Tuesday, May 31, 2022

JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN 'ABDULLAH' ISU PUSAT SEMBELIHAN AUSTRALIA LANGGAR SOP - BERITA HARIAN - 17/05/2022

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan memanggil wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi membantu siasatan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, lelaki yang dikenali sebagai 'The Hood Man' (Abdullah) yang memberi maklumat berkenaan kes itu sudah tidak dapat dikesan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sebelum ini lelaki berkenaan sudah memberi keterangan kepada Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia dan selepas itu individu berkenaan tidak dapat dihubungi.

Katanya, keterangan dan bukti berkenaan kes ini sangat diperlukan bagi membantu JAKIM menjalankan siasatan menyeluruh.

"Setakat ini JAKIM juga masih belum menerima surat maklum balas Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan yangdiberi surat tunjuk sebab," katanya pada sidang media Pelancaran Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, PPIM bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh Thomas Food International di Australia, yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal JAKIM.

Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor, dilaporkan berkata, pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia dilaporkan berkata, berdasarkan kepada bukti video dan gambar serta diperkukuhkan saksi (Abdullah) yang dikatakan pekerja sembelihan di TFI, pihaknya yakin bahawa terdapat unsur-unsur yang jelas melanggar protokol penyembelihan.

Setakat ini JAKIM sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Idris berkata, selain TFI terdapat 15 lagi loji sembelihan di Australia dan pihaknya komited memastikan loji berkenaan mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Menurutnya, semalam beliau bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menghubungi Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia secara Google Meet dan beliau menjelaskan mengenali 'Abdullah' yang bukan nama sebenar dan sudah memberi keterangan berkenaan kes itu.

Katanya, sehingga hari ini individu berkenaan masih gagal dihubungi dan JAKIM meminta bantuan PPIM bagi membantu menghubungi lelaki terbabit.

"JAKIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan individu berkenaan juga tidak perlu takut untuk membantu memberi keterangan," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN 'ABDULLAH' ISU PUSAT SEMBELIHAN AUSTRALIA LANGGAR SOP

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/956436/jakim-minta-ppim-bantu-kesan-abdullah-isu-pusat-sembelihan-australia

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL