Friday, May 27, 2022

PPIM DIPANGGIL BANTU SIASATAN ISU LOJI SEMBELIHAN DI AUSTRALIA - HARIAN METRO - 17/05/2022

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membantu siasatan berhubung isu loji sembelihan di Australia yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diperlukan bagi mengumpul maklumat lanjut selepas individu yang membuat dakwaan berkenaan gagal dikesan.

"Kelmarin saya mengadakan Google Meet dengan Pegawai Halal Atase Jakim di Canberra bersama Ketua Pengarah Jakim untuk mendapatkan penjelasan apa yang berlaku.

"Pegawai kita memberikan penjelasan, malah dia juga sudah hubungi individu itu (pengadu, The Hood Man) yang bukan nama Abdullah, namun individu itu tidak menghubungi semula pihak kita di sana dan sehingga kini gagal dihubungi.

"Jadi, saya pun ada menghubungi pihak PPIM untuk membantu hubungi individu itu supaya tanpil ke depan menceritakan secara terperinci dan telus kepada Jakim supaya kita dapat ambil tindakan jika benar berlaku soal membabitkan integriti atau sebagainya dalam isu halal haram seperti didakwanya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Digital Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), DiYa di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan siasatan terkini mengenai dakwaan seorang bekas pekerja di pusat penyembelihan di Australia yang diiktiraf Jakim melakukan pelbagai pelanggaran pensijilan halal.

Mengulas lanjut isu berkenaan katanya, Jakim tidak akan berkompromi dengan isu membabitkan pelanggaran sijil halal yang diberikan kepada badan yang menerima pengiktirafan Malaysia dengan terus membuat pemantauan di 15 lagi loji sembelihan di negara terbabit.

"Setakat ini, kita hanya menggantung sementara satu daripada 16 loji sembelihan di Australia sehingga siasatan kes ini selesai dan mereka memenuhi apa yang kita kehendaki.

"Jakim juga akan menghubungi pihak sana kerana setakat ini, kita masih belum menerima maklum balas surat tunjuk sebab diberikan Jakim kepada Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, PPIM, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahaba 99 menggesa Jakim melakukan siasatan segera berhubung dakwaan seorang lelaki yang mendedahkan maklumat pelanggaran SOP di tempatnya bekerja.

Pada sidang media yang diadakan secara langsung dari Sydney, rakaman video menunjukkan beberapa ekor biri-biri yang direndam sehingga lemas dalam gumpalan darah.

Selain itu, pusat sembelihan itu juga kotor dan terdapat anjing liar di sekitarnya hingga mengundang persoalan mengenai tahap kebersihan di pusat itu.

Lelaki terbabit dikenali sebagai 'The Hood Man' itu juga mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam selain ahli keluarganya turut diugut susulan pendedahan mengenai isu berkenaan.

Susulan itu, Jakim menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM DIPANGGIL BANTU SIASATAN ISU LOJI SEMBELIHAN DI AUSTRALIA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/842767/ppim-dipanggil-bantu-siasatan-isu-loji-sembelihan-di-australia

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL