Wednesday, May 11, 2022

PUSAT SEMBELIHAN LUAR NEGARA DIDAKWA LANGGAR SOP - BERITA HARIAN - 10/05/2022

 

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja di pusat penyembelihan di Australia yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendakwa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai 'The Hood Man' itu mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam manakala ahli keluarganya turut diugut susulan pendedahan mengenai isu berkenaan.

Bercakap menerusi panggilan video dalam sidang media di sini, hari ini, beliau mendakwa, cara kambing yang disembelih di sebuah syarikat yang mendapat lesen sah daripada Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) itu tidak mematuhi syariat.

"Antaranya kambing mati bukan disebabkan disembelih, sebaliknya digigit anjing yang dibela di rumah sembelihan. Selain itu, ada yang mati kerana lemas dengan takungan darah di premis sembelihan.

"Penyembelih dipercayai tidak mengamalkan cara hidup seperti seorang Islam, tidak bersolat, minum arak dan berjudi," katanya.

Sidang media itu dianjurkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Sahaba 99.

Turut hadir, Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor; Presiden Sahaba 99, Vince Focarelli dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Lelaki itu mendakwa, haiwan yang disembelih didera dan dicederakan oleh pekerja menggunakan kayu.

Beliau mendakwa, pusat penyembelihan itu tidak mematuji SOP penyembelihan ditetapkan JAKIM.

"Pusat itu sepatutnya memiliki dua orang penyembelih, seorang penyemak halal dan seorang penyelia tetapi mereka cuma ada tiga pekerja iaitu masing-masing seorang penyembelih, penyelia dan penyemak halal.

"Saya jalankan siasatan sendiri demi kebajikan pekerja penyembelihan halal di sini yang sering dibuli dan dicederakan, selain ada pihak ketiga dipercayai terbabit dalam penyelewengan membabitkan keseluruhan sistem halal untuk kepentingan peribadi," katanya.

Sementara itu, Faizan meminta JAKIM menjalankan siasatan menyeluruh dan memberi penjelasan berhubung keraguan di pusat penyembelihan ternakan itu.

Selepas hampir sebulan pendedahan dibuat, katanya, JAKIM belum menjawab pelbagai isu berkaitan syarikat yang turut membekalkan daging import ke Malaysia.

"Ketika isu ini didedahkan awal bulan lalu, ia tidak mendapat maklum balas JAKIM sedangkan isu ini berkenaan halal haram.

"Berdasarkan bukti video dan gambar serta kenyataan bekas pekerja sembelihan di syarikat itu, kami yakin berlaku pelanggaran protokol penyembelihan SOP ditetapkan JAKIM," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PUSAT SEMBELIHAN LUAR NEGARA DIDAKWA LANGGAR SOP

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/953858/pusat-sembelihan-luar-negara-didakwa-langgar-sop

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL