Pengimportan daging dari rumah sembelihan haiwan di Australia yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal, wajar ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata dalam tempoh siasatan itu juga, umat Islam disaran supaya menghentikan pembelian daging yang disumberkan dari rumah sembelihan itu sehingga mengetahui kesahihan dakwaan berkenaan.
“Dalam Islam, hadis menyebut kalau kita berasa ragu tidak boleh kita makan. Apatah lagi kalau sekiranya pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi menentukan status halal makanan itu.
“Di situ sudah ada keraguan, ditambah pula ada saksi yang mengatakan benda itu (prosedur penyembelihan) memang dilakukan secara tidak betul, jadi memang patutlah digantung pengimportan dagingnya dahulu,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas pendedahan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mengenai perlanggaran SOP penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia yang mendapat kelulusan daripada Badan Induk Halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Syarikat itu yang turut mengeksport daging ke Malaysia bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan siasatan masih dijalankan oleh Jakim bersama pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE).
Mohd Yusof berkata selain menangguhkan pengimportan, perlu juga ada kaedah untuk memastikan agar daging yang telah berada di pasaran, tidak dijual oleh pekedai kepada umat Islam.
Menyuarakan perkara sama, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman meminta pekedai agar bersikap bertanggungjawab dengan menarik balik penjualan bahan mentah itu sekiranya memperoleh sumber daging dari syarikat terlibat.
“Kalau sudah masuk Malaysia dan ada nama atau label syarikat tersebut tertera dalam bungkusan daging, mungkin umat Islam juga boleh mengelak daripada membeli atau menjualnya.
“Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga mungkin wajar dibekukan pengimportan daging dari rumah sembelihan itu sementara menunggu pihak Jakim menyiapkan siasatan. Selepas lengkap siasatan dan didapati tiada asas dakwaan, barulah kita buka semula pengimportan,” katanya.
Pada 10 Mei lepas Jakim dalam kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia.
Siasatan dilakukan Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan DAWE selain perbincangan dengan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia diadakan pada 28 April lepas, bagi memastikan hasil siasatan tersebut dapat diserahkan kepada kerajaan Malaysia secepat mungkin.
- Bernama
Artikel oleh: MalaysiaKini
MUFTI: TANGGUH IMPORT DARI RUMAH SEMBELIHAN DIRAGUI DI AUSTRALIA
No comments:
Post a Comment