Putrajaya pada Isnin telah mengarahkan penghentian eksport
ayam, yang merupakan sumber protein paling digemari di negara itu, bermula 1
Jun depan bertujuan menangani isu kekurangan bekalan bahan makanan berkenaan
yang telah menyebabkan kenaikan harga mendadak di pasaran tempatan.
Malaysia mengeksport kira-kira 3.6 juta ekor ayam sebulan
pada ketika ini, dengan kebanyakan daripada jumlah tersebut pergi ke negara
jiran Singapura, yang dijangka akan terkesan dengan ketiadaan sumber daging
utama mereka itu sehingga situasi bekalan ayam untuk pasaran domestik di
Malaysia kembali pulih.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata
keputusan untuk menghentikan eksport bekalan ayam itu dibuat oleh Jemaah
Menteri pada Isnin atas dasar mengutamakan keperluan rakyat.
"Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari
ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada
masa ini, termasuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan
bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
"Tindakan ini diambil kerana keutamaan kerajaan adalah
rakyat sendiri," kata Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan
Pejabat Perdana Menteri pada petang Isnin.
Selain menghentikan eksport, Perdana Menteri itu berkata
kerajaan Malaysia juga mengambil beberapa langkah lain untuk menangani isu
kekurangan bekalan ayam termasuk memansuhkan Permit AP (Approved Permit) bagi
meningkatkan pembabitan pengimport untuk menyediakan bekalan, serta menambah
dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara bagi meningkatkan
pengeluaran bekalan ayam.
Dari segi penguatkuasaan pula, pihak berkuasa termasuk
Suruhanjaya Persaingan Malaysia turut menjalankan siasatan terhadap dakwaan
adanya kartel dalam kalangan syarikat besar yang mengawal harga serta bekalan
ayam tempatan.
Pemantauan serta pemeriksaan akan turut dijalankan bagi
mengenalpasti sekiranya terdapat aktiviti menyorok bekalan ayam dan sabotaj
bekalan, kata Ismail Sabri.
"Peguam Negara juga telah menasihatkan Kabinet untuk
mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)
jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj
terhadap bekalan ayam. Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen
mereka juga boleh dibatalkan serta merta," tegas beliau.
Seorang jurucakap Kementerian Pertanian dan Industri
Makanan yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk
bercakap dengan media memberitahu bahawa bilangan 3.6 juta ekor ayam disebut
Ismail Sabri adalah jumlah purata eksport bulanan negara semasa, dan sebahagian
besar daripada jumlah itu pergi ke pasaran di Singapura.
Malaysia mula dilanda krisis bekalan ayam mentah sejak
beberapa hari yang lalu dan menyebabkan permintaan untuk produk tersebut melambung
tinggi.
Menurut MAFI dalam satu kenyataan pada Ahad, terdapat
ladang-ladang ayam yang menghadapi masalah tumbesaran ayam yang disebabkan oleh
beberapa faktor termasuk keadaan cuaca panas yang melampau, kualiti dedak
makanan ayam dan gangguan penyakit.
Susulan daripada pengumuman Malaysia itu, Agensi Makanan
Singapura (SFA) mengeluarkan kenyataan lewat Isnin menasihati pengguna di
negara itu untuk membeli ayam hanya mengikut jumlah diperlukan mereka serta
mempertimbangkan jenis makanan berasaskan daging lain.
Pihak berkuasa republik itu berkata mereka juga bekerjasama
dengan pemegang taruh termasuk syarikat import untuk mengurangkan impak
terhadap bekalan ayam, termasuk meningkatkan import ayam beku daripada sumber
alternatif lain.
"Kira-kira 34 peratus daripada ayam diimport Singapura
pada 2021 adalah dari Malaysia, di mana hampir kesemuanya diimport sebagai ayam
hidup sebelum disembelih dan dibekukan di Singapura.
"SFA sedang mengikuti secara rapat situasi import ayam
dari Malaysia dan sedang bekerjasama dengan pemegang taruh, seperti pengimport
untuk mengurangkan impak terhadap bekalan ayam kita. Sebagai contoh, mereka
akan mengaktifkan rantaian bekalan mereka untuk menaikkan jumlah import ayam
sejuk dari sumber alternatif, meningkatkan import ayam beku dari pembekal
selain Malaysia, atau mengambil bekalan daripada simpanan ayam mereka,"
kata agensi tersebut.
Bekalan kurang
Tinjauan dibuat oleh BenarNews di beberapa lokasi sekitar
Lembah Klang mendapati kebanyakannya telah kehabisan bekalan ayam segar, menyebabkan
peniaga terpaksa menutup kedai sementara sebahagian lagi pula bertukar kepada
menjual ayam kampung dan 'ayam pencen' (ayam telur yang telah tua).
Seorang peniaga ayam daging di Klang yang ingin dikenali
sebagai Rahman berkata mereka mengharapkan supaya kerajaan dapat mengambil
tindakan mengatasi masalah berkenaan.
"Ada peniaga yang terpaksa tutup kedai buat sementara
kerana tidak dapat bekalan ayam daging. Ayam kampung dan ayam pencen adalah
dapat sikit tapi kurang juga.
"Saya harap kerajaan tolonglah buat sesuatu sebab ayam
sudah jadi menu utama harian kita. Nak makan ikan, ikan mahal. Saya terpaksa
cari sana sini untuk mendapatkan bekalan. Kalau dapat pun tidak banyak dan
terhad, kurang separuh daripada biasa," katanya kepada BenarNews.
Pelanggan Zizryn Mohamad, 40 dari Kajang menyuarakan rasa
terkejut dengan apa yang berlaku, dan menyatakan bahawa dirinya terpaksa akur
dengan syarat terbaru dikenakan penjual yang mengehadkan seorang pelanggan
untuk membeli hanya satu ekor ayam.
"Terkejut juga bila berlaku situasi macam ni. Beli
ayam pun kena ada had. Mujur saya dapat beli seekor ayam daging siap proses.
Saya bayar RM26 (AS$5.92) untuk seekor ayam seberat 1.6kg termasuk upah proses.
"Nak makan ikan, mahal. Jadi bayangkan kalau ayam pun
mahal. Saya tidak tahu hendak cakap apa. Mungkin dasar kerajaan perlu jelas
untuk tangani masalah ini."
Langkah segera bantu rakyat
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
dalam satu kenyataan susulan pengumuman Ismail Sabri menyatakan sokongan
terhadap keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam buat sementara waktu.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan kerajaan
itu tepat dan amat diperlukan rakyat dalam situasi sekarang.
"Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada
kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk
meneruskan kehidupan mereka," kata beliau.
Kata beliau, ayam adalah amat penting kepada kebanyakan
rakyat Malaysia kerana ia merupakan sumber protein paling murah berbanding
produk lain seperti ikan dan lembu.
Nadzim berkata jika dibandingkan harga ayam yang telah
ditetapkan pada RM8.90 (AS$2.03) satu kilo, harga ikan Kembung sekilo boleh
mencecah RM14 sekilo (AS$3.19), namun jumlah ikan sebanyak itu tidak mampu
menampung keperluan satu keluarga.
Sementara itu, pakar geostrategi Azmi Hassan berkata
ketiadaan bekalan ayam yang berlaku berkemungkinan adalah sesuatu yang
disengajakan pihak tertentu untuk memaksa kerajaan menaikkan harga siling
jualan ayam di Malaysia.
Kata beliau, tindakan menghalang eksport ayam itu mungkin
mampu memberikan tekanan kepada mereka yang bertanggungjawab di sebalik
kekurangan bekalan itu.
"Halangan eksport ini mungkin dapat memberikan tekanan
kepada mereka yang sengaja mengehadkan bekalan untuk tempatan," kata beliau.
Azmi, yang merupakan felo kanan Akademi Nusantara Untuk
Kajian Strategik, berkata bahawa sesetengah pihak seperti penternak melihat
harga siling yang ditetapkan kerajaan tidak padan dengan kos mereka.
Artikel oleh: Benar News
MALAYSIA KUATKUASA HENTIKAN EKSPORT AYAM MULAI 1 JUN
https://www.benarnews.org/malay/berita/my-ayam-eksport-220523-05232022134743.html