Kuala Lumpur: Talian hayat daripada pengerusi masjid. Itu yang berlaku kepada seorang peniaga atas talian selepas dia diselamatkan daripada menjadi mangsa along apabila lelaki itu sanggup meminjamkan wang untuk melangsaikan pinjamannya.
Keluhuran hati itu diterjemahkan ketika wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Iza, 30-an, buntu selepas diburu along dan meminta bantuan sebuah masjid di Kuala Terengganu untuk mendapatkan wang sebagai bayaran kepada along.
Tanpa disangka, pengerusi masjid berkenaan bersimpati dengan nasib menimpanya dan menawarkan hampir RM10,000 untuk melangsaikan bayaran pinjaman berkenaan sekali gus menyelamatkannya daripada diganggu ceti haram.
Iza berkata, semuanya berlaku selepas dia diperdaya rakan perniagaan yang menggunakan pengenalan dirinya untuk membuat pinjaman along kerana mengalami masalah kewangan.
"Kami sama-sama berniaga berasaskan 'online' sejak beberapa bulan lalu. Saya tidak sangka dia sanggup buat pinjaman menggunakan kad pengenalan saya yang diberikan kononnya untuk urusan perniagaan.
"Saya tahu mengenai pinjaman itu pun selepas dia ajak berjumpa dengan seorang lelaki dan menandatangani satu borang.
"Pada masa itu, saya diyakinkan yang dia akan pastikan pinjaman dilunaskan, namun saya ditipu," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, semalam.
Menurutnya, selepas itu, bermulalah mimpi ngeri dalam hidupnya apabila diganggu along hampir setiap hari termasuk diugut untuk diapa-apakan sekiranya gagal melunaskan bayaran.
Keadaan itu menjadikan hidupnya tertekan, malah dia kini berdepan lebih 10 along yang mahukan wang mereka menyebabkan dia mencuba nasib dengan meminta bantuan masjid berkenaan.
"Memang tak sangka pengerusi itu sanggup bantu mewakili masjid. Dia maklumkan, duit itu sebagai pinjaman dan kalau mahu saya bayar semula, tunggu selepas semuanya selesai nanti," katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, ini adalah kali pertama PPIM menerima kes seumpama itu sejak menguruskan isu along sejak lebih 22 tahun lalu.
Katanya, ia boleh dijadikan contoh terbaik kepada masjid lain di seluruh negara untuk membantu mereka yang dalam kesusahan terutama yang teraniaya seperti yang berlaku kepada Iza.
"Saya difahamkan pengerusi masjid berkenaan tidak mahu usahanya itu diuar-uarkan, cukup jika dapat membantu Iza. PPIM merakamkan penghargaan kepadanya atas kemurnian hati mewakili masjid untuk membantu.
"Semoga ia menjadi contoh kepada masjid lain juga selepas ini," katanya.
Tindakan murni bantu sesama Islam
Kuala Lumpur: Tindakan seorang pengerusi masjid memberikan wang untuk menyelesaikan pinjaman along adalah satu usaha baik dalam membantu sesama umat Islam serta amat digalakkan berdasarkan ayat al-Quran dan hadis.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, ahli jawatankuasa masjid atau pengurusan hal ehwal masjid boleh membantu anak kariah yang terbeban dengan hutang yang diperlukan untuk saraan hidup diri sendiri dan tanggungan.
Bagaimanapun, ia mestilah memenuhi syarat iaitu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada anak kariah yang menyumbang kepada tabung kutipan masjid.
"Ini satu usaha baik untuk membantu sesama umat Islam yang amat digalakkan di dalam Islam," katanya.
Namun, katanya, anak kariah perlu dinasihatkan supaya tidak membiasakan diri berhutang terutama kepada along sekiranya tidak terdesak dan mempunyai pilihan.
"Berhutanglah daripada pihak tidak mengenakan bayaran balik secara riba yang membebankan seperti orang Islam yang berada atau dengan memohon bantuan zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PENGERUSI MASJID SELAMAT MANGSA ALONG
https://www.hmetro.com.my/utama/2022/05/843817/pengerusi-masjid-selamat-mangsa-along
No comments:
Post a Comment