Monday, May 9, 2022

SEMAK TATACARA JAKIM ISU SEMBELIHAN DI AUSTRALIA - UTUSAN MALAYSIA - 01/05/2022

 

PETALING JAYA: Kerajaan tidak perlu mengambil langkah menghentikan sementara import daging dari Australia, sebaliknya mewujudkan mekanisme memantau cara kerja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di negara berkenaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu memantau cara kerja Jakim bagi memastikan ia memenuhi tatacara memantau proses sembelihan yang betul mengikut syariat Islam.

“Kita tidak perlu menghentikan sementara import daging dari Australia kerana itu akan menjejaskan bekalan dalam negara. Sepatutnya kerajaan ada satu kaedah menentukan piawai dipatuhi. Jika tidak akan dilihat seolah-olah isu ini tidak diambil serius.

“Pertama, badan piawai khususnya Jakim yang menyelaraskan perkara berkaitan ini perlu disemak kembali. Apakah proses yang mereka lalui? Jakim ini harus semak juga, ada atau tidak pihak yang memantau mereka,” katanya di sini, semalam.

NADZIM JOHAN

Semalam, Kerajaan Australia dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap rumah penyembelihan haiwan di negara itu sekiranya terbukti dan disahkan melanggar protokol standard piawaian ketat dalam mengendalikan pengeluaran daging import.

Ini susulan pendedahan bahawa status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di negara itu yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam. Malah pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu ada dalam senarai diiktiraf kerajaan Malaysia dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, wujud keperluan bagi kerajaan mengaudit cara kerja dan kaedah pemantauan Jakim.

“Ini pun berlaku di mana-mana, sekarang ini pun seperti daging dari Bolivia dan yang diimport dari negara-negara lain. Maka jika mekanisme mengaudit cara kerja Jakim ini tidak dikaji semula, apa jaminan rakyat akan mendapat daging yang halal?” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

SEMAK TATACARA JAKIM ISU SEMBELIHAN DI AUSTRALIA

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/semak-tatacara-jakim-isu-sembelihan-di-australia/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL