Tuesday, May 10, 2022

PELAN TINDAKAN BANJIR IDEA BERNAS, PERLU LAKSANA SECARA HOLISTIK - PPIM - GETARAN - 10/05/2022

 

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan 14 tindakan khusus oleh kerajaan bagi menangani masalah banjir kilat di 25 kawasan panas sewajarnya dilakukan sejak dahulu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kesemua 25 kawasan di sekitar ibu negara itu seringkali mencetuskan ‘kegemparan’ kepada orang ramai, setiap kali hujan lebat melanda.

Menurut beliau, banjir kilat bukan sekadar satu ‘gangguan’ kepada sistem lalu lintas negara, bahkan turut mencetuskan krisis kewangan kepada mangsa apabila melibatkan kerosakan kenderaan dan harta benda.

“Inisiatif tiga bulan sehingga Julai itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi, bukan menunggu sehingga banjir berlaku berulang kali.

“Bukan kita tak tahu, setiap kali hujan lebat, pasti 25 kawasan ini akan dinaiki air. Bukan sekali dua pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan terperangkap sehingga merosakkan kenderaan masing-masing,” katanya kepada Getaran.

Nadzim berkata, Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta itu adalah antara agenda yang amat dinantikan rakyat, selepas menempuh pelbagai ‘kesengsaraan’ akibat banjir kilat itu.

“Banjir kilat bukan fenomena alam. Kalau bencana alam, ya kita tahu sukar dijangka atau dielakkan.

“Banjir kilat adalah masalah yang dicetuskan manusia, termasuk kegagalan pentadbir setempat dalam menyelenggara masalah perparitan dan tabiat membuang sampah oleh orang ramai.

“Pelan tindakan ini harus dilaksanakan sebaiknya oleh semua pihak terlibat bagi menangani isu banjir yang kian merisaukan, apatah lagi Kuala Lumpur adalah mercu tanda negara,” katanya.

Datuk Nadzim Johan - Gambar fail
Datuk Nadzim Johan - Gambar fail

Pelaksanaan pelan itu katanya, yang berpandukan kepada ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) harus ‘diolah’ sebaik mungkin bagi memastikan amaran mengenai kemungkinan banjir dapat disalurkan secara lebih sistematik dan holistik.

“Memang banjir kilat ini berlaku secara tiba-tiba, sesuailah namanya. Tapi dengan ada amaran awal, pengguna jalan raya dan orang ramai boleh bersedia.

“Pihak berkuasa lalu lintas juga boleh bersiap siaga dengan laluan alternatif bagi mengelakkan pemilik kenderaan terperangkap dalam air,” tegasnya.

Katanya, kebanyakan amaran banjir selama ini diberikan terlalu lewat dan kurang tepat menjadikan rakyat sering terjebak dalam masalah itu.

“Saya sendiri pernah menjadi mangsa walaupun ramai terkejut dengan kenyataan banjir di Kuala Lumpur. Ya lah, mana orang percaya kalau kita kata bandar yang mewah dengan bangunan yang tinggi dilanda banjir, apatah jika ia berlaku bukan pada musim, tetapi dicetuskan oleh hujan lebat selama hanya beberapa jam,” katanya.

Mengulas lanjut Nadzim berkata, satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi memantau serta mengurus pelan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini supaya ia menjadi inisiatif yang berguna kepada semua pihak.

“Warga kota juga perlulah mainkan perangan. Tolong hentikan tabiat membuang sampah merata-rata.

“Ada berjuta tong sampah disediakan tapi mereka masih tiada kesedaran sivik, masih membuang di mana sempat.

“Kerajan mewujudkan pelbagai pelan bagi mengurangkan beban kita, jadi rakyat harus bersama harus memberi sokongan penuh untuk menjayakan pelan ini bagi kesejahteraan semua,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat mengenai kawasan ‘hotspot’ banjir kilat yang tidak disenaraikan kerajaan.

“Kerajaan juga boleh menyediakan talian hotline banjir bagi membantu mangsa banjir sekali gus mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ yang masih tidak disenaraikan lagi.

“Sama-sama kita harap Kuala Lumpur akan menjadi kota yang ‘bebas banjir’ pada masa akan datang,” katanya.


Artikel oleh: Getaran

PELAN TINDAKAN BANJIR IDEA BERNAS, PERLU LAKSANA SECARA HOLISTIK - PPIM

https://www.getaran.my/artikel/semasa/23452/pelan-tindakan-banjir-idea-bernas-perlu-laksana-secara-holistik-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL