Tuesday, May 31, 2022

'THE HOOD MAN' TIDAK HILANG - NADZIM - HARIAN METRO - 18/05/2022

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesahkan belum dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung dakwaan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Malah, PPIM turut menafikan dakwaan bahawa 'The Hood Man' atau Abdullah, individu yang mendedahkan perkara itu hilang dan gagal dikesan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini, pihaknya belum dipanggil agensi agama itu untuk memberi sebarang keterangan berhubung perkara serius itu.

"Kalau Jakim panggil, kita pergilah. Setakat ini belum (dipanggil), mungkin panggil ketika jamuan raya kot," katanya ketika ditemui di majlis program kesihatan membantu golongan asnaf bersama rakan badan bukan kerajaan, Yayasan Malindo Worldwide (YMW) di Rumah Perlindungan Charis, Taman Yarl, dekat sini, hari ini.

Nadzim berkata, pihaknya juga menafikan The Hood Man gagal dikesan seperti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

"Tak betul (The Hood Man hilang), tapi Jakim kena bayarlah, kita bawa (datang Malaysia) sebab dia di Australia. Kita boleh bawa jumpa, tiada masalah, PPIM bukan ada duit nak bawa dia," katanya.

Katanya, The Hood Man juga turut menerima ugutan bunuh dan perkara itu menyebabkan pihaknya berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

"Kita mahu perkara ini tidak berulang lagi, isu penyembelihan daging sangat sensitif buat orang Islam.

"Setiap tahun timbul isu ini, kita mahu Jakim ambil tindakan dan memastikan perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Sebelum ini, Jakim meminta PPIM tampil membantu siasatan berkaitan dakwaan loji sembelihan di Australia tidak mematuhi prosedur halal Malaysia.

Idris berkata, individu yang sebelum ini bekerjasama dengan PPIM bagi mendedahkan perkara itu dikenali The Hood Man tidak dapat dikesan.

"Yang kita minta supaya individu yang dedahkan tadi muncul ke depan dan kita tak nak 'third person'," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

'THE HOOD MAN' TIDAK HILANG - NADZIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/843224/hood-man-tidak-hilang-nadzim

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...