PETALING JAYA - Mangsa penipuan scammer atau Ah Long kini boleh membuat aduan secara terus kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi aplikasi Yakin yang dilancarkan hari ini.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, aplikasi Yakin yang dibangunkan melalui kolaborasi pihaknya dengan Crescent Digital Sdn Bhd berperanan sebagai ‘one stop center’ (pusat sehenti) kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan PPIM.
Katanya, perkhidmatan itu termasuk aduan hal ehwal pengguna dan bantuan mangsa Ah Long atau ceti haram.
“Sepanjang 25 tahun penubuhan PPIM, kami sudah menerima kira-kira 50,000 aduan membabitkan isu pinjaman wang tak berlesen atau Ah Long, jadi dengan adanya aplikasi ini, ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat aduan kepada kami.
“Aduan dibuat orang awam akan dihantar terus kepada PPIM melalui sistem tersebut dan kemudian dilayan jururunding kami untuk bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aplikasi Yakin di sini, hari ini.
Perasmian pelancaran aplikasi itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa.
Nadzim berkata, aplikasi tersebut bukan sahaja boleh digunakan orang ramai untuk membuat aduan kes penipuan atau Ah Long, malah ia dibangunkan untuk membantu pengguna Islam menerapkan gaya kehidupan Muslim.
“Antara ciri disediakan dalam aplikasi tersebut adalah Modul Ibadah iaitu waktu solat, arah kiblat, doa harian, tasbih dan banyak lagi.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung aktiviti PPIM menerusi aplikasi tersebut,” katanya.
Jelasnya, aplikasi tersebut diharap dapat digunakan secara meluas memandangkan syarikat pembangunnya, Crescent Digital Sdn Bhd merancang untuk menambahbaik ciri teknologi itu.
“Syarikat pembangun juga ada merancang untuk memperkenalkan ciri merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammer, tinjauan atau survey, e-dagang dan sebagainya.
“Memandangkan PPIM mempunyai jumlah pengikut media sosial antara terbesar dalam kalangan masyarakat Muslim di negara ini, iaitu lebih daripada 1.5 juta orang, kami berharap aplikasi ini dapat memberi manfaat kepada bukan sahaja kepada pengguna Islam, malah bukan Islam,” katanya. - Getaran, 16 Jun 2022
Artikel oleh: Getaran
APLIKASI YAKIN PPIM PERJUANG KEPERLUAN PENGGUNA, BANTU INDIVIDU TERANIAYA
No comments:
Post a Comment