KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan kebimbangan dengan kewujudan kartel makanan di negara ini yang kini sudah mula meresap ke dalam kementerian tertentu.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendakwa, menurut sumber yang boleh dipercayai, setiap polisi di kementerian telah dipengaruhi oleh kartel berkenaan.
“Kalau ada aktiviti import makanan mesti akan ada bisnes, sebagai contoh harga lembu, ada yang kata dalam satu kajian harga lembu import ini tidak mahal.
“Pergerakan ekonomi itu dipengaruhi oleh kartel-kartel besar ini supaya kita ikut sahaja apa yang dibuat dan dia terus buat duit macam biasa sahaja.
“Kami harap kerajaan kaji balik jangan ikut pengaruh yang dibawa oleh kartel ini yang membawa kuntungan yang luar biasa kepada mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa satu Kempen Rakyat Tanam Untuk Hidup diwujudkan sebagai langkah persediaan untuk menangani krisis kenaikan harga makanan.
“Rakyat boleh mula tanam sesuatu di rumah sebagai contoh jagung, ubi kayu, ubi keledek, ulam, serai, halia dan bermacam-macam lagi jenis tanaman.
“Kerajaan juga perlu ubah dasar yang hanya menanam pokok hiasan yang tidak memberikan sebarang hasil kepada tanaman yang boleh memberikan hasil,” katanya.
Sementara itu, Penasihat PPIM, Abdul Kareem Said berkata, satu taman komuniti di tanah kosong taman perumahan juga boleh diwujudkan untuk mengatasi isu itu.
“Seperti di United Kingdom mereka ada taman komuniti yang tanam sumber makanan seperti sayur dan buah.
“Melalui taman komuniti ini juga kita juga akan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk taman, pada masa yang sama dapat membantu kos sara hidup masyarakat,” ujarnya lagi.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PPIM BIMBANG KARTEL MAKANAN DALAM KEMENTERIAN
No comments:
Post a Comment