Tuesday, May 31, 2022

MELAYU SERONOK TENGOK BANGSA SENDIRI GAGAL - MALAKAT TRIBUNE - 17/05/2022

 

KUALA LUMPUR – Penutupan Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka bukan petanda kempen Buy Muslim First (BMF) di negara ini telah gagal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan penamatan operasi pusat beli-belah itu pada Februari lalu sebagai ‘batu nisan’ kepada kempen itu adalah tindakan berniat jahat.

Sebaliknya beliau berkata, tohmahan yang dilempar terhadap usaha Kumpulan Malakat Eco memperluas platform dan eko-sistem ekonomi Islam itu harus dilihat sebagai kegagalan umat Islam bersatu hati.

“Masalah kita adalah semangat. Memang kita boleh tuding jari kepada pihak-pihak yang tidak berjaya. Tapi adakah kita seronok melihat kegagalan bangsa kita sedangkan dalam isu ini kita dalam ‘kapal’ yang sama.

“Kalau kita sama-sama menyokong dan kuat semangat untuk membina ekonomi Islam, mungkin tidak tutup.

“Tapi kita tidak sokong pun, menyebabkan kita tak mampu bersaing, sehingga dihina oleh bangsa lain, memang padan muka kita,” katanya kepada Malakat Tribune dalam pertemuan di pejabatnya hari ini.

Isu penutupan cawangan kedua pusat beli-belah Malakat Mall di Masjid Tanah menjadi topik hangat selepas segelintir pihak mengaitkan perkembangan itu sebagai bukti kegagalan kempen BMF.

Di negara ini, kempen tersebut digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PPIM, Pembela, Perkid dan beberapa lagi NGO Muslim lain.

Pengasas Malakat Mall Mohd. Fadzil Hashim (kanan) mengiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada majlis Pelancaran Malakat Mall di Cyberjaya, pada 2019.

Lebih menyedihkan katanya, tuduhan itu dilempar tanpa memahami isu dalaman dan perjuangan yang telah dilakukan oleh Malakat Mall sehingga kini.

“Dalam kes Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall) di Masjid Tanah, Malakat Mall bertapak di situ selepas dijemput untuk memajukan semula, berbincang dan bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

“Pendek kata bangunan yang telah kosong sejak lebih 4 tahun itu diserahkan kepada Malakat Mall untuk ‘dihidupkan’ semula.

“Kita juga kena faham bahawa Malakat Mall berjuang berseorangan tanpa ada bantuan daripada mana-mana agensi pun. Kalau tutup di Melaka tak bererti gagal,” katanya.

Nadzim atau lebih dikenali dengan Tokki berkata, penutupan Malakat Mall selepas lebih setahun beroperasi di siitu tidak seharusnya diperbesarkan kerana kumpulan perniagaan itu terus kekal di Cyberjaya.

Selain itu katanya, pembukaan pusat beli-belah tersebut untuk menyediakan peluang dan ruang perniagaan kepada usahawan tempatan dilakukan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kita kena faham Malakat Mall di situ dibuka semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masa itu banyak lagi syarikat yang gagal, tidak pula diperbesarkan.

“Misalnya, kita lihat sudah berpuluh tahun kerajaan dengan agensi-agensi bertungkus-lumus dalam pembangunan ekonomi dan sektor-sektor lain, berbilion-bilion sudah dibelanjakan…mana ada kejayaan yang boleh dibanggakan pun?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya memahami konsep perjuangan yang tidak seharusnya dinilai dengan kejayaan tetapi usaha yang berterusan.

“Soal perjuangan ini tidak boleh dilihat kepada kejayaan tapi usaha kita kerana kejayaan bukan urusan kita tapi dinilai Allah dengan usaha kita.

“Biarlah kita menjadi seperti burung pipit yang cuba memadamkan api dengan air di paruhnya. Kalau tidak berjaya pun, kita telah berusaha,” ujar beliau.

Tokki yang kecewa terhadap usaha sesetengah pihak mengkritik seolah-olah mahu ‘mematikan’ kempen BMF dalam nada sinis berkata, perkataan tolong-menolong sepatutnya ‘dibuang’ daripada kamus hidup orang Melayu.

“Tunggulah sehingga esok kita akan menerima nasib yang sama seperti Rohingya di Myanmar dan Melayu Champa yang sudah ada tamadun beribu tahun akhirnya merempat di bumi sendiri,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

MELAYU SERONOK TENGOK BANGSA SENDIRI GAGAL

https://www.malakattribunenews.com/2022/05/melayu-seronok-tengok-bangsa-sendiri-gagal/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL