Thursday, March 17, 2022

KENAPA MEF 'SAKIT HATI' DENGAN KWSP DUIT RAKYAT? - WACANAKINI - 17/03/2022

 

KUALA LUMPUR : Pelbagai pihak menyelar kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang minta kerajaan meletakkan syarat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan kenyataan MEF itu tidak sensitif keadaan rakyat yang amat memerlukan simpanan mereka ketika ini.

Datuk Nadzim Johan

“Jangan ditambah jangan disusahkan lagi keadaan rakyat, tidak ada syarat baharu tambahan. Isunya hendak hidup pun tak lepas, usah dikatakan simpanan hari tua.

“Asyik dok pusing cerita simpanan hari tua. Isunya sekarang tiada makan takkan nak tunggu 20 tahun lagi baharu nak makan?

“Kalau orang tertekan tiada duit sampai cuba bunuh diri seperti dilaporkan media, takkan ada hari tua jika isu sekarang tak selesai.

” Wahai MEF jangan pentingkan tembolok sendiri tetapi hak rakyat dinafikan,” katanya kepada Wacanakini.com

Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman dilaporkan berkata pengeluaran khas sehingga RM10,000 itu perlu dibenarkan atas alasan bagi keperluan atau keadaan khusus, ketika ini mendatangkan kemarahan di kalangan rakyat dan pencarum.

Kenyataan beliau diselar sebagai pihak yang ‘sakit hati’ melihat kerajaan membenarkan ‘talian hayat’ untuk rakyat meneruskan hidup mereka.

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Kanan sebuah bank di Malaysia merangkap Peguam PPIM, Rizal Abdullah berkata, sudahlah MEF tidak sokong gaji minimum dan Malaysia terkenal dengan gaji purata terendah di Asia Tenggara, ada hati lagi MEF hendak bising pasal hal pekerja.

Rizal Abdullah

“Apa guna duit banyak dalam KWSP pada umur 55 hingga 60 tahun jika sekarang duit tiada nak makan untuk diri dan anak-anak. Apa guna duit dalam KWSP kalau dah kena halau keluar rumah sebab tak boleh bayar sewa sekarang.

“Semalam ada konon “pakar” mana sekali bagi komen pencarum yang keluarkan RM10,000 sekarang akan rugi RM50,000 kalau simpan lagi 10 tahun. Pakar tu terlupa kot pasal inflasi. 10 tahun lagi RM50,000 tu agaknya besar mana?” katanya.

Kerajaan semalam membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan selepas kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak.


Artikel oleh: Wacanakini

KENAPA MEF 'SAKIT HATI' DENGAN KWSP DUIT RAKYAT?

https://www.wacanakini.com/2022/03/kenapa-mef-sakit-hati-dengan-kwsp-duit-rakyat/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...