SHAH ALAM - Individu yang berjawatan dalam mana-mana jabatan kerajaan perlu memahami dengan lebih jelas antara pemberian ikhlas atau hadiah dan rasuah kerana ia bakal memberikan implikasi cukup besar kepada tanggungjawab yang digalasnya nanti.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana perbezaan antara kedua-dua perkara itu sangat kecil dan mungkin sukar untuk difahami.
“Saya mengambil contoh apa yang berlaku kepada sukarelawan kita (PPIM). Ada satu masa kita didatangi ah long yang membawa duit sehingga RM60,000 dan sedia untuk memberikan jumlah itu tiap-tiap bulan kalau kita tidak buat apa-apa (ambil tindakan).
“Bagi mereka kalau kita ambil duit itu, kita sudah tidak boleh lakukan apa-apa kerana mereka gunakan tindakan itu sebagai kaedah untuk merapatkan diri dengan kita supaya kita mendengar cakap mereka.
“Jadi, (bagi memastikan sukarelawan tidak termakan dengan pancingan ah long), kita mewujudkan satu produser operasi standard (SOP) pekerjaan kepada sukarelawan kita di mana apabila mereka keluar berunding dengan ah long-ah long ini kita sendiri yang bayar teh tarik yang dipesan.
“Tindakan ini dibuat supaya kita tidak terhutang budi kerana antara pemberian ikhlas atau hadiah dan rasuah ini kadangkala perbezaannya sangat kecil tetapi mempunyai implikasi yang cukup besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Kompas Rasuah Busters Edisi Raya bertajuk, Bila Hadiah Jadi Rasuah yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Harryanto Rizal Rokman sebagai panelis, manakala Fatin Hamimah Yusof sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, masyarakat khususnya mereka yang mempunyai jawatan dalam agensi kerajaan perlu memahami dengan lebih jelas perkara tersebut bagi mengelak wujudnya konflik kepentingan.
“Jadi perkara seperti ini kita kena faham dan dihayati. Kita mempunyai matlamat untuk berbuat sesuatu dan jangan ada perkara yang dibuat itu melemahkan matlamat kita untuk melakukan apa yang benar,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
FAHAMI KONSEP HADIAH, RASUAH
https://www.sinarharian.com.my/article/200949/KHAS/Sinar-Rasuah-Buster/Fahami-konsep-hadiah-rasuah
No comments:
Post a Comment