Putrajaya pada Isnin telah mengarahkan penghentian eksport ayam, yang merupakan sumber protein paling digemari di negara itu, bermula 1 Jun depan bertujuan menangani isu kekurangan bekalan bahan makanan berkenaan yang telah menyebabkan kenaikan harga mendadak di pasaran tempatan.
Malaysia mengeksport kira-kira 3.6 juta ekor ayam sebulan pada ketika ini, dengan kebanyakan daripada jumlah tersebut pergi ke negara jiran Singapura, yang dijangka akan terkesan dengan ketiadaan sumber daging utama mereka itu sehingga situasi bekalan ayam untuk pasaran domestik di Malaysia kembali pulih.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan untuk menghentikan eksport bekalan ayam itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada Isnin atas dasar mengutamakan keperluan rakyat.
"Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini, termasuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
"Tindakan ini diambil kerana keutamaan kerajaan adalah rakyat sendiri," kata Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada petang Isnin.
Selain menghentikan eksport, Perdana Menteri itu berkata kerajaan Malaysia juga mengambil beberapa langkah lain untuk menangani isu kekurangan bekalan ayam termasuk memansuhkan Permit AP (Approved Permit) bagi meningkatkan pembabitan pengimport untuk menyediakan bekalan, serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.
Dari segi penguatkuasaan pula, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Persaingan Malaysia turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan adanya kartel dalam kalangan syarikat besar yang mengawal harga serta bekalan ayam tempatan.
Pemantauan serta pemeriksaan akan turut dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat aktiviti menyorok bekalan ayam dan sabotaj bekalan, kata Ismail Sabri.
"Peguam Negara juga telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam. Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta," tegas beliau.
Seorang jurucakap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap dengan media memberitahu bahawa bilangan 3.6 juta ekor ayam disebut Ismail Sabri adalah jumlah purata eksport bulanan negara semasa, dan sebahagian besar daripada jumlah itu pergi ke pasaran di Singapura.
Malaysia mula dilanda krisis bekalan ayam mentah sejak beberapa hari yang lalu dan menyebabkan permintaan untuk produk tersebut melambung tinggi.
Menurut MAFI dalam satu kenyataan pada Ahad, terdapat ladang-ladang ayam yang menghadapi masalah tumbesaran ayam yang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk keadaan cuaca panas yang melampau, kualiti dedak makanan ayam dan gangguan penyakit.
Susulan daripada pengumuman Malaysia itu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan kenyataan lewat Isnin menasihati pengguna di negara itu untuk membeli ayam hanya mengikut jumlah diperlukan mereka serta mempertimbangkan jenis makanan berasaskan daging lain.
Pihak berkuasa republik itu berkata mereka juga bekerjasama dengan pemegang taruh termasuk syarikat import untuk mengurangkan impak terhadap bekalan ayam, termasuk meningkatkan import ayam beku daripada sumber alternatif lain.
"Kira-kira 34 peratus daripada ayam diimport Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia, di mana hampir kesemuanya diimport sebagai ayam hidup sebelum disembelih dan dibekukan di Singapura.
"SFA sedang mengikuti secara rapat situasi import ayam dari Malaysia dan sedang bekerjasama dengan pemegang taruh, seperti pengimport untuk mengurangkan impak terhadap bekalan ayam kita. Sebagai contoh, mereka akan mengaktifkan rantaian bekalan mereka untuk menaikkan jumlah import ayam sejuk dari sumber alternatif, meningkatkan import ayam beku dari pembekal selain Malaysia, atau mengambil bekalan daripada simpanan ayam mereka," kata agensi tersebut.
Bekalan kurang
Tinjauan dibuat oleh BenarNews di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakannya telah kehabisan bekalan ayam segar, menyebabkan peniaga terpaksa menutup kedai sementara sebahagian lagi pula bertukar kepada menjual ayam kampung dan 'ayam pencen' (ayam telur yang telah tua).
Seorang peniaga ayam daging di Klang yang ingin dikenali sebagai Rahman berkata mereka mengharapkan supaya kerajaan dapat mengambil tindakan mengatasi masalah berkenaan.
"Ada peniaga yang terpaksa tutup kedai buat sementara kerana tidak dapat bekalan ayam daging. Ayam kampung dan ayam pencen adalah dapat sikit tapi kurang juga.
"Saya harap kerajaan tolonglah buat sesuatu sebab ayam sudah jadi menu utama harian kita. Nak makan ikan, ikan mahal. Saya terpaksa cari sana sini untuk mendapatkan bekalan. Kalau dapat pun tidak banyak dan terhad, kurang separuh daripada biasa," katanya kepada BenarNews.
Pelanggan Zizryn Mohamad, 40 dari Kajang menyuarakan rasa terkejut dengan apa yang berlaku, dan menyatakan bahawa dirinya terpaksa akur dengan syarat terbaru dikenakan penjual yang mengehadkan seorang pelanggan untuk membeli hanya satu ekor ayam.
"Terkejut juga bila berlaku situasi macam ni. Beli ayam pun kena ada had. Mujur saya dapat beli seekor ayam daging siap proses. Saya bayar RM26 (AS$5.92) untuk seekor ayam seberat 1.6kg termasuk upah proses.
"Nak makan ikan, mahal. Jadi bayangkan kalau ayam pun mahal. Saya tidak tahu hendak cakap apa. Mungkin dasar kerajaan perlu jelas untuk tangani masalah ini."
Langkah segera bantu rakyat
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan susulan pengumuman Ismail Sabri menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam buat sementara waktu.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan kerajaan itu tepat dan amat diperlukan rakyat dalam situasi sekarang.
"Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka," kata beliau.
Kata beliau, ayam adalah amat penting kepada kebanyakan rakyat Malaysia kerana ia merupakan sumber protein paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan lembu.
Nadzim berkata jika dibandingkan harga ayam yang telah ditetapkan pada RM8.90 (AS$2.03) satu kilo, harga ikan Kembung sekilo boleh mencecah RM14 sekilo (AS$3.19), namun jumlah ikan sebanyak itu tidak mampu menampung keperluan satu keluarga.
Sementara itu, pakar geostrategi Azmi Hassan berkata ketiadaan bekalan ayam yang berlaku berkemungkinan adalah sesuatu yang disengajakan pihak tertentu untuk memaksa kerajaan menaikkan harga siling jualan ayam di Malaysia.
Kata beliau, tindakan menghalang eksport ayam itu mungkin mampu memberikan tekanan kepada mereka yang bertanggungjawab di sebalik kekurangan bekalan itu.
"Halangan eksport ini mungkin dapat memberikan tekanan kepada mereka yang sengaja mengehadkan bekalan untuk tempatan," kata beliau.
Azmi, yang merupakan felo kanan Akademi Nusantara Untuk Kajian Strategik, berkata bahawa sesetengah pihak seperti penternak melihat harga siling yang ditetapkan kerajaan tidak padan dengan kos mereka.
Artikel oleh: Benar News
MALAYSIA KUATKUASA HENTIKAN EKSPORT AYAM MULAI 1 JUN
https://www.benarnews.org/malay/berita/my-ayam-eksport-220523-05232022134743.html
No comments:
Post a Comment