Wednesday, June 1, 2022

JAKIM PERTAHAN PEMATUHAN HALAL - UTUSAN MALAYSIA - 23/05/2022

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tindakan sewajar­nya untuk melengkapkan siasatan berhubung isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia.

Dalam satu artikel kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff menegaskan, ini termasuk mengesyorkan tindakan sepatutnya untuk mempertahankan prosedur dan pematuhan halal.

Tegasnya, jika terbukti berlakunya pelanggaran prosedur dan pematuhan halal terhadap mana-mana badan atau loji sembelihan berkenaan, Jakim dengan penuh rasa bertanggungjawab dan integriti akan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut beliau, khusus di Australia, Jakim telah meletakkan pegawai Atase Halal di Kedutaan Besar Malaysia di Canberra secara tetap yang bertanggungjawab menyelia dan memantau rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang mendapat kelulusan mengeksport produk ke Malaysia bersama dengan badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.

“Bagaimanapun, semua ke­perluan dan mekanisme yang dinyatakan di atas belum memadai sehinggalah Jakim sendiri menjalankan pengauditan dan penilaian lapangan bagi mengesahkan dan membuat perakuan halal.

“Pengauditan secara bersama dengan auditor Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) saling melengkapi aspek keselamatan, kualiti dan pematuhan halal,” kata beliau.

Integriti

Isu integriti Jakim mula mencetuskan persoalan ramai susulan pendedahan Utusan Malaysia mengenai kesahihan sijil halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.

Operasi premis itu pernah digantung Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana tidak mematuhi protokol ketat Jakim tetapi masih mengeksport daging dengan label halal diragui ke Malaysia.

Isu itu mengakibatkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat membuat laporan integriti Jakim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, hasil penemuan dan dapatan dalam konteks pematuhan halal kemudiannya perlu melalui sebanyak empat kali proses pembentangan dan penilaian iaitu dua peringkat penilaian di peringkat Jakim dan dua peringkat seterusnya diurusetiakan oleh JPV sebelum satu keputusan diberikan.

Jelas beliau, setiap penemuan ketidakakuran semasa audit akan dibentangkan oleh auditor dan dibincangkan secara mendalam untuk mendapatkan keputusan sama ada wajar diberi kelulusan atau tidak diluluskan.

Katanya, keputusan akhir daripada mesyuarat ini adalah penentu bagi memastikan sesuatu permohonan itu boleh disenaraikan di dalam senarai rumah sembelih atau loji pemprosesan luar negara yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging atau hasilan daging ke Malaysia di laman sesawang JPV www.dvs.gov.my.- UTUSAN


Artikel oleh: Utusan Malaysia

JAKIM PERTAHAN PEMATUHAN HALAL

https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2022/05/jakim-pertahan-pematuhan-halal/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL