Tuesday, May 10, 2022

BERBELANJA TAK SALAH, TETAPI BERSEDERHANA - FOMCA - HARIAN METRO - 09/05/2022

 

Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan masyarakat supaya berbelanja secara sederhana biarpun dalam keghairahan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, berbelanja besar ketika musim perayaan bukanlah kesalahan namun pengguna mestilah bijak dan bersederhana terutamanya dalam membelanjakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Aidilfitri boleh diraikan secara normal pada tahun ini, maka perbelanjaan untuk persediaan semestinya semakin meningkat.

"Namun, wang KWSP sepatutnya untuk kegunaan kecemasan kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Malah, duit ini juga dikeluarkan bagi mereka yang terbeban dengan kos sara hidup," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, wang KWSP perlu digunakan sebaik mungkin kepada mereka yang memerlukannya.

"Kepada yang tiada keperluan berbelanja namun mengeluarkan wang KWSP, ia (wang) boleh dilaburkan supaya mendapat pulangan pada masa depan.

"Elakkan berbelanja dengan boros yang akhirnya akan timbul masalah pada masa akan datang jika tiada simpanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim Johan ketika mengulas isu sama berkata, berbelanja berlebihan bukanlah satu kesalahan.

"Contohnya, jika mereka menggunakan wang KWSP itu, maka ia akan menjana ekonomi negara. Oleh itu, ekonomi semakin maju dan boleh menggembirakan masyarakat terutamanya dari segi kesihatan mental.

"Masyarakat mestilah yakin bahawa usaha mereka boleh membantu dan secara tidak langsung membawa kesan besar kepada ekonomi pada masa hadapan," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

BERBELANJA TAK SALAH, TETAPI BERSEDERHANA - FOMCA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/840015/berbelanja-tak-salah-tetapi-bersederhana-fomca

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL