Tuesday, May 10, 2022

DAHULU PENGURUS, SEKARANG GELANDANGAN - KISAH PENGHUNI PTGKL - WACANAKINI - 04/05/2022

 

KUALA LUMPUR: Tiada siapa yang boleh tahu hitam putih hidup kita, hari ini kita ada segala-galanya tetapi esok belum tentu ia kekal milik kita.

Tiada yang kekal melainkan Tuhan Yang Esa, segalanya pinjaman dan bersifat sementara dan tiada apa mampu menghalang takdir apabila ia sudah tersurat untuk kita.

Pandemik yang mengancam negara dan dunia mengajar kita nilai kehidupan boleh berubah serta merta, tidak boleh mendabik dada kerana jutaan rakyat menerima nasib sama.

Begitulah episod duka kehidupan Mohd Lutfi Akmal Zalkuplee, 36, dari Kuala Selangor, dahulu dirinya bekerja sebagai Pengurus Publisiti di Ampang Park, tinggal di kondominium mewah dan ada segalanya.

Kini dia hidup sebagai gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) terletak di Jalan Pahang.

Dia hilang segala-galanya selepas hilang kerja sementelah pusat beli belah terbabit ditutup pada 2017.

Hidupnya pula sebatang kara, lahir sebagai anak tunggal tanpa sesiapa sejak kedua ibu bapanya meninggal dunia pada usianya 20 tahun.

“Saya tiada sesiapa, tiada siapa yang ambil tahu diri ini setelah saya jatuh miskin, tiada rumah, tiada harta.

“Selepas Ampang Park ditutup, saya buat pilihan yang salah terlibat sehingga saya muflis hilang segala-galanya, rakan-rakan keluarga menjauhkan diri.

“Benar kata orang kita hanya diingati jika kita ada sesuatu, jika kita tiada apa-apa tiada siapa sudi mengingati malah menjauhkan diri kerana bimbang kita hendak minta apa-apa.

“Ada yang tutup pintu rumah, dan macam-macam sudah saya hadapi. Jadi yang terbaiknya saya bawa diri, di sini saya diterima oleh penghuni lain yang juga tiada sesiapa peduli mereka,” katanya kepada Wacanakini.com.

Bangunan tiga tingkat yang terletak di Jalan Pahang itu mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan yang mampu menampung 250 orang, bilik mandi, tandas, dobi, surau, bilik kaunseling, bilik kesihatan dan tempat simpanan barang.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Februari 2016, pusat ini dianggap syurga bagi mereka yang memerlukan.

Pusat Transit tersebut merupakan hasil inisiatif tanggungjawab sosial Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Bangunan yang ditubuhkan secara CSR ini merupakan ONE STOP CENTRE bagi golongan gelandangan di ibu kota Kuala Lumpur.

Pembinaan pusat itu susulan tinjauan Najib terhadap keadaan gelandangan di ibu kota pada Julai 2014.

Terdapat sebuah dewan makan yang boleh memuatkan 100 orang penghuni dalam satu masa. Sumbangan makanan harian adalah daripada NGO, badan korporat dan orang perseorangan yang akan diselaraskan oleh operator PTGKL.


Artikel oleh: WacanaKini

DAHULU PENGURUS, SEKARANG GELANDANGAN - KISAH PENGHUNI PTGKL

https://www.wacanakini.com/2022/05/dahulu-pengurus-sekarang-gelandangan-kisah-penghuni-ptgkl/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL