KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ikan di Semenanjung, sehingga bekalan hasil laut itu semakin berkurangan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, hasil tangkapan dipelopori kartel sudah terlalu lama berlarutan dan berisiko memberi implikasi serius kepada rantaian makanan rakyat di negara ini.
Menurut beliau, isu kekurangan pendaratan ikan yang mula tercetus sejak tahun 2015, membuktikan kerajaan hanya memandang ‘sebelah mata’ permasalahan tersebut dan gagal dalam mengurus tadbir, sehingga mencetuskan harga ikan tidak terkawal.
“Ini kegagalan kita (kerajaan) mengurus tadbir sumber makanan sejak puluhan tahun disebabkan kita biarkan kartel, sindiket, mahupun pegawai yang tidak jujur. Perkara tersebutlah yang terhasil disebabkan perbuatan kita sendiri.
“Memang (wujudnya kartel). Bukan setakat ikan berkurang, malah harganya dijual mahal disebabkan mahu ambil untung lebih. Ada pula nelayan pinjam duit dengan mereka (kartel), selain pengangkutan ikan (orang tengah) juga mereka kuasai. Ini antara bukti kerajaan kita tidak serius,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Terdahulu, Getaran melaporkan kekurangan pendaratan ikan yang berlaku di negara ini, terutama di utara Semenanjung, sehingga menyebabkan harga ikan di pasaran meningkat mendadak dan mencetuskan kebimbangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), bukan isu baharu.
Menurut sumber Jabatan Perikanan, isu tersebut mula tercetus sejak tujuh tahun lalu dan menjadi kebimbangan pihak berkenaan kerana ia semakin memburuk.
Isu itu juga, katanya, bukan hanya disebabkan cuaca tidak menentu seperti didakwa.
“Sebenarnya, isu pendaratan ikan ini sudah pun berlaku sejak tahun 2015 dan apa yang menjadi kebimbangan kita, jumlahnya semakin berkurangan disebabkan hasil tangkapan terlalu besar pada tiap-tiap tahun.
“Kerakusan ini menyebabkan ia berkurangan dengan mendadak, khususnya di laut pantai dan antara faktor utamanya adalah wujud aktiviti penangkapan ikan tidak dilaporkan serta disahkan, iaitu tangkapan secara haram.
“Malah, ada nelayan zon C mengambil kesempatan dengan melakukan penangkapan ikan di zon A dan zon B menyebabkan ia sudah tidak terkawal,” kata sumber berkenaan.
Zon A adalah kawasan tangkapan khusus kepada nelayan pantai, manakala zon B dan zon C, masing-masing untuk nelayan pukat tunda serta nelayan laut dalam.
Berdasarkan laporan daripada jabatan tersebut, sememangnya benar pendaratan ikan semakin berkurangan disebabkan aktiviti penangkapan tidak terkawal, khususnya di laut pantai.
Walaupun jumlah ikan ditangkap di laut pantai menurun pada 2020, iaitu 1,169,201 tan berbanding 1,148,729 tan pada tahun 2015, ia kekal berada di paras 1,000,000 tan dengan Jabatan Perikanan merekodkan 1,195,360 (2016); 1,170,270 (2017); 1,192,722 (2018) dan 1,192,354 pada tahun 2019.
Jumlah penangkapan ikan di laut dalam juga perlu menjadi kebimbangan pelbagai pihak, khususnya kerajaan walaupun jumlahnya menurun pada tahun 2020, iaitu 214,098 tan, berbanding 337,321 tan (2015).
Ditanya berhubung dakwaan tangkapan ikan di zon C dipelopori nelayan asing, sumber berkenaan tidak menolak dakwaan tersebut, namun enggan mendedahkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Mengulas lanjut, selain kerajaan yang bertindak sebagai pentadbir bagi menghapuskan kartel dalam mengawal harga ikan, Nadzim menegaskan, pelbagai pihak, khususnya orang ramai perlu ‘membuka mata’ bahawa kartel mampu bertindak seperti ‘bom jangka’ sekiranya tidak diselesaikan segera.
Jelasnya, PPIM menyakini harga dan pengeluaran ikan dimonopoli kartel menyebabkan isu berkenaan belum bernoktah serta tidak akan pernah selesai, sekiranya permasalahan terbabit tiada tindakan proaktif dan tegas daripada kerajaan.
“Rakyat juga kena faham, hidup ini bukan untuk makan tetapi makan untuk hidup. Ini saya lihat orang sanggup berbelanja berbuka puasa di hotel sehingga RM200. Gila apa, kalau ikutkan makan ini tidak sampai RM10.
“Inilah masalah kita berpunca dari sikap. Semua perlu ubah perkara ini supaya kita prihatin dan sedar pentingnya untuk semua pihak meneliti dari setiap aspek kekurangan sumber makanan negara, selain mengawal sikap membazir.
“Kartel ini jaga orang-orang besar di mana pembekalan ikan mereka yang kawal. Dia (kartel) adalah raja segala-galanya kerana mempunyai pengaruh besar di mana dia mampu menjadi layang-layang yang orang akan ikut mereka,” katanya.
Sementara itu, hasil risikan Getaran mendapati wujud penangkapan haram dipelopori nelayan asing, khususnya dari Vietnam.
Jika perkara itu tidak dipandang serius, ia boleh memberi implikasi besar kepada sumber makanan negara.
Artikel oleh: Getaran
KARTEL KAWAL BEKALAN, HARGA PUNCA IKAN LAUT SEMAKIN 'GHAIB'
https://www.getaran.my/artikel/semasa/24224/kartel-kawal-bekalan-harga-punca-ikan-laut-semakin-ghaib
No comments:
Post a Comment