Friday, June 3, 2022

SIASAT DAGING AUSTRALIA - UTUSAN MALAYSIA - 26/05/2022

 

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menggantung import daging da­ri semua rumah sem­­belihan di Australia susulan tiga lagi dikesan melanggar protokol halal.

Penggantungan itu bagi mem­bolehkan satu siasatan menyeluruh dilakukan demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Ma­­laysia, Presiden Pertubuhan Ke­­­­masyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, peng­gantungan sementara kemasukan daging-daging dari semua rumah sembelihan di ne­­­gara itu perlu di­lakukan se­hing­ga kerajaan se­lesai menyiasat kesangsian status halal dan pe­langgaran protokol sembelihan di semua premis terlibat.

Menurut beliau, dakwaan tiga lagi rumah sem­belihan di negara itu yang turut melanggar protokol halal selepas pendedahan membabitkan Thomas Foods International (TFI) me­ncetuskan ke­bimbangan dan keraguan da­­­lam kalangan umat Islam di Malaysia berhubung status halal daging yang dibekalkan oleh rumah sembelihan di negara Kangaroo itu.

“Kita minta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) gan­­­tung semua tempat penyem­be­lihan di Australia sebab sudah ada unsur-unsur langgar protokol halal.

“Elok gantung semua sebab ini sudah melibatkan hukum, jika pusat yang didedahkan hari ini (semalam), TFI (yang diakui) langgar protokol halal, maka ada keraguan daging (dari sana) 100 peratus tak halal.

“Jadi kita tidak perlu mempertahankan integriti rumah sem­­belihan yang lain dan kalau boleh Jakim perlu buat satu kenyataan menggantung kese­mua pusat sembelihan yang ada di Australia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland dikesan melanggar protokol halal sembelihan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).

Penemuan itu disahkan oleh seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin semasa membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penggantung sementara pengimportan diberikan kepada TFI Lobethal, Aus­tralia sehingga satu hasil sia­satan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan itu.

Pematuhan halal

Mengulas lanjut, Faizan berkata, isu berkaitan pematuhan halal rumah sembelihan di negara bukan Islam perlu diambil serius bagi terus mengelakkan keraguan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Katanya, perkara itu tidak boleh terus dibiarkan berlarutan dengan lama kerana jika berlaku begitu ia memperlihatkan umat Islam seperti terus dipermainkan.

“Australia bukan sebuah negara Islam, pematuhan tak ada dan pusat (TFI) jelas melanggar protokol halal. Jadi semua dah jelas dan sudah dibongkarkan sejak 14 April lagi.

“Walaupun saya tak dapat bawa isu integriti pegawai Jakim, tetapi isu langgar protokol halal sudah terbukti.

“Saya sebagai umat Islam perlu lakukan sesuatu jadi sementara siasatan dijalankan, kita gantung semua pusat sembelihan di sana. Kalau kita masih lagi tutup sebelah mata, saya tak tahu apa yang berlaku akan datang,” jelasnya.

Memantau

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu sistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi membolehkan agensi yang bertanggungjawab memantau rumah sembelihan di luar negara berkaitan pematuhan halal.

Katanya, penggantungan sementara sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana isu yang sama boleh berlaku di tempat mahupun rumah sembelihan lain.

“Sistem menyeluruh perlu merangkumi sistem semakan, sistem pemantauan dan sistem untuk ambil tahu kerja mereka. “Benda ini tak akan selesai, gantung tu selesai masalah ke? (gantung) satu tempat, tetapi tempat lain?” jelasnya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

SIASAT DAGING AUSTRALIA

https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2022/05/siasat-daging-australia/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL