Showing posts with label WACANAKINI. Show all posts
Showing posts with label WACANAKINI. Show all posts

Wednesday, June 1, 2022

PECAHKAN MONOPOLI DEDAK AYAM, SIASAT DALANG KARTEL - TOQQI - WACANAKINI - 22/05/2022

 

KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu membuka pasaran dedak ayam kepada orang ramai bagi memecahkan monopoli kartel yang selama ini mengawal harga ayam.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan @Toqqi berkata, buka ruang seluas-luasnya kepada pengusaha tempatan untuk membekalkan makanan ayam.

Katanya, ketika ini hanya pihak tertentu sahaja yang menjual dedak ayam menyebabkan wujud kartel dan mereka sebagai penentu turun naik kos.

“Ramai pengusaha ayam tertekan kerana harga dedak ayam naik lebih 100 peratus menyebabkan mereka tidak memiliki pilihan selain menaikkan harga.

“Ramai pengusaha dedak ayam yang mahu menjualnya dalam skala besar tetapi birokrasi yang ditetapkan kerajaan menyebabkan hanya beberapa pihak terpilih sahaja yang dibenarkan menjual dedak.

“Kita buat KLCC tinggi-tinggi tetapi lupa buat ladang ayam, ladang lembu, dedak makanan itu punca yang kita sedang alami ketika ini.

“Perlu ada kajian, siasatan untuk tangani segera isu ini, peliklah harga ayam di Turki RM5 seekor bukan sekilogram,” atanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilifitri Parti Berjasa, di Hotel Tamu di sini hari ini

Turut hadir Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Ustaz Zamani Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Marzuki Yahya dan Bekas Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Dalam pada itu, Pengasas Akademi BigBoys, Rizwan Ramalan juga mencadangkan kerajaan lepaskan kawalan harga dan membiarkan pasaran ayam diniagakan secara terbuka.

“Biarkan harga ayam ditentukan pasaran di mana harga akan naik turun mengikut teori permintaan dan penawaran.

“Keadaan boleh timbulkan rasa panik awam dan huru hara ekoran kenaikan harga barang kini haruslah segera diatasi katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri berikutan pengumumannya untuk menghapuskan permit import bahan berasaskan makanan baru-baru ini dan berkata ianya adalah satu inisiatif yang baik .

“Saya cadangkan kerajaan ambil short-term action untuk catu pembelian sebelum krisis ini menjadi semakin teruk dan parah.

“Langkah seterusnya adalah perancangan jangka panjang untuk membangun sektor pertanian yang berkaitan dengan input pengeluaran makanan,” katanya.

Artikel oleh: WacanaKini

PECAHKAN MONOPOLI DEDAK AYAM, SIASAT DALANG KARTEL - TOQQI

https://www.wacanakini.com/2022/05/pecahkan-monopoli-dedak-ayam-siasat-dalang-kartel-toqqi/

PEKEMAS, PPIM DEDAH DALANG KARTEL DAGING - WACANAKINI - 18/05/2022

 

KUALA LUMPUR : Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan dalang disebalik isu pengedaran dan penyembelihan daging tidak patuh syariah dalam pasaran.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS) Faizan Mohd Nor mendedahkan ada pegawai atasan jabatan yang menjaga hal ehwal agama dipercayai terbabit dalam isu kartel ini berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi pihaknya.

“Kami ada menjalankan siasatan dan mendapati rangkaian kartel pembekalan daging halal berpusat di Australia ke Malaysia oleh pihak yang sama.

“Saksi turut mendakwa pihak penyelia yang datang melawat ke pusat penyembelihan Thomas Food Industries Lobethal Australia (TFI) adalah dari Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc (SICHMA) Australia bukan dari Malaysia, selepas bukti penyembelihan tak halal didedahkan.

“Malah saksi diugut diancam keselamatannya selepas pendedahan dibuat. Kenapa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak hantar auditor dari Malaysia? Kenapa hanya bergantung laporannya dari pihak yang disyaki membekalkan daging tidak halal ke negara ini? Kenapa tidak gantung sahaja SICHMA sementara siasatan selesai?” katanya pada sidang media di ibu negara di sini hari ini.

Baru- baru ini seorang saksi kepada perlakuan penyiksaan binatang oleh TFI diiktiraf JAKIM sebelum ia disembelih, mendakwa dia diugut, ditekan dan diberhentikan kerja selepas pendedahan itu.

JAKIM sebelum ini telah mengiktiraf SICHMA sebagai badan pensijilan halal luar negara yang memantau perlaksanaan TFI dalam menyembelih dan mengedar daging halal ke Malaysia.

Lelaki berbangsa Australia itu turut mendedahkan video miliknya yang menunjukkan keadaan pusat pengendalian penyembelihan yang tidak patuh syariat Islam dan ada binatang yang lemas dalam limpahan darah sebelum ia disembelih.

Beliau mendakwa pernah bertugas sebagai penyembelih di badan itu muncul di sidang media dengan memakai topeng muka.

Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang turut yakin terdapat unsur-unsur jelas perlanggaran protokol penyembelihan sebagaimana telah digariskan oleh SOP halal JAKIM.

Terdahulu, JAKIM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung kelulusan yang diberikan kepada loji sembelihan TFI Australia berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Mohd Norlizam Mohd Noor dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu berkuat kuasa sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperolehi.

Kenyataan itu berkata, ia susulan kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan itu bagi mengeksport daging halal ke Malaysia.


Artikel oleh: WacanaKini

PEKEMAS, PPIM DEDAH DALANG KARTEL DAGING

https://www.wacanakini.com/2022/05/perkemas-ppim-dedah-dalang-kartel-daging/

Friday, May 27, 2022

SICHMA DIBERI SURAT TUNJUK SEBAB, KELULUSAN SEMBELIHAN SYARIKAT DIIKTIRAF HALAL MSIA' DI AUSTRALIA DIGANTUNG - WACANAKINI - 15/05/2022

 

PUTRAJAYA: Badan pensijilan halal bertanggungjawab ke atas loji sembelihan, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (Sichma) diberi surat tunjuk sebab berhubung dakwaan penyembelihan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) halal Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan berkata, selain akan diberi surat tunjuk sebab, Sichma turut berdepan pembatalan status badan pensijilan halal diiktiraf JAKIM jika dakwaan itu didapati benar.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihaknya turut menggantung kelulusan sembelihan syarikat diiktiraf halal Malaysia di Australia, Thomas Foods International, serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ia susulan sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), JAKIM dan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei 2022.

“JAKIM telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia.

“JAKIM, juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan bersama antara Jakim dan JPV, semalam.

Ia berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, di sini.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pekemas dan Sahabat 99, dilaporkan mendedahkan pembongkaran penyembelihan oleh sebuah syarikat di Australia, dengan kelulusan Badan Induk Halal JAKIM membabitkan perlanggaran SOP berdasarkan bukti video, gambar serta diperkukuhkan saksi yang juga pekerja sembelihan di syarikat itu.

Sementara it, Hakimah menegaskan JAKIM dan JPV memandang serius dakwaan itu berkata prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia perlu melalui prosedur ketat dan terperinci sebelum melalui proses pembentangan serta penilaian sebanyak empat kali untuk diluluskan.

“Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai terlatih JPV dan JAKIM berdasarkan beberapa piawaian yang telah ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk,” katanya.


Artikel oleh: WacanaKini

SICHMA DIBERI SURAT TUNJUK SEBAB, KELULUSAN SEMBELIHAN SYARIKAT DIIKTIRAF HALAL MSIA' DI AUSTRALIA DIGANTUNG

https://www.wacanakini.com/2022/05/sichma-diberi-surat-tunjuk-sebab-kelulusan-sembelihan-sarikat-diiktiraf-halal-msia-di-australia-digantung/

Tuesday, May 17, 2022

SAKSI DEDAH PUSAT SEMBELIHAN TIDAK PATUH SYARIAT DIUGUT, DIBUANG KERJA - WACANAKINI - 10/05/2022

KUALA LUMPUR : Saksi kepada perlakuan penyiksaan binatang oleh badan diiktiraf JAKIM sebelum ia disembelih, mendakwa dia diugut, ditekan dan diberhentikan kerja selepas pendedahan itu.

Pusat penyembelihan itu adalah Thomas Food Industries Lobethal Australia (TFI) adalah sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc (SICHMA).

Lelaki berbangsa Australia itu turut mendedahkan video miliknya yang menunjukkan keadaan pusat pengendalian penyembelihan yang tidak patuh syariat Islam dan ada binatang yang lemas dalam limpahan darah sebelum ia disembelih.

Beliau mendakwa pernah bertugas sebagai penyembelih di badan itu muncul di sidang media dengan memakai topeng muka.

“Saya menjelaskan ini kerana tanggungjawab kepada orang Islam yang lain, tak nak biarkan kita termakan daging yang tidak halal di sisi Islam.

“Ada anjing yang berada di sana menggigit dan mencederakan binatang sembelihan, ada juga pekerja yang mencederakan binatang lain secara teruk.

“Syarikat itu sembelih kambing biri-biri menggunakan mesin untuk menjimatkan kos dan membekalkan 45 peratus daging berkenaan ke Malaysia, ini adalah membimbangkan,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS), Faizan Mohd Nor di sini pagi ini.

Isu ini bermula dengan dakwaan seorang penulis di internet pada 1 April 2022 yang mendedahkan mengenai ketidakupayaan Thomas Foods Industries dalam membekalkan daging kepada orang Islam di Malaysia, bertajuk JAKIM Still Turning a Blind Eye to Halal Entegrity Issues.

JAKIM sebelum ini mengeluarkan kenyataan media mendakwa telah mendapatkan penjelasan SICHMA dan telah mendapat maklumbalas Pegawai Atase Halal JAKIM di Canberra yang telah menjalankan audit berkala di sana mendakwa mereka mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia.

SICHMA telah membuat kenyataan akhbar pada 12 April 2022 memberi penjelasan serta menafikan dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Datuk Nadzim memberitahu JAKIM perlu ada sistem yang jelas bagi menyelematkan pengguna daripada dipergunakan.

“PPIM terima aduan daging tak halal pun masuk ke negara ini.

“Tapi isu ini perlu ada penyelesaian segera, tak masuk akal lah kilang tak bersih macam tu boleh diterima dalam audit” katanya.

Sidang media berkaitan isu berkenaan.

Artikel oleh: WacanaKini

SAKSI DEDAH PUSAT SEMBELIHAN TIDAK PATUH SYARIAT DIUGUT, DIBUANG KERJA

https://www.wacanakini.com/2022/05/saksi-dedah-pusat-sembelihan-tidak-patuh-syariat-diugut-dibuang-kerja/

Tuesday, May 10, 2022

DAHULU PENGURUS, SEKARANG GELANDANGAN - KISAH PENGHUNI PTGKL - WACANAKINI - 04/05/2022

 

KUALA LUMPUR: Tiada siapa yang boleh tahu hitam putih hidup kita, hari ini kita ada segala-galanya tetapi esok belum tentu ia kekal milik kita.

Tiada yang kekal melainkan Tuhan Yang Esa, segalanya pinjaman dan bersifat sementara dan tiada apa mampu menghalang takdir apabila ia sudah tersurat untuk kita.

Pandemik yang mengancam negara dan dunia mengajar kita nilai kehidupan boleh berubah serta merta, tidak boleh mendabik dada kerana jutaan rakyat menerima nasib sama.

Begitulah episod duka kehidupan Mohd Lutfi Akmal Zalkuplee, 36, dari Kuala Selangor, dahulu dirinya bekerja sebagai Pengurus Publisiti di Ampang Park, tinggal di kondominium mewah dan ada segalanya.

Kini dia hidup sebagai gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) terletak di Jalan Pahang.

Dia hilang segala-galanya selepas hilang kerja sementelah pusat beli belah terbabit ditutup pada 2017.

Hidupnya pula sebatang kara, lahir sebagai anak tunggal tanpa sesiapa sejak kedua ibu bapanya meninggal dunia pada usianya 20 tahun.

“Saya tiada sesiapa, tiada siapa yang ambil tahu diri ini setelah saya jatuh miskin, tiada rumah, tiada harta.

“Selepas Ampang Park ditutup, saya buat pilihan yang salah terlibat sehingga saya muflis hilang segala-galanya, rakan-rakan keluarga menjauhkan diri.

“Benar kata orang kita hanya diingati jika kita ada sesuatu, jika kita tiada apa-apa tiada siapa sudi mengingati malah menjauhkan diri kerana bimbang kita hendak minta apa-apa.

“Ada yang tutup pintu rumah, dan macam-macam sudah saya hadapi. Jadi yang terbaiknya saya bawa diri, di sini saya diterima oleh penghuni lain yang juga tiada sesiapa peduli mereka,” katanya kepada Wacanakini.com.

Bangunan tiga tingkat yang terletak di Jalan Pahang itu mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan yang mampu menampung 250 orang, bilik mandi, tandas, dobi, surau, bilik kaunseling, bilik kesihatan dan tempat simpanan barang.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Februari 2016, pusat ini dianggap syurga bagi mereka yang memerlukan.

Pusat Transit tersebut merupakan hasil inisiatif tanggungjawab sosial Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Bangunan yang ditubuhkan secara CSR ini merupakan ONE STOP CENTRE bagi golongan gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur.

Pembinaan pusat itu susulan tinjauan Najib terhadap keadaan gelandangan di ibu kota pada Julai 2014.

Terdapat sebuah dewan makan yang boleh memuatkan 100 orang penghuni dalam satu masa. Sumbangan makanan harian adalah daripada NGO, badan korporat dan orang perseorangan yang akan diselaraskan oleh operator PTGKL.


Artikel oleh: WacanaKini

DAHULU PENGURUS, SEKARANG GELANDANGAN - KISAH PENGHUNI PTGKL

https://www.wacanakini.com/2022/05/dahulu-pengurus-sekarang-gelandangan-kisah-penghuni-ptgkl/

IOJ RAI SATU SYAWAL BERSAMA GELANDANGAN KL - WACANAKINI - 03/05/2022

 

KUALA LUMPUR : Saat umat Islam sedang bergembira bersama keluarga dan kenalan pada pagi Syawal, tanpa kita sedar ada segelintir yang sedang berduka, mengenang diri tidak diingati.

Ada anak perantauan yang beribu batu jauh dari kampung halaman, ada yang menahan rindu dan harapan di sebalik tirai penjara manakala ada yang tiada rumah, tiada keluarga yang digelar gelandangan.

Mereka yang kurang bernasib baik juga perlu diingati sebagai rakyat negara ini, samada besar atau kecil sumbangan mereka tetap bermakna.

Syawal pertama tahun ini penulis berpeluang untuk bersama Institut Onn Jaafar menerusi program Jom Raya meraikan 40 penghuni Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Sejurus takbir raya berakhir, para penghuni di jemput merasai juadah Raya seperti nasi impit, kuah kacang, bihun goreng dan kek coklat.

Pengarah IOJ, Charles Mohan berkata, selepas dua tahun berada di fasa pandemik dengan SOP tidak boleh menerima kunjungan, pusat ini kembali ceria meraikan 1 Syawal.

Pengarah IOJ, Charles Mohan

“Tahun ini lebih bermakna, para sukarelawan IOJ boleh meraikan bersama gelandangan.

“Usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mewujudkan pusat transit ini amat baik, bukan tempat berlindung sementara tetapi juga mampu membantu gelandangan agar tidak terjebak dengan kegiatan negatif yang lain.

“Mereka di sini dididik dengan nilai hidup dan moral agar satu hari nanti mereka mampu berdikari dan mendapat kerja untuk keluar dari kemiskinan,” katanya kepada Wacanakini.com.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan One Academy tiba seawal jam 8 pagi untuk menghias dan mengatur semua juadah Aidilfitri yang kemudiannya diagihkan kepada tetamu di sini.

Wakil One Academy, Sivadharmi berkata beliau membawa beberapa pelajar untuk meraikan bersama gelandangan agar mereka belajar sesuatu yang mulia untuk masyarakat.

“Kita dedahkan suasana ini bersama pelajar supaya terbit rasa insaf di jiwa mereka menyedari erti dan tujuan hidup untuk memberi manfaat kepada yang lain,” katanya.

Pelajar dari One Academy bersama Institut Onn Jaafar meraikan bersama gelandangan di Pusat Transit Gelandangan KL.

Artikel oleh: WacanaKini

IOJ RAI SATU SYAWAL BERSAMA GELANDANGAN KL

https://www.wacanakini.com/2022/05/ioj-rai-satu-syawal-bersama-gelandangan-kl/

DICERAI LEBIH SAKIT, BERBANDING KANSER - WACANAKINI - 01/05/2022

 

KAMPUNG CHANGKAT : Cinta diuji ketika susah dan sakit, itulah realiti walaupun pahit.

Netizen kagum melihat keikhlasan cinta artis era 80 an iaitu Edika Yusof yang sanggup menerima dan menemani perjalanan hidup bersama isterinya yang lumpuh sejak 16 tahun lalu.

Edika dikurniakan wajah yang tampan tetapi diuji isteri serba kekurangan, namun tidak berkurang sedikitpun kasih sayangnya.

Malangnya, bukan semua orang seperti Edika dan bertuah seperti isterinya.

Seorang bekas pemandu pelancong, Rika Agusmanto, 37, yang dahulunya cantik sempurna kini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di kerusi roda.

Perkahwinan yang dibina pada tahun 2015 akhirnya terlerai sehari sebelum Ramadan lalu setelah empat tahun bersama Rika berjuang melawan kanser darah.

Rika redha menerima takdir insan dicintainya berlalu pergi bersama cinta baharu yang disulam tatkala Rika tak berupaya menjadi isteri.

“Dicerai lebih sakit berbanding menanggung kanser tetapi inilah takdirnya untuk diri saya.

“Dahulu saya disayangi kerana sempurna, kini saya dibuang kerana tidak memiliki apa-apa.

“Saya tidak boleh melawan sesuatu yang sudah ditetapkanNya, saya perlu kuat selagi hayat dikandung badan,” katanya yang menderita kanser sejak didiagnosis empat tahun lalu.

Rika menetap bersama ibu dan anak-anak saudaranya di Kampung Changkat, Gombak.

Walau tiada wakil rakyat turun padang melihat keadaannya, tetapi Rika bersyukur kerana menerima sumbangan zakat dan pelbagai bantuan lain daripada orang ramai termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam kunjungan bersama media ke rumahnya, PPIM turut menyumbangkan pek makanan Infaq Ramadan kepada Rika.

Wanita cekal itu fasih berbahasa Mandarin, English selain bahasa ibunda bahasa Melayu dan seringkali mengajar bahasa Mandarin kepada jiran tetanga.

Dalam pada itu, ibu kepada Rika iaitu Netty Shahril meluahkan keadaan hidup mereka bukanlah senang kerana masing-masing tidak mempunyai pasangan sebagai sumber sokongan kewangan.

“Bukan mudah, segalanya saya perlu usahakan sendiri demi membantu nasib anak saya, saya berniaga pasar pagi dan malam ada kalanya untung begitulah sebaliknya.

“Namun hidup perlu diteruskan kerana Tuhan kurniakan sepasang mata di hadapan bukan di belakang kepala, kita tidak tahu berapa banyak masa yang ada di dunia ini tetapi meneruskan kehidupan itu adalah satu-satu jalan yang ada dan bukan pilihan,” katanya.

Artikel oleh: WacanaKini

DICERAI LEBIH SAKIT, BERBANDING KANSER

https://www.wacanakini.com/2022/05/dicerai-lebih-sakit-berbanding-kanser/

Monday, May 9, 2022

DIUJI KERANA TUHAN SAYANG - WACANAKINI - 01/05/2022

KAMPUNG CHANGKAT : Saat diri diuji, saat diri ditimpa musibah, bukan mudah untuk seseorang mengatakan ujian ini kerana kita terpilih melaluinya, kerana Tuhan sayang kita.

Bekas pembuat teh tarik, Salbiah Mustafa, 54, berkongsi pengalamaan saat diuji dengan suaminya, Sujari Rashidi, 53 yang tiba-tiba diserang stoke pada tahun 2018 ia bukanlah mudah.

“Kami berdua pencari nafkah untuk dua anak untuk dibesarkan. Saya buat teh, manakala suami pula kerja buruh.

“Tiba-tiba suami rebah di tempat kerja dan disahkan lumpuh satu badan.

“Saya tidak boleh kerja untuk menguruskan makan minumnya kerana keadaannya begitu.

“Saya tanya Tuhan kenapa aku diuji, macam mana aku hendak cari makan?, namun sebenarnya jangan tanya Allah kenapa kerana Dia ada sebab yang hanya Dia yang tahu, dan semestinya ia terbaik untuk kita,” katanya sebak kepada Wacanakini.com.

Tambah Salbiah, “sebenarnya Tuhan uji kerana sayang, Dia mahu kita dekat denganNya mungkin kerana kita jauh sebelum ini, kita lupa ingat padaNya saat menyuap rezeki ke mulut.

“Dan jika setiap kesusahan dan air mata yang mengalir ini keranaNya, saya rasa tiada apa-apa lagi yang saya mahukan kecuali rasa syukur atas ujianNya.

“Teringat kisah Nabi Ayyub saat diuji sakit, dia tidak berdoa untuk disembuhkan sakitnya tetapi dia cuma berdoa agar mendapat kasih sayang Tuhan atas setiap ujian dilaluinya,” katanya.

Jelas Salbiah walaupun suaminya jatuh sakit, namun Allah permudahkan dengan anak sulungnya yang baharu sahaja bekerja ketika itu.

“Saya bersyukur kerana kemudahan datang bersama, ada bantuan dari zakat dan lain-lain.

“Jadi jangan putus asa, bersangka baik dengan setiap perjalanan yang diaturNya pasti kita temui sinar ibarat cahaya di hujung terowong gelap,” katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Media menyampaikan sumbangan pek makanan Infaq Ramadan di kediamannya di Kampung Changkat.

Artikel oleh: Wacanakini

DIUJI KERANA TUHAN SAYANG

https://www.wacanakini.com/2022/05/diuji-kerana-tuhan-sayang/

Friday, April 15, 2022

OTAI INGATKAN PPZ TAK MEMBAZIR - WACANAKINI - 14/04/2022

 

KUALA LUMPUR : Berpesan-pesan kepada kebaikan sebagaimana dituntut agama, diingatkan semula oleh Presiden OTAi Group Malaysia, Dr Suhaimi Hj Abas kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) agar memanfaatkan sepenuhnya kutipan zakat yang diamanahkan.

Jelas beliau yang ada dimaklumkan bahawa PPZ sebuah negeri ada memaklumkan kepada beliau kutipan Zakat RM204 juta setahun dan RM40 juta diperuntukan untuk memberi latihan kepada asnaf dan fakir miskin.

“Berbeza di OTAI Group, kami beri latihan tanpa keluarkan duit tetapi pelajar yang belajar dengan kami akan menerima elaun bulanan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan.

“Saya seru pusat zakat jangan bazirkan duit (peruntukan latihan), sebaliknya berkolaborasi dengan OTAi.

“Mungkin tanpa keluarkan duit pun kita boleh hasilkan usahawan Islam berjaya yang boleh membayar balik zakat kepada PPZ dan cukai kepada LHDN bukan kita ketepikan zakat dan lain-lain.

“Saya juga nampak sistem pendidikan kita tak menekankan amalan zakat dan bersedekah sedangkan dengan zakat dan bersedekahlah yang akan menyebabkan Allah beri kekayaan kepada kita, jangan tunggu kaya baru hendak berzakat dan sedekah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Konvoi Agihan Zakat OTAi Group Malaysia 2022 ke Enam Negeri Bersama PPIM di Hentian Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Program ini dijangka berakhir pada 24 April ini membabitkan agihan zakat sebanyak RM420,000 kepada 1,200 asnaf dari 28 masjid.

Sebanyak 25 kenderaan bersama 54 usahawan OTAI Group bergerak mengagihkan zakat ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis selain Kuala Lumpur dan Selangor.

Tujuh kenderaan Velfire dan selebihnya Hilux milik usahawan-usahawan OTAi berlepas kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang turut sama dalam program itu berkata, usaha murni ini perlu diteruskan setiap tahun dan perlu dilihat sebagai satu kebanggaan yang jadi inspirasi kepada usahawan Islam yang lain.

“Amalan berzakat sebenarnya bukan sahaja berkongsi sebahagian rezeki tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak asnaf ini boleh menimba ilmu di Akademi Keusahawanan Islam Malaysia OTAI Group.

“Di sinilah tempat lahirnya hampir 400 usahawan berjaya yang menyumbang semula zakat kepada PPZ dan terus kepada keluarga dan masyarakat, Jika semua orang bantu orang lain tentulah kesusahan itu dapat dikurangkan,” katanya.


Artikel oleh: Wacanakini

OTAI INGATKAN PPZ TAK MEMBAZIR

https://www.wacanakini.com/2022/04/otai-ingatkan-ppz-tak-membazir/

Friday, March 25, 2022

SYUKUR TANGGUH ROBOH, TERIMA KASIH DBKL - WACANAKINI - 24/03/2022

 

PANTAI DALAM – Pengusaha Restoran Anis Puteri, Rozita Mohamad, 53, meluahkan rasa syukur atas pertimbangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menangguhkan roboh benteng halang hakisan bersebelahan Taman Pantai Dalam selama dua minggu.

Operasi roboh dijadualkan hari ini namun ditangguhkan selepas Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Pantai Dalam menyerahkan surat aku janji membenarkan DBKL merobohkan tembok jjka gagal buat rayuan dalam tempoh 14 hari.

Beliau berkata, benteng itu dibina atas tanah Pejabat Tanah Galian bersebelahan tanah pemaju Atrium berikutan banjir besar yang melanda Lembah Klang termasuk kawasan itu pada penghujung tahun lalu.

“Saya sudah menetap di kawasan ini sejak tahun 90 an dan pemilik asal tanah Carlton Holiday membenarkan saya untuk membuat parking bagaimanapun selepas 2012 diambil alih oleh Atrium, kebenaran itu ditarik balik.

“Silap saya kerana tidak memaklumkan atau menghantar surat kepada DBKL untuk membina benteng berkenaan.

“Ia dibuat kerana permintaan Persatuan Penduduk Flat Taman Pantai Dalam yang bimbang melihat hakisan tanah yang keluar dari tanah pemaju itu dan menghalang lalu lintas kawasan berkenaan.

“Kos binaan itu lebih RM50,000 disumbangkan bagi membantu isu hakisan dan banjir kilat kawasan itu,” katanya kepada Wacanakini.com.

Pengusaha Restoran Anis Putri, Rozita (kiri sekali) bersama Toqqi dan wakil DBKL sedang teliti surat rayuan tangguh roboh.

Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Borang Selayang, Mohamad Pandu Insani Yahya, Ahli Jawatankuasa MPP Sub Son Lima Lembah Pantai Kamarulzaman dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Pantai Dalam, Mohd Suhaimi Che Him.

Sementara itu, Mohd Suhaimi mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan DBKL yang mendengar luahan rakyat.

“Kami berharap benteng ini kekal kerana ia membantu penempatan rakyat tidak terjejas dek lumpur banjir setiap kali hujan.

“Benteng ini tidak menjejaskan tapak asal pemaju, jika pemaju ada rancangan pembangunan mungkin boleh dicantikkan dan kukuhkan terlebih dahulu kawasan ini bagi mengelakkan hakisan tanah,” katanya.

Artikel oleh: WacanaKini

SYUKUR TANGGUH ROBOH, TERIMA KASIH DBKL

https://www.wacanakini.com/2022/03/syukur-tangguh-roboh-terima-kasih-dbkl/

10.6 JUTA PELABUR ASB RUGI RM4BILION JIKA SAPURA ENERGY BANKRAP? - WACANAKINI - 25/03/2022

 

KUALA LUMPUR : Amat mengejutkan apabila tular di media sosial gaji CEO Sapura Energy, sebuah konglomerat minyak dan gas antara terbesar di rantau ini dikatakan menerima gaji RM200,000 sehari.

Menurut kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia, di sebalik berita mengejutkan itu, Sapura Energy pula dikatakan sedang diancam kebankrapan setelah mencatatkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lepas.

Akibat kerugian dan kemungkinan tindakan kebankarapan itu, badan-badan pelaburan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan terjejas secara langsung.

Sekiranya Sapura Energy jatuh bankrap, 10.6 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera akan mengalami kerugian langsung sebanyak RM4 bilion.

Di samping itu, PNB dan KWSP serta lain-lain tabung Amanah juga akan berdepan kemungkinan kerugian langsung berikutan hutang mereka dengan bank-bank tempatan seperti Maybank yang mana PNB juga memiliki 50% daripada sahamnya.

PPIM memandang serius akan perkembangan korporat ini sebagai satu drama yang membuatkan rakyat marhaen terkesima lebih-lebih lagi apabila didedahkan pada 2018 Ketua Pegawai Eksekutifnya meraih gaji sebanyak lebih RM17 juta setahun atau lebih kurang RM200,000 sehari!

PPIM mendesak kerajaan supaya memandang serius akan gejala kurang sihat ini di mana seseorang yang konon punya bakat memperdagangkan wang pelaburan rakyat, dibayar gaji yang melangit, tetapi akhirnya rugi. Kerugian tersebut pula sering di ‘bailout’, sekali lagi menggunakan wang rakyat!

Mungkin jumlah gaji yang diterimanya mempunyai justifikasi tersendiri, tetapi nyata ianya sesuatu yang tidak menunjukkan akauntabiliti dan tanggungjawab apabila tiba-tiba wang rakyat, wang kumpulan titik peluh rakyat seolah-olah dipersia-siakan.


Artikel oleh: WacanaKini

10.6 JUTA PELABUR ASB RUGI RM4BILION JIKA SAPURA ENERGY BANKRAP?

https://www.wacanakini.com/2022/03/10-6-juta-pelabur-asb-rugi-rm4-bilion-jika-sapura-energy-bangkrap/

Wednesday, March 23, 2022

PPIM SOKONG PM TOLAK PINDAAN AKTA 342 - WACANAKINI - 20/03/2022

 

KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memuji urus tadbir kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana benar-benar mengutamakan rakyat.

Ini kerana, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Sabtu termasuk pindaan Akta 342 membuktikan komitmen kerajaan terhadap rakyat.

Perdana Menteri mengumumkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mengenakan denda RM100,000 ke atas individu dan RM500,000 kepada syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 tidak akan dibentangkan.

Justeru, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menzahirkan ucapan terima kasih dan bangga dengan kenyataan Perdana Menteri, yang memberi jaminan pindaan Akta 342 tidak akan diteruskan di Parlimen.

“Saya amat berterima kasih kepada beliau dan mendoakan kesejahteraan beliau atas usaha yang telah dilakukan ini,” katanya menerusi kenyataannya, di sini.

Selain itu, Nadzim turut memuji langkah kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Sebelum ini, PPIM dilaporkan mengumumkan persatuan itu bersama lebih 9 juta penyokongnya akan menyokong mana-mana Ahli Parlimen yang menentang pindaan Akta 342.

“Pindaan Akta 342 adalah akta yang zalim dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, sesiapa yang menzalimi rakyat kami akan pastikan mereka tidak lagi kembali menjadi pemimpin di negara ini,” katanya.

Nadzim menegaskan PPIM menentang sepenuhnya usaha beberapa pihak yang mahu membenarkan pihak luar menentukan hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam bidang kesihatan awam.

“Mengapa perlu kita membiarkan orang asing menentukan apa yang terbaik untuk negara.

“Di Malaysia kita mempunyai ramai pakar dari pelbagai kepakaran yang boleh memberi nasihat dan
cadangan kepada kerajaan mengenai kesihatan awam khususnya dalam isu menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Nadzim berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri akan terus mempertahankan kedaulatan negara dan menolak campur tangan pihak luar dalam urusan tadbir urus negara ini.


Artikel oleh: Wacanakini

PPIM SOKONG PM TOLAK PINDAAN AKTA 342

https://www.wacanakini.com/2022/03/ppim-sokong-pm-tolak-pindaan-akta-342/

Saturday, March 19, 2022

PDRM, SPRM DIGESA SIASAT CIMB 'SEDUT' LEBIH RM1 BILION AKAUN PELANGGAN - WACANAKINI - 17/03/2022

 

CHERAS – Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara diminta menyiasat bank CIMB yang dipercayai ‘menyedut’ lebih RM1 bilion keseluruhan daripada akaun pelanggan tanpa sebab munasabah.

Pengasas Agenda Rakyat Malaysia, Datuk Dr Ramalan Yunus berkata, ia berikutan dakwaan lebih 11,000 pemegang akaun berkenaan yang mendapati “duit” mereka lesap tanpa dimaklumkan atau diberi sebarang notis mengenai situasi itu.

Datuk Dr Ramalan Yunus (kiri) bersama peguam, Salihin

“Pemegang akaun bank berhak mengetahui apa sebenarnya berlaku, alasan kecuaian dalam prosidur tidak diterima kerana ia tanggungjawab penuh bank memastikan keselamatan pelanggan terjamin.

“Tindakan membekukan akaun bank itu dilakukan tanpa mengikut prosedur Bank Negara, tanpa siasatan pihak polis dan tiada perintah mahkamah yang membenarkan CIMB mengambil tindakan tersebut, atas sebab apa akaun pengguna ini dibekukan. Kenapa tidak ikut prosidur terlebih dahulu sebelum duit ‘dilesap’kan.

“Kenapa apabila rakyat bersuara, tindakan undang-undang akan diambil disusahkan rakyat itu sedangkan jika ketidakadilan berlaku dan rakyat diam, negara pastinya jahanam.

“Kami menerima maklumat sudah ada akaun yang dinyahbekukan tetapi sehingga semalam masih ada pemegang akaun mendakwa duit mereka ‘lesap’,” katanya pada satu sidang media yang dianjurkan The BBC@BigBoys Community bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan peguam mewakili pelanggan CIMB, Salihin dari firma guaman Nadirah Azad & Salihin di Restoran Wife’ Recipe di Cheras semalam.

Turut hadir, wakil pelabur asing dan Ketua Penasihat NGO dibawah naungan Bangsa Bangsa Bersatu (UNITED NATION), Sam A.B yang berkongsi pengalaman duit pelaburan asing EUR 250 juta dilesapkan setelah dana itu masuk ke dalam akaun CIMB.

PPIM dimaklumkan lebih 200,000 akaun pelanggan CIMB dibekukan tanpa sebab munasabah.

Turut dipersoalkan kenapa tiada laporan polis, tiada siasatan dilakukan terhadap pemilik akaun jika benar duit diambil balik bank kerana transaksi itu tidak sah mengikut undang-undang.

Nadzim turut menyeru semua pelanggan bank yang menghadapi masalah sama untuk tampil membuat laporan kepada pihak PPIM dan pihak berkuasa.

Adakah bank boleh dibiarkan melakukan sesuka hati dengan wang pemilik akaun tanpa merujuk kepada mereka terlebih dahulu, mengapa tiada sebarang notis atau maklumat mengenai perkara ini.

PPIM turut membuka kaunter khas bagi menangani isu pembekuan akaun bank ini dan semua rakyat yang terkesan boleh menghubungi PPIM di talian +6013 611 6666.


Artikel oleh: Wacanakini

PDRM, SPRM DIGESA SIASAT CIMB 'SEDUT' LEBIH RM1 BILION AKAUN PELANGGAN

https://www.wacanakini.com/2022/03/pdrm-sprm-digesa-siasat-cimb-sedut-lebih-rm1-bilion-akaun-pelanggan/

Thursday, March 17, 2022

KENAPA MEF 'SAKIT HATI' DENGAN KWSP DUIT RAKYAT? - WACANAKINI - 17/03/2022

 

KUALA LUMPUR : Pelbagai pihak menyelar kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang minta kerajaan meletakkan syarat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan kenyataan MEF itu tidak sensitif keadaan rakyat yang amat memerlukan simpanan mereka ketika ini.

Datuk Nadzim Johan

“Jangan ditambah jangan disusahkan lagi keadaan rakyat, tidak ada syarat baharu tambahan. Isunya hendak hidup pun tak lepas, usah dikatakan simpanan hari tua.

“Asyik dok pusing cerita simpanan hari tua. Isunya sekarang tiada makan takkan nak tunggu 20 tahun lagi baharu nak makan?

“Kalau orang tertekan tiada duit sampai cuba bunuh diri seperti dilaporkan media, takkan ada hari tua jika isu sekarang tak selesai.

” Wahai MEF jangan pentingkan tembolok sendiri tetapi hak rakyat dinafikan,” katanya kepada Wacanakini.com

Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman dilaporkan berkata pengeluaran khas sehingga RM10,000 itu perlu dibenarkan atas alasan bagi keperluan atau keadaan khusus, ketika ini mendatangkan kemarahan di kalangan rakyat dan pencarum.

Kenyataan beliau diselar sebagai pihak yang ‘sakit hati’ melihat kerajaan membenarkan ‘talian hayat’ untuk rakyat meneruskan hidup mereka.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Kanan sebuah bank di Malaysia merangkap Peguam PPIM, Rizal Abdullah berkata, sudahlah MEF tidak sokong gaji minimum dan Malaysia terkenal dengan gaji purata terendah di Asia Tenggara, ada hati lagi MEF hendak bising pasal hal pekerja.

Rizal Abdullah

“Apa guna duit banyak dalam KWSP pada umur 55 hingga 60 tahun jika sekarang duit tiada nak makan untuk diri dan anak-anak. Apa guna duit dalam KWSP kalau dah kena halau keluar rumah sebab tak boleh bayar sewa sekarang.

“Semalam ada konon “pakar” mana sekali bagi komen pencarum yang keluarkan RM10,000 sekarang akan rugi RM50,000 kalau simpan lagi 10 tahun. Pakar tu terlupa kot pasal inflasi. 10 tahun lagi RM50,000 tu agaknya besar mana?” katanya.

Kerajaan semalam membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan selepas kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak.


Artikel oleh: Wacanakini

KENAPA MEF 'SAKIT HATI' DENGAN KWSP DUIT RAKYAT?

https://www.wacanakini.com/2022/03/kenapa-mef-sakit-hati-dengan-kwsp-duit-rakyat/

TERIMA KASIH PM, USAHA PULIHKAN EKONOMI RAKYAT DIHARGAI - PPIM - WACANAKINI - 16/03/2022

 

Ismail Sabri atas pengumuman membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata demikian sejurus pengumuman yang dibuat Ismail Sabri pada Sidang Media Khas Perdana Menteri, secara langsung di Facebooknya, petang tadi.

“Walaupun KWSP sebelum ini memberi kenyataan menolak tuntutan rakyat namun
syukur kepada Allah yang bukakan hati pemimpin untuk mendengar rintihan kami, terima kasih atas keprihatinan PM terhadap rakyat.

“Pengeluaran KWSP ini diharap mampu memulihkan ekonomi rakyat, ringankan beban rakyat.

“Sejak berbulan lalu PPIM bersama rakyat mengetengahkan suara-suara yang tidak berdaya ini untuk didengari, syukur usaha kita dinilai dan diterima, yang paling penting penerimaan dari Yang Maha Esa. Mari kita sama-sama sujud syukur atas berita baik ini,” katanya dalam nada sebak kepada Wacanakini.com.

Berita baik itu juga memberi nafas lega kepada netizen yang amat memerlukan bantuan kewangan dalam keadaan terdesak bagi meneruskan kelangsungan hidup dan memudahkan urusan mereka.

Perdana Menteri menerusi Facebooknya, berkata kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

Beliau dipetik berkata, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Ia merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, berjumlah RM101 bilion, membabitkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.


Artikel oleh: Wacanakini

TERIMA KASIH PM, USAHA PULIHKAN EKONOMI RAKYAT DIHARGAI - PPIM

https://www.wacanakini.com/2022/03/terima-kasih-pm-usaha-pulihkan-ekonomi-rakyat-dihargai-ppim/

Friday, March 11, 2022

PPIM, GHRF, MTMK DESAK KJ JUJUR KEMATIAN REVNESH - WACANAKINI - 09/03/2022

 

PUTRAJAYA : Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persekutuan Hak Asasi Manusia Sedunia (GHRF) dan Malaysia Tamilar Munetra Kalagam (MTMK) menyerahkan Memorandum Mendesak Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) agar jujur dengan kematian Ravnesh Kumar.

Mendiang Ravnesh Kumar berusia 13 tahun yang disahkan meninggal dunia 18 hari selepas suntikan pertama Pfitzer.

Presiden GHRF, S. Shashi Kumar berkata, bagaimanapun sehingga hari ini setelah 50 hari atau enam bulan kematiannya, tiada sebarang makluman atau laporan bedah siasat diberi.

Katanya, kematian Ravnesh hanya mendapat perhatian setelah isu ini dibawa ke media dan orang awam.

“Menerusi memorandum ini kami mahu perhatian pihak KKM berlaku pemerdayaan terhadap orang awam menerusi borang yang perlu ditandatangani ibu bapa atau penjaga supaya menanggung sepenuhnya apa-apa yang berlaku ke atas anak mereka.

“Tiada satu surat pun daripada kerajaan untuk mengesahkan suntikan ini bebas daripada sebarang kesan.

“Tiada satu badan dibentuk bagi menyiasat dan menerima laporan mangsa terkesan dengan vaksin atau dos penggalak,” katanya membacakan memorandum berkenaan sebelum menyerahkan kepada wakil Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Tambah memorandum itu yang turut membantah Akta 342 yang mendatangkan kemarahan rakyat.

Turut dilaporkan seramai lebih 3,000 kanak-kanak di Benua Eropah menerima kesan sampingan daripada vaksinasi.


Artikel oleh: Wacanakini

PPIM, GHRF, MTMK DESAK KJ JUJUR KEMATIAN REVNESH

https://www.wacanakini.com/2022/03/ppim-ghrf-mtmk-desak-kj-jujur-kematian-revnesh/

Saturday, March 5, 2022

TIADA PAMPASAN SEPERTI DIJANJIKAN - BAPA MANGSA VAKSIN - WACANAKINI - 05/03/2022

 

KUALA LUMPUR : Bapa kepada dua remaja yang meninggal dipercayai selepas menerima dos kedua vaksin Sinovac pada 18 Ogos tahun lalu, mendakwa tidak menerima pampasan seperti dijanjikan sebelum ini.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Muhammad Shah Rovinderjit menceritakan kembali dua anaknya iaitu Putri Nur Rabiatul Nabihah, 21, dan anak angkatnya Nurul Airawani Nazira, 24, meninggal tepat selepas dua minggu menerima dos kedua vaksin berkenaan.

“Arwah Putri Nur Rabiatul mendakwa dadanya terlalu sakit seperti dicucuk, meninggal setelah tiba di hospital.

“Arwah Nurul Airawani meninggal di hadapan rumah sebelum dibawa ke hospital.

“Saya merasa aneh melihat jenazah anak saya, Putri Nur yang wajahnya keluar darah dan ada kesan surgeri di kepalanya, sedangkan hospital memaklumkan kematian akibat Covid-19 dan tidak membuat surgeri.

“Ketika arwah disahkan meninggal, saya buat permintaan untuk lihat jasadnya tetapi tidak dibenarkan kerana SOP. SOP sebegini beri peluang kepada salah guna kuasa dan penganiayaan kepada rakyat apabila hak kami untuk lihat jasad anak sendiri pun tak boleh.

“Saya minta laporan post mortem juga tidak diberi. Kementerian Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin juga diam sehingga hari ini.

“Malah pampasan yang dijanjikan juga tiada sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Bantahan Akta 342 yang dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia bersama 200 NGO Bersekutu di sini semalam.

Kerajaan terdahulu meluluskan bantuan khas kewangan kesan mudarat COVID-19 kepada warga tempatan dan asing sekiranya mereka menerima kesan sampingan selepas menerima vaksin.

Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.


Artikel oleh: Wacanakini

TIADA PAMPASAN SEPERTI DIJANJIKAN - BAPA MANGSA VAKSIN

https://www.wacanakini.com/2022/03/tiada-pampasan-seperti-dijanjikan-bapa-mangsa-vaksin/

Wednesday, March 2, 2022

MANGSA VAKSIN, RAFIQ TUNTUT KKM, KHAIRY BERTANGGUNGJAWAB - WACANAKINI - 01/03/2022

 

SERDANG : Mohd Rafiq Aiman yang berusia 21 tahun menuntut kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Menterinya, Khairy Jamaluddin bertanggungjawab ke atas kesan yang diterima selepas dua dos suntikan vaksin.

“Soal hidup mati dan nyawa rakyat bukan mainan, bukan yang boleh direka-reka. Kerajaan, KKM dan Khairy Jamaludin perlu bertanggungjawab atas semua yang telah hilang upaya, hilang nyawa akibat polisi yang digubal mereka.

“Jangan sesekali hukum kami sebagai anti vaksin, kami sudah terima dua suntikan dan ini kesannya yang perlu ditanggung.

“Dada saya membengkak keras, lumpuh tiga bulan, tidak boleh belajar, tidak boleh jaga empat adik saya.

“Mungkin impian saya untuk jadi askar Wataniah juga terjejas jika kesan ini berlarutan,” katanya kepada Wacanakini.com.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq berasa simpati kepada mangsa lain yang turut menerima kesan sama, ada yang lumpuh sama sepertinya malah lebih teruk mengakibatkan kematian.

Beliau telah membuat aduan kepada Pusat Aduan Mangsa Vaksin yang diwujudkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), juga telah membuat laporan polis dan tindakan lain mengikut undang-undang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Rafiq adalah salah satu contoh daripada 300 kesan sampingan vaksin dan dos penggalak.

“Cuba bayangkan dia dulu angkat berat. Tapi lihatlah dia sekarang .

“KKM, Khairy jangan berdusta dulu kata tiada kesan vaksin tetapi yang ini macam mana pula?

“Saya hilang kata-kata, tolonglah jangan hidup dalam penipuan,” katanya.

Ikuti siri seterusnya mangsa vaksin, Rafiq.


Artikel oleh: Wacanakini

MANGSA VAKSIN, RAFIQ TUNTUT KKM, KHAIRY BERTANGGUNGJAWAB

https://www.wacanakini.com/2022/03/mangsa-vaksin-rafiq-tuntut-kkm-khairy-bertanggungjawab/

HILANG BERAT 20KG, LUMPUH TIGA BULAN SELEPAS VAKSIN - HUAZONG - WACANAKINI - 28/02/2022

 

SERDANG – Anak muda berusia 21 tahun yang sebelum ini sihat, menyertai askar Wataniah malah bercita-cita untuk berkhidmat untuk negara dalam bidang itu.

Mohd Rafiq Aiman dari Hulu Langat adalah pelajar semester lima Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di sebuah politeknik.

Rafiq dengan berat 65 kilogram (kg), aktif bersukan, berbadan tegap kerana disiplin dengan rutin hariannya mengangkat berat di gimnasium.

Bagaimanapun segala-galanya berubah selepas Rafiq dipercayai menerima dua dos vaksin Sinovac menerusi program suntikan percuma pada bulan Julai dan Ogos 2021.

Selepas beberapa minggu suntikan, Rafiq lumpuh, berat badan menyusut sehingga 48 kg kurang, satu ketulan tiba-tiba muncul di dada sebelah kanannya.

Ia membengkak dengan ketebalan sehingga 10 sentimeter.

Rafiq terkejut dan keliru dengan kesan yang dialaminya lalu mengemukakan kesan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rafiq memberitahu Wacanakini.com, doktor mengambil sampel darah dan doktor memaklumkannya suspek sakit jantung.

“Tidak lama selepas itu, sampel darah diambil lagi dan mendakwa saya suspek sakit tibi.

“Selepas itu, didakwanya saya ada masalah jangkitan kuman pada paru-paru dan kemudian masalah buah pinggang pula.

“Realitinya, KKM gagal memberi keputusan muktamad terhadap kesan yang menimpa saya setelah menerima suntikan.

“Mereka berdusta bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana memberi suntikan vaksin yang memberi kesan kepada rakyat.

“Yang saya pelik mereka minta saya serahkan semua dokumen itu dan serahkan diri masuk wad tanpa ditemani ibu bapa, namun ibu saya bertegas jangan teruskan kerana seolah ia hanyalah ‘perangkap’ agar mereka lepas diri,” jelas Rafiq.

Pembelajaran Rafiq terjejas kerana kesakitan dan lumpuh yang dialaminya secara tiba-tiba dipercayai selepas suntikan.

Rafiq terpaksa belajar sambil baring sahaja tidak seperti sebelum ini.

Ikut siri kedua kisah Rafiq bertarung hidup kesan vaksin.


Artikel oleh: Wacanakini

HILANG BERAT 20KG, LUMPUH TIGA BULAN SELEPAS VAKSIN

https://www.wacanakini.com/2022/02/hilang-berat-20kg-lumpuh-tiga-bulan-selepas-vaksin/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL