini tidak tahu sampai bila akan diselesaikan, justeru kita amat setuju bahawa pelaksanaan GST dapat membantu menambah pendapatan kerajaan.
“Bagaimanapun, kita memohon supaya kerajaan meneliti dan mempertimbangkan sebaik-baiknya, adakah sekarang masa yang sesuai untuk melaksanakan semula GST kerana kami khuatir ia akan menyebabkan pengguna semakin tertekan,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Mengulas lanjut Mohd Yusof berkata, kerajaan diminta meneliti mekanisme pelaksanaan terbaik sekiranya cukai itu bakal diperkenalkan kembali, bagi memastikan pengguna tidak terkesan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Banyak negara melaksanakan GST tetapi ia tidak membebankan rakyat mereka. Jika kamu (kerajaan) kata GST menurunkan harga barang, pastikan ia benar-benar berlaku bukan sebaliknya,” tegasnya.
Selain itu, Mohd Yusof berkata, kerajaan juga harus meneliti kadar yang sesuai untuk dikenakan sebelum memperkenalkan semula GST dan perlu mengenal pasti barangan yang perlu dikecualikan daripada cukai tersebut.
“Kami mencadangkan kadar GST yang dikenakan tidak melebihi empat peratus dan kerajaan perlu menggunakan senarai barangan yang dikecualikan GST seperti pada zaman (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata GST adalah sistem yang efisien bagi mengelakkan pengusaha lari daripada membayar cukai selain menambah pendapatan negara.
“Bagaimanapun, kami berpendapat, situasi semasa di Malaysia dengan harga barang meningkat dan bekalan tak mencukupi, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk perkenalkan semula GST.
“Kami khuatir jika GST dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa, rakyat akan terkesan dengan lebih teruk,” katanya yang tidak menyokong pemansuhan GST ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, sekiranya GST diperkenalkan semula, kerajaan disyorkan agar meletakkan kadar berpatutan supaya ia tidak membebankan rakyat terutamanya golongan M40 dan B40.
“Namun, kami berpendapat, kerajaan perlu selesaikan dulu masalah rakyat sekarang ini iaitu peningkatan harga barang dan ketiadaan bekalan makanan mencukupi sebelum mahu melaksanakan semula GST,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan berminat untuk mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam.
Ismail Sabri berkata, beliau sedar mengenai persepsi negatif terhadap GST, tetapi mempunyai pilihan terhad untuk menambah tabungan kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila GST dimansuhkan dan menggantikannya dengan SST. Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia,” katanya.
Artikel oleh: Getaran
BELUM MASANYA LAKSANAKAN GST, RAKYAT MASIH TERBEBAN
https://www.getaran.my/artikel/semasa/24647/belum-masanya-laksanakan-gst-rakyat-masih-terbeban
No comments:
Post a Comment